- Iklan -
Kolum

Kisah novel Pak Sako, suatu catatan sempena hari kebangsaan

Nampaknya sesiapa ada kuasa, mereka tidak keberatan untuk mengharamkan buku.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Baru-baru ini tersiar dalam banyak media, bukan saja media sosial tetapi juga media arus perdana, termasuk radio bisnes, BFM dan televisyen Singapura iaitu CNA mengenai pegawai Kementerian Dalam Negeri merampas dua buah buku dari Toko Buku Rakyat  untuk disiasat. 

Maknanya kalau didapati tidak disenangi kerajaan, ia akan disenaraikan sebagai buku yang diharamkan. Pemiliknya, Benz Ali, seorang anak muda membantah tindakan itu. 

Salah satu daripada buku itu, “Puisi-puisi Masturbasi” adalah karya beliau. Beberapa tahun lalu, bukunya “Antithesis” turut diharamkan oleh kerajaan.

Antara sebab bantahannya itu ialah kerajaan campuran yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) sepatutnya melaksanakan agenda Reformasi yang menghentikan amalan mengharamkan buku. 

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan para pegawainya.

Amalan pengharaman buku di negara ini bukan sahaja berlaku pada masa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan dahulu tetapi juga pada zaman kolonial British. 

Nampaknya sesiapa ada kuasa, mereka tidak keberatan untuk mengharamkan buku.

20 tahun sebelum Malaya merdeka iaitu pada tahun 1937, kerajaan kolonial British mengharamkan novel “Putera Gunung Tahan” tulisan Pak Sako, pejuang kemerdekaan kerana di dalamnya penulis mengkritik seorang pegawai Inggeris. 

Ketika menulis buku itu, beliau berusia 28 tahun. Tajuk asal novel ini ialah “Hilang di Mata” diterbitkan dan dicetak oleh Jamaliah Press, Muar, Johor. 

Ada pula yang mengatakan ia diterbitkan di Singapura sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan British Malaya.

Novel itu tentunya diterbit dalam tulisan jawi dan dicetak di atas kertas newsprint yang murah.  Pada masa itu semua orang Melayu membaca tulisan jawi. 

Itupun tidak semua orang Melayu yang celik huruf. 

Mereka yang boleh membaca pula tidak sering membaca kerana kesukaran memperoleh akhbar, majalah dan buku.

Adalah dipercayai novel Putera Gunung Tahan dicetak pada bilangan yang kecil dengan banyak diedarkan di Singapura walaupun sebahagiannya juga sampai ke bandar-bandar di seluruh semenanjung yang mempunyai kedai buku kecil. 

Tidak banyak keuntungan yang penulis dan penerbit dapat raih daripada novel itu. Tetapi ia tetap mendatangkan pendapatan. 

Dengan pengharaman novel itu, tentu penulis dan penerbit menanggung kerugian. 

Novel-novel yang diharamkan itu dimusnahkan dengan polis memeriksa kedai-kedai buku. 

Pembaca buku dalam kalangan orang Melayu ketika itu, seperti juga sekarang tidaklah ramai. 

Pada masa itu, umumnya pembaca buku bekerja sebagai guru, wartawan, kerani dan kakitangan kerajaan. 

Bukan sahaja peminat buku tidak ramai tetapi bahan bacaan juga sukar untuk sampai kepada mereka. 

Adalah sukar hendak mempercayai bahawa novel itu boleh mempengaruhi orang ramai untuk membenci Inggeris dan selanjutnya menuntut kemerdekaan daripada mereka. 

Ketika itu penduduk Malaya juga tidaklah ramai. Bila dikirakan bersama Singapura kerana ketika itu ia dianggap sebagai sebahagian daripada Malaya, maka bilangan penduduk bukan Melayu, adalah lebih ramai daripada Melayu. 

Orang Melayu pula bersikap konservatif, dengan tidak mencampuri urusan politik serta setia pada sultan negeri masing-masing. 

Umumnya mereka menerima penguasaan British. Pada masa beliau menulis buku itu, nama Pak Sako belum tercipta. 

Beliau hanya Ishak Haji Muhammad, seorang anak Temerloh yang cemerlang dalam pencapaian akademiknya hingga diterima bekerja sebagai pegawai pentadbiran kolonial Inggeris melalui sistem Perkhidmatan Awam Melayu (MCS).

Tetapi Pak Sako meletakkan jawatan daripada kerajaan pada tahun 1934, hanya dua tahun bekerja untuk hidup bebas bagi membolehkannya aktif dalam usaha menuntut kemerdekaan. 

Caranya adalah melalui tulisan di akhbar, majalah dan buku bagi menyebarkan kesrdaran kemerdekaan dalam kalangan rakyat. 

Maka beliau menjadi pengarang di akhbar Warta Malaya. Sekitar tahun 1937, kedudukan Empayar British khususnya di Malaya adalah kuat. 

Mereka tidak berasa terancam oleh sebarang gerakan nasionalis dan kemerdekaan. 

