- Iklan -
Kolum

Realiti keadaan kesihatan negara dan dunia

Perkhidmatan kesihatan rasmi adalah sebahagian daripada sistem kenegaraan  yang juga merupakan entiti cara hidup moden.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Seperti biasa hari Khamis lalu saya seperti beratus-ratus orang pesakit kronik mendapatkan rawatan dari hospital pakar. 

Ada beberapa hospital pakar kerajaan di negara ini dan masih tidak mencukupi, malah keperluannya dijangka terus meningkat.

Strategi dan polisi kesihatan negara dalam menghadapi perkara ini ialah dengan berusaha untuk mengelak mengelak penyakit daripada usaha untuk merawat dan menyembuhkannya. 

Umpamanya penyakit diabetis atau kencing manis dihadapi bukan semata-mata secara merawatnya tetapi dengan kempen mengajak orang ramai untuk mengubah gaya hidup. 

Usaha ini sememangnya sukar tetapi ia perlu dilakukan. 

Adalah lebih baik mencurahkan peruntukan dana bagi kempen mengelak penyakit daripada untuk rawatannya. 

Namun begitu perkhidmatan bagi rawatan tetap perlu peruntukan yang berpanjangan dan ia akan terus meningkat.

Tetapi usaha mengelak penyakit ini tidak wajar ditanggung oleh Kementerian Kesihatan semata-mata tetapi ia juga perlu dipikul oleh pihak lain seperti Kementerian Pendidikan untuk melahirkan generasi bergaya hidup sihat. 

Begitu juga dengan Kementerian Sumber Manusia atas kesedaran bahawa pekerja sihat adalah lebih produktif dengan syarikat dapat menjimatkan perbelanjaan tanggungan kesihatan.

Selain itu, bukan sahaja pihak kerajaan yang perlu mengambil perhatian terhadap usaha mengelak penyakit tetapi juga orang ramai sendiri dengan persatuan-persatuan masyarakat serta institusi agama menjayakannya. 

Pada ahli-ahli politik, mereka juga perlu disedarkan tentang perlunya penggubalan undang-undang yang boleh digunakan bagi usaha mengelak penyakit. 

Usaha mengelak penyakit ini tentulah tidak dapat dilakukan sepenuhnya. 

Ini kerana banyak penyakit seperti kanser tidak dapat dielakkan. 

Ia hanya dapat dikesan lebih awal supaya rawatan dapat dilakukan segera bagi membolehkan seseorang penyakit itu dapat diselamatkan. 

Kajian terhadap semua penyakit terus dilakukan di peringkat dunia. 

Ada sahaja penyakit baharu yang ditemui, dan banyak antaranya yang belum diketahui ubat atau penawarnya. Tetapi kemajuan sains dan teknologi terus berkembang untuk memahami tubuh badan manusia serra mengesan penyakit baharu dan ubat serta kaedah rawatannya.

Perkhidandmatan kesihatan rasmi adalah sebahagian daripada sistem kenegaraan  yang juga merupakan entiti cara hidup moden. 

Seperti mana ia berdasarkan kepada sains teknologi moden, perkhidmatan kesihatan juga bersifat global yang mempunyai kaitan dengan sistem politik demokrasi universal serta sistem ekonomi berasaskan pada fahaman kapitalisme. 

Maknanya perkhidmatan kesihatan negara turut berkait rapat dengan institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), persatuan-persatuan profesional petubatan antarabangsa dan syarikat-syarikat besar farmasi atau “Big Pharna”.

Tidak semua manusia terima sistem perubatan moden. 

Ada antaranya mengambil jalan alternatif, sama ada perubatan secara tradisional atau kaedah luar daripada sistem. 

Tidak kurang pula, terutamanya dalam orang kalangan kiri yang mencurigai sistem kesihatan kapitalis. 

Bagi mereka golongan pemodal mengambil kesempatan daripada kesusahan orang ramai untuk meraih keuntungan yang berpanjangan supaya manusia bergantung kepada ubat-ubat yang mereka ciptaan.

