- Iklan -
Rencana

Golongan 'tanpa warganegara' bukanlah 'pendatang asing dan lain-lain'

Pindaan dibawa kerajaan akan menambahkan derita dialamai golongan 'stateless' yang diabaikan dan dibiarkan tanpa warganegara walaupun membesar di negara ini sebagai orang Malaysia.

Zaid Malek
3 minit bacaan
Kongsi

Kami merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution di Parlimen semalam, di mana beliau mempertahankan cadangan pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan peruntukan kewarganegaraan.

Pindaan-pindaan yang dicadangkan, antara lainnya, adalah untuk meminda Jadual Kedua, Bahagian II Seksyen 1(e) yang memberikan kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada setiap individu tanpa kewarganegaraan yang dilahirkan di Malaysia dan juga Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) yang memberikan kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang terbiar.

Pindaan yang dicadangkan ini bertujuan untuk meletakkan penganugerahan kewarganegaraan sebagai kuasa tunggal di bawah Kementerian Dalam Negeri dan bukannya secara kuatkuasa undang-undang kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat seperti yang terdapat dalam Jadual Kedua menurut undang-undang sedia ada.

Tindakan Saifuddin mempertahankan cadangan pindaan-pindaan tersebut tanpa menghiraukan nasib mereka yang ketiadanegaraan (“stateless”) dan cubaan menggambarkan isu ini sebagai isu keselamatan - di mana negara ini kononnya didakwa menghadapi “masalah yang melibatkan pendatang asing dan lain-lain” - amat menghampakan.

Ini menunjukkan bahawa menteri ini langsung tidak memahami, ataupun mungkin lebih teruk, dengan secara sengaja berniat jahat ingin memutar belit naratif berkenaan isu ketiadanegaraan ini. 

Kelompok ketiadanegaraan ini sebenarnya berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. 

Namun, masalah ini masih berterusan akibat kecuaian dan kegagalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan undang-undang dengan saksama.

Mereka bukanlah “pendatang asing dan lain-lain”; mereka adalah warganegara Malaysia yang ketiadanegaraan akibat tindakan dan peninggalan tidak sah oleh pihak kerajaan.

Kebanyakan kes berkaitan isu ketiadanegaraan yang dirujuk kepada JPN tidak diselesaikan akibat tindakan JPN yang gagal atau enggan memudahkan proses pengiktirafan kewarganegaraan mereka. 

Malah, usaha untuk mendapatkan Borang E, iaitu borang yang betul untuk proses pengesahtarafan kewarganegaraan sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan hampir mustahil untuk diperolehi tanpa campur tangan peguam.

JPN juga berulang kali enggan mematuhi undang-undang dalam kes kanak-kanak terbiar, walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes CCH & Anor v Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia, dengan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak yang terbiar berhak mendapat kewarganegaraan mengikut Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b).

Tindakan JPN yang secara sengaja tidak mengendahkan peruntukan undang-undang yang jelas serta menyukarkan proses mendapatkan kewarganegaraan adalah punca utama penderitaan yang berpanjangan kepada mereka yang ketiadanegaraan. 

Ini telah menyebabkan mereka hilang peluang untuk mendapat pendidikan, akses kepada penjagaan perubatan dan peluang bekerja, dan terpaksa hidup di dalam pinggiran masyarakat atas status ketiadanegaraan mereka ini.

Maka amat menghairankan kenapa kerajaan tidak memilih untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi sebaliknya  mengeruhkan lagi isu ketiadanegaraan ini dengan mencadangkan pindaan-pindaan tersebut. 

Pindaan-pindaan ini akan merampas jaminan Perlembagaan untuk kewarganegaraan daripada mereka yang tanpa kerakyatan, sekaligus mengasingkan mereka lagi di tanah air mereka sendiri.

Pengenalan pindaan-pindaan yang dicadangkan ini juga tidak mempertimbangkan sejarah perundangan mengenai kewarganegaraan. 

Perlembagaan ketika zaman Merdeka menerapkan prinsip jus soli, membenarkan semua individu yang dilahirkan di tanah Malaysia memperoleh kewarganegaraan. 

Walaupun perkara tersebut kemudiannya dipinda, perdana menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman peka terhadap ketiadanegaraan ini dan meletakkan perlindungan untuk memastikan bahawa tiada seorang pun akan menjadi individu tanpa kerakyatan. 

Perlindungan ini telah kekal di dalam Perlembagaan kita, kini dalam bentuk Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua.

Oleh itu, kami menyeru kerajaan untuk bertindak secara rasional dan kembali mendukung semangat Perlembagaan yang mengiktiraf hak kewarganegaraan dan jaminan bahawa tiada seorang pun akan terabai tanpa kerakyatan di negara kita. 

Pindaan-pindaan yang dicadangkan ini harus ditarik balik dengan segera tanpa syarat. 

Mereka yang ketiadanegaraan sudah cukup menderita di tangan kerajaan dan seharusnya diberikan hak mereka yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sejak dulu lagi.

Zaid Malek ialah pengarah, Lawyers for Liberty.