- Iklan -
Luar Sana

Rusia perlu dihukum kerana berperang dengan Ukraine, kata Blinken

Kumpulan digelar Quad berkata penggunaan atau ancaman penggunaan senjata nuklear di Ukraine 'sama sekali tidak boleh diterima'.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken ketika perbincangan mesyuarat menteri luar Quad di New Delhi, India, 3 Mac. Gambar: Reuters
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken ketika perbincangan mesyuarat menteri luar Quad di New Delhi, India, 3 Mac. Gambar: Reuters

Rusia tidak boleh dibenarkan berperang tanpa menerima hukuman, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Jumaat selepas bertemu rakan sejawatannya dari India, Jepun dan Australia di New Delhi.

Kumpulan yang digelar sebagai Quad itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat, turut berkata penggunaan, atau ancaman penggunaan senjata nuklear di Ukraine "sama sekali tidak boleh diterima".

Hujung bulan lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin menggantung perjanjian kawalan senjata nuklear New START dan mengancam untuk meneruskan ujian nuklear.

"Jika kita benarkan Rusia tanpa sebarang hukuman untuk melakukan apa yang dibuatnya di Ukraine, maka itu akan menghantar mesej kepada bakal penceroboh lain yang mereka mungkin dapat melarikan diri juga," Blinken memberitahu forum di India yang turut dihadiri menteri Quad.

Blinken bertemu dengan rakan sejawatan daripada kumpulan Quad di luar mesyuarat G20 di New Delhi, di mana para menteri saling tuduh menuduh berhubung konflik di Ukraine itu.

Semalam, juga di New Delhi, Blinken bertemu Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov buat pertama kali sejak konflik di Ukraine bermula lebih setahun lalu. Dalam pertemuan singkat itu, Blinken menggesa Moscow menamatkan perang dan membatalkan penggantungan perjanjian nuklear New START, kata seorang pegawai kanan AS.

Kementerian luar Rusia berkata pertemuan Lavrov dan Blinken tidak lebih daripada 10 minit, dan tidak terlibat dalam sebarang rundingan, lapor agensi berita Rusia.

Di G20, AS dan sekutunya menyeru negara anggota untuk terus menekan Rusia bagi menamatkan konflik, tetapi G20 tidak dapat bersetuju dengan kenyataan bersama mengenai perang kerana tentangan dari Rusia, yang menggelar tindakannya sebagai "operasi ketenteraan khas", dan China.

Pada Jumaat, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell menggesa komuniti global bekerjasama. 

"Setiap orang yang mengelak di beberapa rantau berbeza, mereka perlu faham yang kita berdepan sesuatu yang mungkin mematahkan kemungkinan untuk mengadakan konsensus dunia," katanya.

Dalam kenyataan Quad, menteri-menterinya juga mengambil tindakan yang hampir samar terhadap China dengan mengecam tindakan yang meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan, dan "pengtenteraan" wilayah yang dipertikaikan di kawasan itu.

China mengecam Quad sebagai cuba mewujudkan Perang Dingin dan kumpulan itu "mensasarkan negara lain". 

Quad merupakan singkatan kepada Dialog Keselamatan Empat Pihak, diwujudkan bagi memberi tumpuan kepada isu strategik di rantau Indo-Pasifik.