- Iklan -
Kolum

Tiga kejadian yang menilai realiti dunia hari ini

Jarak antara tempat-tempat itu dengan Malaysia sememangnya jauh tetapi teknologi maklumat hari ini menjadikannya amat dekat.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ada tiga kejadian dalam minggu lalu yang menilai realiti kehidupan seluruh manusia di dunia hari ini. 

Ketiga-tiga kejadian itu tiada kaitan secara langsung dengan Malaysia. 

Tetapi ia menyentuh sensitiviti orang Melayu di negara ini kerana ia ada kaitan dengan Islam.

Kejadian pertama ialah tindakan membakar naskhah Al-Quran di Sweden dengan pihak berkuasanya menganggap perbuatan itu adalah suatu tindakan kebebasan ekspresi dalam sistem demokrasi. 

Kedua, pembunuhan seorang remaja migran oleh polis Perancis yang membawa kepada rusuhan berhari-hari di beberapa bandar. 

Ketiga, serbuan tentera Israel ke atas bandar Jenin di Tebing Barat, Palestin yang membawa kepada banyak kematian.

Dua peristiwa itu adalah di Eropah dan satu lagi di Asia Barat. Maknanya ia tiada kaitan langsung dengan Malaysia. 

Tetapi benua dengan nama dan sempadan-sempadannya hanyalah ciptaan pihak-pihak yang dalam sejarah menguasai dunia. 

Apa yang dipanggil sebagai Eropah dan Asia adalah pembahagian yang dilakukan oleh kuasa-kuasa penjajah Barat dahulu. 

Jadi tanpa mengambil kira pembahagian benua itu dan melihat dunia ini sebagai entiti tunggal, maka apa yang berlaku di mana-mana pun di muka bumi, sama ada di Stockholm, Paris atau Jenin, ia tetap dirasakan oleh penduduk Malaysia. 

Tidaklah kepada semua orang tetapi cukup kepada orang yang mahu merasakan kepentingannya.

Jarak antara tempat-tempat itu dengan Malaysia sememangnya jauh tetapi teknologi maklumat hari ini menjadikannya amat dekat. 

Apa yang berlaku di Stockholm, Paris dan Jenin bukan saja diketahui tetapi dapat disaksikan melalui televisyen dan media sosial di Kuala Lumpur.

Apa yang menghubungkan peristiwa-peristiwa itu dengan Malaysia adalah agama. 

Sebab seagama dengan orang Islam di Sweden, Perancis dan Palestin maka tentunya orang Melayu bersolidariti dengan mereka. 

Lebih-lebih lagi terhadap kejadian tindakan membakar naskhah Al-Quran yang merupakan usaha penghinaan terhadap Islam.

Ia berupa cabaran terhadap umat Islam di seluruh dunia, bukan sahaja di Sweden. 

Bagi kejadian di Perancis pula, umat Islam di Malaysia tidak berasa begitu tersentuh kerana ia berkaitan masalah dalaman negara itu. 

Tetapi oleh kerana ia berkaitan dengan nasib imigran dan pelarian beragama Islam yang berhijrah ke Perancis, maka ada sebab untuk berasa solidariti dengan mereka. 

Isu-isu di Sweden dan Perancis adalah sebahagian daripada masalah umum yang dihadapi oleh Eropah Barat. 

Kehadiran ramai migran dan pelarian dari negara-negara Islam menjejaskan bukan sahaja kehidupan biasa negara-negara maju itu tetapi menggugat jati diri mereka. 

Namun bagi para migran itu, dalam mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah, mereka tidak mahu mengorbankan jati diri dan agama sedia ada.

Terdapat banyak isu berkaitan dengan minoriti Islam di Eropah Barat.  

Dari soal integrasi dan asimilasi minoriti hinggalah kepada konsep multikulturalisme atau keragaman budaya kepada toleransi dalam sistem demokrasi Barat. 

Soal kesan ekonomi akibat kehadiran migran juga sentiasa menjadi perdebatan awam hinggakan ia mencorak semula politik negara-negara terlibat hingga membawa kepada populatiti parti-parti ekstrem kanan iaitu pihak ultra-nasionalis yang menolak kehadiran pendatang asing.

Di pihak dunia Islam, kehadiran migran dan pelarian di Eropah itu adalah berpunca dari polisi-polisi politik dan ekonomi Barat iaitu Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya. 

Contohnya, ramai orang Iraq berhijrah ke Eropah kerana negara mereka dimusnahkan oleh AS. 

Begitu juga dengan pendatang dari Afghanistan. 

Dari Afrika pula, negara-negara mereka gagal akibat polisi-polisi AS dan Eropah yang menjadikan penduduk di situ hilang harapan. 

