- Iklan -
Dunia

Blinken adakan rundingan dengan menteri luar Azerbaijan, Armenia

Setiausaha AS itu mahu keamanan dapat dicapai di antara kedua-dua wiayah selepas pertempuran tercetus baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken yang mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Azerbaijan dan Armenia di New York pada Isnin, menekankan mengenai kepentingan mengekalkan keamanan. 

"Blinken menjadi tuan rumah kepada Menteri Luar Armenia Ararat Mirzoyan dan Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov untuk rundingan pertama secara bersemuka sejak pertempuran yang tercetus baru-baru ini.

"Setiausaha Blinken menyampaikan ucapan takziah atas nyawa yang terkorban akibat tragedi itu dan menekankan keperluan untuk mencegah permusuhan daripada berterusan serta kembali kepada proses damai," kata jurucakap Ned Price dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Price berkata mereka turut membincangkan langkah-langkah seterusnya dan Blinken menggalakkan kedua-dua pihak mengadakan lagi pertemuan sebelum akhir bulan ini. 

Blinken menerusi Twitter berkata "sudah tiba masanya untuk tentera berundur dan diplomat kembali ke meja rundingan."

Azerbaijan dan Armenia baru-baru ini mencapai persetujuan gencatan senjata selepas pertempuran di sempadan negara meragut nyawa kedua-dua pihak.

Hubungan antara kedua-dua negara tegang sejak 1991, apabila tentera Armenia menduduki Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian dari Azerbaijan.

Baku berjaya membebaskan beberapa bandar, perkampungan dan penempatan dari Yerevan semasa pertempuran baharu yang tercetus pada musim gugur 2020 dan berakhir selepas persetujuan gencatan senjata, menyaksikan Moscow sebagai orang tengah.

Perjanjian damai itu disifatkan satu kejayaan buat Azerbaijan.