- Iklan -
Rencana

Keluarlah mengundi demi masa depan generasi

Detik pengundian bagi memilih wakil rakyat itu juga seharusnya menjadi 'momen' berharga untuk semua rakyat.

Atriza Umar
2 minit bacaan
Kongsi

Pilihan Raya Negeri akan berlangsung beberapa jam sahaja lagi. Adakah anda sudah membuat pilihan? Atau mengambil sikap tidak peduli (atas pagar) atau termasuk golongan berkecuali?

Kerana hidup dalam negara demokrasi membuatkan kita dibentangkan dengan banyak pilihan. Demokrasi memerlukan kebebasan untuk mengeluarkan pendapat, menyuarakan, mengkritik dan membantah terhadap sesuatu yang tidak selari dengan diri.

Detik pengundian kerana memilih wakil rakyat itu juga seharusnya menjadi “momen” berharga untuk semua rakyat. 

Kerana wujudnya pilihan raya, bermakna suara rakyat masih diperlukan dan didengari. Walaupun dalam kes tertentu kerajaan sering mengabaikan suara-suara dan pendapat rakyat.

Kita semua seharusnya gembira dengan berlangsungnya pesta demokrasi ini. Walaupun tidak ada hidangan yang disajikan di pesta demokrasi ini, tidak ada pembahagian hadiah atau lain-lainnya.

Maka, apa yang rakyat boleh nikmati dalam parti demokrasi ini? Manifesto yang dihamparkan sebagai ‘pemancing’ undi? Sebenarnya lebih daripada itu ialah kita memilih wakil rakyat untuk menyampaikan suara-suara rakyat

Sedarkah kita, walaupun kempen menentang politik wang (rasuah) sering dikumandangkan dalam pelbagai ceramah, seminar, bengkel dan perhimpunan. 

Namun, mengapa masih ada pihak yang tidak malu-malu masih tetap melakukan ‘budaya memberi’ itu ketika pilihan raya ini?

Kotakan yang dikata

Begitu juga dalam konteks berkecuali yang mana menurut ulama lebih banyak mudaratnya, kerana ia dilihat sebagai sikap tidak peduli rakyat terhadap perjalanan demokrasi.

Biasalah rasa kecewa dengan calon yang kita pilih tetapi sebaliknya mengkhianati kita. Kerana ternyata polisi yang dikeluarkan tidak menepati janjinya sepanjang tempoh berkempen.

Apabila dipilih, mereka mengabaikan kepentingan rakyat dan mengeluarkan dasar yang bertentangan serta mengenepikan kepentingan terhadap wanita, warga tua, orang kurang upaya, rakyat miskin dan golongan minoriti.

Berikutan itulah adanya rakyat yang mengambil sikap berkecuali kerana merasakan tiada pemimpin yang adil dan semuanya tidak amanah dengan janji yang dikatakan. Justeru, kepada siapa lagi kita amanahkan pemilihan pemimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) ini?

Peluang rakyat memilih

Maka, mari kita sama-sama mentakrifkan semula pesta demokrasi. Demokrasi itu adalah peluang untuk rakyat memilih (walaupun terhad) pemimpin di peringkat kawasan. Demokrasi itu adalah sistem yang membebaskan dan dibatasi oleh moral, etika dan undang-undang.

Oleh yang demikian, jadilah pengundi yang bijak dengan melihat kepada bakal pemimpin kompetensi, kemampuan, keboleh pilihan serta parti yang disertainya, jika itu yang boleh membeli nilai tambah kita memilih calon tersebut.

Perlu kita sedari, menjaga demokrasi yang sihat dan sejahtera itu adalah tugas kolektif kita sebagai Rakyat Malaysia. Jika rakyat bersikap “apatis” terhadap hari mengundi, kempen, dan calon wakil rakyat, maka pihak tertentu akan lebih sewenang-wenangnya terhadap rakyat. 

Bermula dengan menyertai pesta demokrasi, mari kita libatkan diri untuk mengawasi tingkah laku para pemimpin negeri dan negara ini. Pengawasan tersebut mesti diteruskan dengan menggalakkan ketelusan belanjawan di peringkat negeri dan negara.

Ayuh kita raikan, pesta demokrasi ini dengan sebaiknya.

Atriza Umar ialah felo nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.