Sebagai seorang pesakit kronik saya masih meletakkan kepercayaan pada sistem kesihatan global dan nasional serta sains dan teknologi yang menjadi asas kepadanya. 

Walaupun sebagai seorang mempunyai pandangan berhaluan kiri, saya fikir sistem komersial berasaskan kapitalisme mampu menghasilkan perkhidmatan kesihatan dan bekalan ubat yang efisien. 

Namun begitu, banyak perkara wajar dilakukan bagi mewujudkan perkhidmatan kesihatan yang adil dan mesra manusia dengan mendukung tuntutan kemanusiaan. 

Perkara ini tidak boleh berlaku secara automatik. 

Ia perlu diperjuangkan oleh persatuan-persatuan pengguna, kesatuan-kesatuan sekerja dan parti-parti politik progresif. 

Apabila dibandingkan dengan banyak negara lain, rakyat Malaysia beruntung kerana adanya sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan yang menyeluruh dan diberi bantuan serta subsidi kerajaan. 

Ada sebahagian rakyat memperoleh perkhidmatan percuma, tetapi yang dikenakan bayaran juga adalah dalam kadar yang mampu. 

Malah bukan warganegara yang menjadi penduduk tetap juga boleh mendapat rawatan dengan harga lebih tetapi bayarannya masih mampu ditanggung. 

Kerajaan memberi sibsidi besar pada sistem perkhidmatan kesihatan untuk semua penduduk.

Berbanding dengan bayaran yang dikenakan oleh hospital pakar swasta, ternyata apa yang dikenakan oleh hospital pakar ketajaan adalah jauh lebih murah. 

Ia juga menunjukkan bahawa kos bagi perkhidmatan kesihatan adalah amat tinggi yang hanya mampu ditanggung oleh golongan berada. 

Bagi orang kebanyakan, mereka bergantung pada tanggungan syarikat tempat mereka bekerja atau insurans. 

Maka bermakna hanya sebahagian kecil yang mampu. 

Kos tinggi dalam perkhidmatan kesihatan itu menunjukkan bahawa saban tahun kerajaan perlu memperuntukan belanjawan lebih besar dan sentiasa meningkat. 

Ia juga bererti bahawa sistem perkhidmatan kesihatan yang ada sekarang tidak mapan atau tidak sustainable, suatu hari pasti ia kena dirombak tidak kiralah parti politik mana yang memerintah ketika itu.

Perkara ini sudah dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan menteri-menteri kesihatan terdahulu pun ada menyebut tentang usaha bakal yang akan diperkenalkan kerana keadaan perubatan sekarang adalah tidak “sustainable”. 

Saya percaya rancangan penyusunan semula sudah ada, dan hanya menanti kelulusan Kabinet dan kerajaan. 

Bagi orang ramai, pastinya penyusunan semula itu akan menaikkan harga bayaran dan selanjutnya menambah beban kewangan kepada mereka. 

Walaupun langkah ini pasti tidak popular dan mengecewakan rakyat tetapi dalam hal ini, kerajaan akan tidak dapat bersikap populis.

Bagi ahli politik berjawatan, sama ada menteri atau wakil rakyat, soal perkhidmatan kesihatan tentulah tidak menjadi masalah mereka secara peribadi kerana segala perbelanjaan perubatan mereka ditanggung kerajaan. 

Mereka pastinya tidak akan dapat merasakan secara langsung apa yang ditanggung oleh pesakit kronik yang tidak nampu. 

Walaupun ada perkhidmatan insurans tetapi ia tidak dapat digunakan oleh kebanyakan orang yang pembayaran bulanan adalah juga suatu beban.

Buat masa ini, di negara ini, terdapat dua sektor petkhidkatan kesihatan ialah sektor awam yang dikendalikan oleh kerajaan dan sektor swasta, iaitu perkhidmatan kesihatan yang diuruskan oleh syarikat-syarikat swasta. 

