- Iklan -
Kolum

Menghalalkan yang haram atas nama ekonomi

Judi, arak, dan pelacuran tidak boleh dijustifikasikan dengan sebarang alasan ekonomi.

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Pendekatan ekonomi yang bergantung kepada judi, arak dan pelacuran sebagai pemacu pelancongan bukanlah sesuatu yang asing bagi banyak negara bukan Islam. 

Judi dan arak sering dilihat sebagai tarikan utama bagi pelancong yang mencari hiburan tanpa batas. Mereka sanggup berbelanja besar untuk memenuhi keinginan dan nafsu hiburan mereka. 

Ini seperti analogi perokok—miskin; macam mana sekalipun, perokok tetap membeli rokok meskipun harganya semakin melambung. Ia bukan sekadar pilihan, tetapi ketagihan yang sukar dibendung, sama seperti mengapa rumah urut terus tumbuh bagai cendawan selepas hujan, tetap dikunjungi walaupun diketahui melanggar norma moral dan hukum.

Kerana wujudnya permintaan ini, banyak negara memilih untuk menghalalkan aktiviti haram ini melalui pelesenan dan cukai. 

Ada tiga alasan utama di sebalik pendekatan ini: Pertama, kerajaan mendapat hasil cukai yang besar daripada perniagaan judi dan arak ini. 

Kedua, ia dikatakan dapat mengelakkan aktiviti haram ini daripada terus beroperasi secara sembunyi dan tidak terkawal. 

Ketiga, kawasan yang mempunyai aktiviti perjudian dan arak ini selalunya berkembang menjadi pusat pelancongan yang turut menarik pelaburan perniagaan lain yang "halal" dari sudut syarak — seperti restoran, kedai pakaian, kedai cenderamata dan lain-lain.

Negara-negara ini menyedari bahawa judi dan arak itu buruk, tetapi mereka mengambil pendekatan pragmatik. Mereka menerima hakikat bahawa aktiviti-aktiviti ini, sama ada dihentikan secara sah atau tidak, akan tetap wujud. 

Oleh itu, daripada melarang sepenuhnya dan membiarkannya beroperasi secara haram, mereka memilih untuk "mengawal" dengan memberi lesen dan mengenakan cukai yang tinggi—seperti rokok — walaupun statistik menunjukkan bahawa bilangan perokok tidak pernah berkurangan dengan ketara.

Contohnya, Singapura mengenakan denda S$100 untuk setiap rakyatnya yang ingin masuk ke kasino. Ini adalah cubaan untuk "menapis" rakyat yang mungkin tidak mampu berjudi daripada memasuki premis judi. 

Mereka tahu, seperti kita semua, bahawa judi membawa keburukan, tetapi mereka lebih memilih untuk memanfaatkan aktiviti ini bagi menjana pendapatan negara. 

Genting di Malaysia dan Sentosa di Singapura adalah contoh kawasan yang asalnya tidak berpotensi, tetapi menjadi destinasi pelancongan utama dengan memperkenalkan kasino.

Namun, Islam melihat perkara ini dari sudut yang jauh berbeza. Dalam Islam, yang haram tetap haram. 

Pendekatan Islam lebih memihak kepada cara seperti di Cameron Highlands, Langkawi, Disneyland, Kyoto, dan Maldives yang memanfaatkan keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan untuk menjana pendapatan. 

Islam menggalakkan penggunaan sumber semula jadi, sejarah dan kebudayaan sebagai daya tarikan. Aktiviti haram seperti judi, arak dan pelacuran tidak boleh dijustifikasikan dengan sebarang alasan ekonomi. Haram tetap haram — bukan sahaja aktivitinya, tetapi juga pendapatannya.

Pasti ada yang berhujah bahawa tiada jalan untuk menghapuskan aktiviti-aktiviti haram ini sepenuhnya. Mereka berpendapat, seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu, apabila tiada lesen judi diberikan, perniagaan nombor ekor haram menjadi semakin berleluasa. 

Ya, aktiviti ini tidak pernah terputus di mana sahaja ada manusia. Tetapi penyelesaiannya bukanlah dengan “menghalalkan” apa yang jelas diharamkan. Alternatif yang lebih baik adalah mengembangkan ekonomi yang bersih dan memfokuskan kepada pembangunan pelancongan yang berasaskan nilai Islam.

Daripada terus menggunakan judi dan arak sebagai pemacu ekonomi, kita harus mengembangkan industri pelancongan yang bebas daripada elemen haram ini. 

Islam menyediakan alternatif yang lebih selamat dan berkekalan. Negara Islam perlu berani menolak pendekatan “jalan mudah” ini dan membina daya tarikan pelancongan yang beretika dan lestari. 

Contohnya, mempromosikan eko-pelancongan, pelancongan sejarah, pelancongan kesihatan dan pelancongan budaya.

Justeru, adalah tanggungjawab kerajaan di negara-negara Islam untuk mencari jalan yang lebih berkat dan sesuai dengan syariat. Bukan hanya mengambil jalan mudah dengan mengikut jejak langkah negara lain yang menjadikan judi dan arak sebagai tunjang ekonomi. 

Mari kita tonjolkan bahawa ada cara yang lebih baik, lebih bersih, dan lebih diberkati untuk menjana pendapatan dan memajukan pelancongan. 

Islam tidak pernah kekurangan cara — kita yang kekurangan tekad untuk menerokanya.