Dalam pada itu, pemimpin dan kerajaan negara-negara umat Islam sendiri pun gagal untuk mentadbir negara mereka dengan baik.

Sementara itu, kejadian di Palestin itu juga ada kaitan dengan Eropah Barat.

Tentera Israel menyerbu Jenin dalam satu pencetobohan bersenjata yang merupakan sebahagian daripada masalah berpanjangan di Palestin. 

Israel sedikit pun tidak menghormati perjanjian damai kedua pihak. Ia bertindak demikian atas hujah mempunyai hak mempertahankan diri. 

Hujahnya itu mendapat sokongan AS dan negara-negara Eropah. 

Sokongan itu menggalakkan tindakan bersenjata Israel ke atas Palestin dari masa ke semasa. 

Bagi Palestin dan umat Islam, hak Israel untuk mempertahankan diri sudah tidak ada kerana ia menceroboh, menakluk dan menafikan kedaulatan negara Palestin. 

Pastinya Israel tidak wajar wujud jika ia tidak membenarkan penubuhan negara Palestin.

Tiga kejadian minggu lalu itu menilai realiti dunia hari ini. 

Walaupun ia kelihatan seperti soal hubungan antara Barat dengan umat Islam tetapi sebenarnya ia melibatkan seluruh dunia. 

Realiti dunia pada masa ini ialah dunia berada di bawah kepimpinan dan penguasaan Barat. 

Apabila berlaku tiga kejadian itu, ia menunjukkan kegagalan kepimpinan Barat terhadap dunia 

Contohnya, dalam kejadian pertama, Barat meletakkan kebebasan bersuara sebagai nilai yang mengatasi penghinaan terhadap agama Islam. 

Ini adalah suatu hipokrasi kerana jika sesiapa di Eropah yang menghina Yahudi, akan dituduh anti-semitisme dan pasti kerajaan mereka melenting.

Bagi kejadian kedua, ia lebih kepada kegagalan kepemimpinan kerajaan Perancis. 

Negara itu pula, bersama Jerman adalah tonggak kepada Eropah. 

Apa saja yang berlaku di Perancis akan memberi kesan kepada politik dalam sistem demokrasi benua itu.

Terhadap Israel pula, sikap negara-negara Barat terhadapnya boleh difahami apabila dilihat dalam konteks sejarah. 

Oleh kerana Barat memihak pada Israel dan tidak berlaku adil kepada Palestin, maka ia menunjukkan mereka tidak layak menjadi pemimpin dunia. 

Bagi banyak negara khususnya Rusia dan China, Barat hanyalah sebahagian daripada anggota dunia dan bukannya pemimpin dunia. 

Di pihak dunia Islam pula, suatu realiti mesti disedari. 

Kalau Barat dapat bersatu dengan AS sebagai ketuanya, dunia Islam tidak demikian. 

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak seperti Kesatuan Eropah (EU). 

Dunia Islam pula tidak ada ketua. Kegagalan dunia Islam adalah antara lain kerana ketandusan pemimpin yang bagus. 

Inilah realitinya. Sementara perangai migran dan pelarian beragama Islam di Eropah juga adalah suatu yang banyak boleh dipersoalkan. 

Sebagai sebahagian daripada umat Islam, tentu saya cenderung untuk memihak pada orang seagama dalam ketiga-tiga kejadian itu. 

Tetapi untuk menilai kejadian-kejadian itu secara objektif supaya dapat melihat realiti, saya perlu mengurangkan seberapa boleh sentimen agama saya, sesuatu yang amat sukar.

Realitinya ialah dunia ini dikuasai pihak Barat kerana mereka unggul dalam semua bidang kehidupan moden: politik, ekonomi, sosial, akademik, sains, teknologi dan intelektual.

Umat Islam akan terus dalam keadaan terhina selagi tidak menguasai bidang-bidang kehidupan moden. Barat pastinya akan menghalang pihak-pihak lain daripada menggulingkan kedudukan mereka. 

Walaupun realitinya dunia ini, seperti yang tercatat dalam sejarah sebagai medan rebutan kuasa, iaitu kini Barat sedang dicabar oleh Rusia, China dan Iran, tetapi ia tidak semestinya sedemikian. 

Dengan semangat Piagam Bangsa-bangsa Bersatu yang diisytiharkan selepas Perang Dunia Kedua, sepatutnta dunia ini adalah milik semua bangsa, agama dan negara. 

Harapan dunia untuk lebih baik tetap ada tetapi terpulang kepada mereka yang memiliki kuasa pada apa jua peringkat untuk kenyumbang kepada keadaan dunia yang lebih baik.