Pun begitu, mereka sedar adanya serangkaian kumpulan komunis di India, Asia Tenggara dan China yang bergerak hendak mencabar imperialisme British. 

Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 dan mempunyai hubungan dengan gerakan komunis India, Vietnam, China dan Indonesia dengan terus berkait pada Soviet Union.

Pihak British yang mempunyai rangkaian perisik merasakan ancaman itu adalah terkawal. 

Selagi tidak ada orang Melayu menjadi komunis, maka keadaan di Malaya adalah selamat. 

Ini kerana komunis di Malaya ketika itu terdiri daripada orang Cina yang perhatian mereka adalah pada negara China dan bukannya Malaya.

Mengenai pejuang kemerdekaan dalam kalangan orang Melayu seperti Pak Sako, mereka hanya menulis. 

Jika ada tulisan yang tidak menyenangkan British, mereka hanya perlu mengharamkan buku, majalah atau akhhar berkenaan.

Bagaimanapun pihak perisikan British tidak mengambil berat terhadap ancaman dari Jepun. 

Mereka menganggap Jepun terlalu jauh dan tenteranya lemah untuk menjadi ancaman pada Malaya atau terhadap Empayar British. 

Sedangkan sebenarnya perisik-perisik Jepun sudah berada di merata-rata tempat di Malaya, menyamar sebagai nelayan, pemilik kedai basikal atau kedai radio. 

Mereka pastinya menggalakkan sebarang sentimen perjuangan kemerdekaan dan anti-British.

Setahun selepas penerbitan novel Putera Gunung Tahan, Pak Sako bersama Ibrahim Yaacob menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), pertubuhan politik pertama Melayu.  

Ibrahim menjadi ketua, Mustapha Hussain menjadi naib ketua dan Pak Sako adalah ahli jawatankuasa, ketika itu beliau berusia 29 tahun. 

Dari segi idealisme, KMM ini merupakan fenomena anak muda zaman itu di merata-rata tempat untuk mengubah dunia. 

Di Hindia Timur Belanda ada Jong Java dan Jong Sumatera. 

Jong itu dari Bahasa Belanda bernaksud "young" atau muda dan Young Turks atau Turki Muda yang akhirnya berperanan menubuhkan Republik Turki kenggantikan Kekhalifahan Usmaniah. 

KMM yang walaupun berhaluan kiri tetapi bukanlah komunis. Dari segi ideologi, mereka adalah sosialis. 

Selain untuk kemerdekaan, mereka juga memperjuangkan penyatuan Malaya dan Indonesia. 

Kecuali kepada segelintir penyokong, rakyat Malaya umumnya tidak akan dapat menerima KMM. 

Penduduk Malaya ketika itu adalah pro-British, tidak mahu kemerdekaan, jauh sekali akan menyokong penyatuan dengan Indonesia. 

Kalaulah ada pilihan raya umum, pastinya KMM kalah teruk. KMM bukanlah pertubuhan berdaftar. 

Sifatnya yang anti-British dan memperjuangkan kemerdekaan menyebabkan perisik British memantau mereka. 

Pun begitu pihak British tidaklah rasa terancam. 

Di pihak Jepun pula, mereka mengambil kesempatan dan pada tahun 1941, Konsul Jepun di Singapura memberikan mereka wang untuk membeli akhbar Warta Malaya. 

Ia menjadi wadah bagi KMM, perjuangann kemerdekaan dan anti-British. 

Di sini barulah British bertindak dan menangkap pemimpin-pemimpin KMM termasuk Pak Sako.

Apabila Jepun mendarat di Malaya, mereka dibebaskan. KMM mengalu-alukan penaklukan Jepun dan aktivis mereka menjadi jurubahasa pihak Jepun. 

Pada masa inilah Jepun memanggil Ishak sebagai Isako-san yang akhirnya menjadi Sako. 

Namun apabila KMM mahu aktif semasa pendudukan Jepun dan menuntut Malaya dimerdekakan pada tahun 1943, Jepun menolak. 

KMM dibubarkan dan aktivis-akvisnya pulang ke kamoubg masing-masing. 

Apabila Jepun ternyata akan kalah, barulah mereka dipanggil semula untuk mengatur gerakan sebagai Pembela Tanah Air (Peta) bagi penghalang kemasukan British.

Rancangan untuk memerdekakan Malaysia bersama Indonesia pada tahun 1945 gagal. 

Dengan kemasukan British, pemimpin-pemimpin KMM termasuk Pak Sako ditahan semula. Ketika itu beliau berusia 36 tahun.

Pertama kali saya berjumpa Pak Sako ialah pada tahun 1982, beliau berusia 73 tahun dan mempunyai ruangan di Mingguan Malaysia. 

Seringkali pada sebelah petang apabila selesai kerja, para pemberita muda berkumpul di biliknya yang kecil untuk mendengar celotehnya. 

Beliau meninggal dunia pada tahun 1991 pada usia 82 tahun. Kini novel Putera Gunung Tahan sudah menjadi teks sastera sekolah.