- Iklan -
Dunia

Mahu selesaikan krisis makanan global, Rusia pertingkat eksport

Negara itu juga mempertimbangkan untuk meningkatkan eksport ke negara-negara Afrika.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pasangan berjalan di jambatan berdekatan Kremlin di Moscw pada 18 Mac lalu. Konflik Rusia dan Ukraine telah menyebabkan krisis makanan dan petrol berlaku di peringkat global. Gambar: AFP
Pasangan berjalan di jambatan berdekatan Kremlin di Moscw pada 18 Mac lalu. Konflik Rusia dan Ukraine telah menyebabkan krisis makanan dan petrol berlaku di peringkat global. Gambar: AFP

Rusia kini berusaha meningkatkan eksport makanan dan baja untuk membantu menyelesaikan krisis makanan global, kata Timbalan Menteri Luarnya Sergey Vershinin semasa forum politik peringkat tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Sputnik.

“Khusus mengenai isu keselamatan makanan, Rusia telah mempertimbangkan untuk mempertingkatkan eksport makanan dan baja ke negara-negara Afrika dan timur tengah bagi menyumbang kepada penyelesaian masalah kelaparan,” kata Vershinin pada Khamis.

Beliau berkata krisis yang berlaku sekarang adalah disebabkan krisis struktur yang memerlukan pembaharuan dari segi keseluruhan struktur ekonomi antarabangsa dan bukannya menerusi "pendekatan pemberian bantuan" semata-mata.

Vershinin menyalahkan negara Barat atas pelaksanaan dasar makanan dan tenaga mikroekonomi semasa pandemik Covid-19 yang didakwanya menyebabkan tercetusnya ketidakstabilan global dalam pasaran bahan mentah sebelum operasi ketenteraan khas Rusia dilancarkan di Ukraine.

Forum pembangunan mampan anjuran PBB itu menumpukan kepada usaha mempercepat pencapaian matlamat pembangunan mampan menjelang 2030 dan menyelesaikan cabaran atau mengatasi halangannya.

AS juga dilaporkan telah mengeluarkan lesen am yang membenarkan transaksi dengan Rusia berkaitan dengan baja, benih dan tanaman makanan.

Panduan baharu itu dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat berhubung sekatan AS yang menghalang penjualan makanan dan baja Rusia.

Pemimpin dunia dan organisasi antarabangsa telah memberi amaran mengenai krisis makanan skala besar akan berlaku berikutan situasi di Ukraine.

Gangguan terhadap rantaian bekalan dan pengeluaran tanaman juga akan terjejas di negara yang menjadi antara pengeluar bijirin terbesar di dunia itu.

Rusia dan Ukraine menyumbang kira-kira 30% daripada eksport global gandum, 20% jagung dan 76% bunga matahari.