- Iklan -
Berita

Thailand jelaskan mengapa berkecuali dalam undian PBB ke atas Rusia

Thailand memilih untuk berkecuali kerana kutukan PBB itu dianggap akan mengurangkan peluang untuk berdiplomasi semasa krisis.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Rusia memeriksa jalan raya di Mariupol, Ukraine pada 12 April dalam pencerobohan ketenteraan di wilayah itu sejak Mac lalu. Gambar: AFP
Tentera Rusia memeriksa jalan raya di Mariupol, Ukraine pada 12 April dalam pencerobohan ketenteraan di wilayah itu sejak Mac lalu. Gambar: AFP

Thailand mengambil tindakan berkecuali dalam undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap “percubaan pengilhakan haram” Rusia ke atas empat wilayah yang diduduki sebahagiannya di Ukraine, atas alasan bahawa undian dijalankan dalam “suasana dan situasi yang tidak menentu dan penuh emosi”.

Duta dan Wakil Tetap Thailand ke PBB Dr Suriya Chindawongse berkata Thailand memilih untuk berkecuali kerana kutukan sedemikian akan mengurangkan peluang untuk berdiplomasi semasa krisis, dan seterusnya mungkin mendorong dunia ke ambang perang nuklear dan keruntuhan ekonomi global.

Dalam penjelasannya selepas Pengundian Sesi Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung PBB, beliau berkata sudah menjadi dasar lama dan konsisten Thailand untuk menentang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah mana-mana negara, dan pemerolehan wilayah negara lain secara paksa tanpa provokasi.

Beliau berkata Thailand berdukacita di atas kemusnahan fizikal, sosial dan kemanusiaan di Ukraine serta kesusahan melampau yang dihadapi rakyat negara itu.

“Oleh itu, kami menekankan perlunya semua pihak berkepentingan dalam tragedi di Ukraine untuk mengurangkan konflik dan keganasan dan berusaha mencari kaedah aman dalam menyelesaikan perbalahan secara pragmatik selain menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.

PBB pada Rabu meluluskan resolusi yang disokong majoriti anggota, menggesa negara anggota tidak memperakui empat wilayah Ukraine yang diilhakan oleh Rusia susulan referendum yang dijalankan lewat bulan lepas.

Ia juga menuntut Moscow membatalkan “cubaan pengilhakan haram itu”.

Sejumlah 143 daripada 193 negara mengundi menyokong resolusi yang “mempertahankan prinsip” Piagam PBB bahawa wilayah Donetsk, Kherson, Luhansk dan Zaporizhzhia diduduki sementara oleh Rusia akibat pencerobohan, melanggar integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan politik Ukraine.

Empat negara menyertai Rusia mengundi menentang resolusi itu - Syria, Nicaragua, Korea Utara dan Belarus, manakala 35 negara lagi berkecuali daripada pengundian, termasuk rakan strategik Rusia, China.

Pada April, Thailand antara 58 negara yang berkecuali dalam pengundian PBB untuk meggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.