- Iklan -
Dunia

Kadar kemiskinan meningkat lebih 18% di Filipina akibat pandemik

Bilangan penduduk FIlipina yang hidup miskin pada 2021 meningkat kepada hampir 20 juta.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak bermain di sebuah kejiranan di bandar Manila, Filipina. Gambar: AFP
Kanak-kanak bermain di sebuah kejiranan di bandar Manila, Filipina. Gambar: AFP

Kira-kira 2.3 juta rakyat Filipina dihimpit kemiskinan antara 2018 dan 2021, menurut Penguasa Statistik Filipina (PSA).

Bilangan penduduk yang hidup dalam kemiskinan pada 2021 meningkat kepada hampir 20 juta atau 18.1% daripada keseluruhan penduduk negara berbanding 16.7% pada 2018, dan melangkaui sasaran kerajaan sebanyak 15.5-17.5%, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik laporan itu.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan Setiausaha Perancang Ekonomi Arsenio Balisacan bersedia untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 9% menjelang 2028 - sasaran yang diyakini boleh dicapai meskipun inflasi meningkat.

Balisacan berkata strategi kerajaan akan memberi tumpuan kepada membuka semula ekonomi sepenuhnya, melabur dalam sumber manusia dan perlindungan sosial, dan mengubah sektor pengeluaran untuk menjana lebih banyak pekerjaan yang berkualiti serta produk berdaya saing.

Filipina boleh mengurangkan insiden kemiskinan sebanyak 5% pada pertengahan penggal, dan 4% lagi menjelang 2028, tegas beliau.

Menurut Balisacan, negara Asia Tenggara itu telah mencapai matlamatnya untuk mengeluarkan enam juta orang daripada kemiskinan, empat tahun lebih awal daripada sasaran 2022.

Bagaimanapun, sekatan Covid-19 pada 2020 dan kekurangan pekerjaan tetap untuk buruh miskin telah menyebabkan ramai rakyat Filipina kembali terjerumus ke dalam masalah kewangan, katanya.