Jurang perbezaan antara keduanya adalah besar khususnya mengenai bayaran. 

Kelebihan hospital swasta adalah tempoh menunggu rawatan adalah pendek dengan kekerapan janji temu yang lebih cepat.

Ada cadangan supaya diwujudkan satu lagi jenis hospital yang berada di antara hospital kerajaan dan swasta, yang boleh menawarkan perkhidmatan dengan bayaran yang sederhana, tidak semahal swasta dan tidaklah semurah kerajaan. 

Ada cadangan supaya ditubuhkan hospital koperasi yang menawarkan rawatan harga rendah. 

Pada waktu dahulu, ada gerakan misionari menubuhkan hospital kebajikan yang kini sudah nenjadi sebahagian daripada rangkaian hospital persendirian atau swasta.

Hakikatnya di negara ini terdapat kekurangan doktor pakar. 

Walaupun doktor pengamal am dilihat berlebihan apabila begitu ramai doktor kontrak yang kerajaan tidak dapat diserap, tetapi doktor pakar sememangnya kurang. 

Sebab itu kerajaan menggalakkan doktor-doktor pengamal am menyambung pelajaran ke peringkat pakar.

Baru-baru ini janji temu saya untuk pemerhatian susulan ditunda dua bulan kerana dimaklumkan bahawa tiada doktor pakar.

Adalah diketahui umum bahawa ramai doktor-doktor kerajaan yang beralih ke sektor swasta kerana bayaran yang jauh berbeza. 

Itu belum dikira bahawa terdapat banyak doktor pakar Malaysia yang berhijrah ke negara-negara lain khususnya Singapura, United Kingdom dan Australia.

Doktor-doktor ini tentulah dari kalangan pelajar yang cerdas otaknya, sebab itu fenomena ini dipanggil sebagai "brain drain". 

Oleh kerana antara mereka ini sejak sekolah adalah sememangnya cerdik, maka mudahlah mereka memperoleh tajaan biasiswa, termasuk daripada kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Antara tujuan pemberian biasiswa oleh kerajaan bukanlah kerana hendak meraikan kecerdasan seseorang individu tetapi tentulah untuk mengharapkan bahawa calon-calon doktor itu nanti akan menyambung pengajian untuk menjadi doktor pakar yang tentunya turut dibiaya oleh kerajaan. 

Mereka diikat dengan perjanjian supaya dapat berkhidmat untuk rakyat negara ini. 

Namun tentulah ada antara mereka yang berhijrah ke negara lain sebaik saja habis tempoh perjanjian. 

Ada juga yang sanggup membayar denda kerana melanggar perjanjian untuk berhijrah ke luar negara.

Apabila perkara ini berlaku, rakyat dan negara ini tentu yang kerugian. 

Segala pembiayaan yang datang dari negara ini untuk melahirkan pakar perubatan disia-siakan apabila individu berkenaan berhijrah dengan membawa bersama segala kepakaran dan kemahirannya.

Untuk mengatasi perkara ini, kerajaan mewujudkan sayap swasta di hospital-hospital pakar kerajaan. 

Di situ, doktor pakar kerajaan boleh berkhidmat sebagai doktor swasta dan memperoleh bayaran seperti di hospital swasta tetapi pada waktu sama terus menjadi doktor kerajaan. 

Pesakit boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta di hospital kerajaan. 

Pesakit  boleh memilih doktor, tidak seperti di hospital pakar kerajaan yang mana pilihan tidak boleh dilakukan. 

Perkhidmatan kesihatan untuk orang ramai secara percuma atau bayaran murah di negara ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat negara sejak belum merdeka lagi. 

Tidak ada sesiapa dalam kalangan ahli politik yang akan berani memansuhkannya. 

Rakyat Malaysia juga pasti mahu mempertahankannya dengan gigih. 

Isunya kini ialah bagaimana hendak menjadikannya mapan atau sustainable.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.