- Iklan -
Dunia

Thailand selamatkan 10 pelarian Rohingya selepas 4 hari terapung di laut

Pihak berkuasa Thailand menyelamatkan 51 pelarian di Satun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail pelarian Rohingya mendapatkan bantuan makanan asas di Pusat World Food Programme di kem pelarian daerah Ukhiah, Cox Bazar, Bangladesh.
Gambar fail pelarian Rohingya mendapatkan bantuan makanan asas di Pusat World Food Programme di kem pelarian daerah Ukhiah, Cox Bazar, Bangladesh.

Pihak berkuasa Thailand menyelamatkan 51 pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak di wilayah Satun pada Selasa.

Nelayan tempatan menyelamatkan 10 pelarian Rohingya yang dijumpai terapung di laut di daerah La-ngu Satun, manakala 41 lagi ditemukan di sebuah pulau di daerah Thung Wa.

Polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua kumpulan itu datang dari bot yang sama dan menjadi mangsa pemerdagangan orang. 

Penguasa polis daerah La-ngu, Kol Pol Sitthipong Husrangsi berkata nelayan tempatan menemui 10 lelaki yang keletihan berpaut pada gabus polisterin.

"Mereka telah ditempatkan di pusat perlindungan, sementara menunggu siasatan lanjut," katanya kepada pemberita.

Pentadbiran Wilayah Satun memaklumkan selepas disoal siasat, 10 lelaki yang berasal dari Rakhine itu, telah melarikan diri dari pusat perlindungan di Bangladesh.

“Menurut lelaki itu bot yang mereka naiki terlebih muatan dan dalam perjalanan menuju ke Indonesia telah dilanda ribut sehingga memaksa mereka meninggalkan kapal itu. 

“Mereka berada di laut selama empat hari sebelum diselamatkan nelayan tempatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pihak berkuasa meneruskan pencarian selepas menerima maklumat lebih ramai warga Rohingya telah mendarat di pantai berhampiran.

“Mereka menjumpai 41 lagi pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak lelaki di sebuah pulau di luar pantai daerah Thung Wa. 

“Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan lapar dan dehidrasi,” menurut kenyataan itu.