- Iklan -
Dunia

Rusia letakkan dunia di ambang bencana radiasi, kata Zelensky

Presiden Ukraine itu berkata dunia kini bergantung pada kemerdekaan negaranya yang berdepan pencerobohan Moscow.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Volodymyr Zelensky menghadiri acara Hari Bendera Kebangsaan Ukraine di Kyiv. Gambar: AFP
Presiden Volodymyr Zelensky menghadiri acara Hari Bendera Kebangsaan Ukraine di Kyiv. Gambar: AFP

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Rabu memberitahu masyarakat antarabangsa bahawa dunia bergantung kepada kemerdekaan negaranya.

Zelensky berucap pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Ukraine menyambut Hari Kemerdekaan ke-31 dari Kesatuan Soviet, dan sebagai menandakan enam bulan dalam mempertahankan diri daripada serangan oleh Rusia, lapor Agensi Anadolu.

Tetapi Rusia membantah ucapan Zelensky yang disampaikan di hadapan 15 ahli majlis melalui sidang video, dengan menegaskan beliau mengambil bahagian secara peribadi dalam acara PBB itu selain meminta undian prosedur.

Bantahan Rusia itu ditolak dengan 13 ahli mengundi menyokong penyertaan Zelensky dalam mesyuarat itu manakala Rusia mengundi menentangnya.

“Apa yang berlaku sekarang adalah Rusia meletakkan dunia di ambang bencana radiasi,” kata Zelensky.

"Adalah fakta bahawa tentera Rusia telah menjadikan wilayah loji kuasa nuklear terbesar di Eropah, loji kuasa nuklear Zaporizhzhia, sebagai zon perang."

Zelensky menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menempatkan pakar tetap di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia sehingga Ukraine menguasai semula tapak itu.

Rusia mengambil alih kemudahan itu pada 4 Mac lepas, dua minggu selepas memulakan serangan terhadap Ukraine.

Loji kuasa nuklear terbesar di Eropah telah dibedil beberapa kali, menimbulkan kebimbangan mengenai bencana nuklear. Rusia dan Ukraine saling menuding jari mengenai serangan di kemudahan nuklear itu.

PBB pada Selasa berkata bahawa persiapan sedang dijalankan untuk menghantar satu pasukan dari badan pemantau nuklear PBB ke loji berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan, hanya menunggu kelulusan dan jaminan keselamatan daripada kedua-dua pihak.