- Iklan -
Luar Sana

Blinken, Lavrov bertemu buat pertama kali sejak pencerobohan Ukraine

Setiausaha negara AS beritahu menteri luar Rusia supaya tamatkan perang, gesa Moscow batal gantung perjanjian nuklear, kata pegawai kanan AS.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.

Diplomat tertinggi Rusia dan Amerika Syarikat (AS) bertemu secara bersemuka pada Khamis buat pertama kali sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine di luar mesyuarat G20.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken memberitahu Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov supaya menamatkan perang dan menggesa Moscow membatalkan penggantungan perjanjian nuklear New START, kata seorang pegawai kanan AS.

Kementerian luar Rusia berkata pertemuan Lavrov dan Blinken tidak lebih daripada 10 minit, dan tidak terlibat dalam sebarang rundingan, lapor agensi berita Rusia.

Blinken kemudiannya memberitahu sidang media bahawa beliau memberitahu Lavrov untuk terlibat dalam diplomasi semasa pertemuan yang tidak dijadualkan itu.

“Saya beritahu menteri luar (Rusia) tidak kira apa lagi yang berlaku di dunia atau dalam hubungan kita, Amerika Syarikat akan sentiasa bersedia untuk terlibat dan bertindak ke atas kawalan senjata strategik, seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet walaupun ketika kemuncak Perang Dingin,” tambah Blinken.

Jurucakap Jabatan Negara berkata, AS tidak menjangkakan lagi dialog rasmi peringkat kanan dengan Rusia dalam masa terdekat, dan ia tidak percaya "pertemuan singkat" Blinken dan Lavrov akan mengubah sikap Moscow.

Terdahulu dalam pertemuan menteri luar, AS dan sekutu Eropah menggesa negara G20 supaya terus menekan Moscow bagi menamatkan konflik, yang kini memasuki tahun kedua.

Rusia, yang menggelar tindakannya sebagai "operasi ketenteraan khas", membalas dengan menuduh Barat menjadikan agenda G20 sebagai "jenaka", berkata delegasi Barat mahu mengalihkan kegagalan ekonomi mereka ke atas Moscow.