- Iklan -
Kolum

Sebelum semuanya berakhir

Kemusnahan yang akan kita terima hari ini bukan kerana ingkar perintah Tuhan, tetapi umat manusia sedang melawan alam semula jadi.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Kita diberi pencerahan bahawa perubahan iklim dan pemanasan dunia hari ini adalah hasil kerja tangan kita sendiri. 

Kita sendiri ini maksudnya kita umat manusia. Umat manusia anak semua bangsa. Bangsa dari semua negara.

Umat manusialah penyebab yang membawa malapetaka iklim yang kita hadapi sekarang. Bumi kita semakin panas. Kebakaran di sana sini.  

Sungai, tasik, kolam dan salji di gunung menjadi kering. Kemarau membawa kebuluran. Kebuluran menyebabkan orang menjadi pelarian.

Kerbau, lembu, kambing, ayam, itik dan lain-lain binatang ternakan mati dahaga. Mati bergelimpangan di sana sini.

Ratusan ribu pelarian iklim cuba menyelamatkan diri daripada malapetaka alam.  

Mereka berpindah-randah mencari wilayah dan mukim yang lebih selamat daripada bahang matahari yang membakar.

Bergerak beramai-ramai mencari mukim dan wilayah yang ada punca air. Mencari air untuk diminum, air untuk binatang ternakan.

Ratusan ribu umat manusia pelarian iklim berpindah dari wilayah asal ke wilayah asing. 

Meninggalkan tanah tumpah darah, tanpa pasport tanpa visa, meredah untuk mencari bumi subur agar dapat bercucuk tanam.  Untuk memulakan hidup baru.

Apa yang saya tulis ini bukan tanda-tanda kiamat sudah sampai. Saya bukan pembawa ayat-ayat syaitan yang menakutkan. Saya hanya berniat ingin memberi pencerahan.

Pencerahan yang saya tulis adalah daripada apa yang saya dengar, apa yang saya baca dan apa yang saya tonton. 

Semua ini manifestasi malapetaka iklim. Semua sedang terpampang di hadapan mata.

Daripada kitab-kitab kuno, daripada kitab suci, kita membaca bagaimana Nabi Nuh dilanggar banjir.

Kita mendengar surah-surah bagaimana kota Thamud hancur dipukul oleh debu padang pasir. Atau kota Thonis di Mesir tenggelam disedut ke perut laut.

Kitab-kitab suci menyatakan kota-kota ini musnah kerana melanggar hukum tuhan.

Kali ini dalam kurun ke-21 pada zaman pasca moden, di mana metanaratif diketepikan.  

Kita bukan lagi melanggar ajaran Nabi atau ingkar perintah Tuhan.  

Kemusnahan ini sampai kerana kita umat manusia sedang melanggar bukan hukum tuhan, tetapi melanggar hukum alam.

Bumi dan alam kita ini berjalan dan bergerak dengan sistem dan putaran yang tersusun rapi. 

Daripada kajian ilmiah semua yang wujud di bumi ini, walaupun sebesar zarah memiliki peranan masing-masing.

Hukum dan syarat wujudiah kita di bumi ini adalah hasil evolusi yang sudah berjalan berbilion tahun.

Dari Big-Bang, ledakan pertama, kun fayakun, jadi maka jadilah, berbilion tahun dahulu, daripada setitik atom kita berevolusi untuk menjadi bumi, cakerawala, bintang dan alam semesta.

Pokok, kayu-kayan, hutan belantara, binatang, hidupan dan umat manusia adalah hasil evolusi. 

Daripada proses evolusi kita jadi kita seperti yang wujud pada hari ini.

Tamadun moden manusia mewujudkan kota London, Paris, Berlin, Shanghai, Kaherah, Mumbai, Jakarta, Singapura, Beirut, New York  atau Kuala Lumpur yang didalamnya ada Brickfields, tempat saya bercanda-canda.

Dunia dan alam ini bersama kota-kota yang indah wujud untuk kita  singgahi. 

Kita singgah sebentar sebagai penumpang transit. Kita membonceng untuk sementara waktu di bumi yang indah ini.

Bumi dan mukim yang kita pijak ini bukan milik kita. Bumi ini kita pinjam daripada anak, cucu dan cicit kita.

Bayangkan bumi yang indah ini akan termusnah. Tanpa kita sedari kitalah yang bertanggungjawab memusnahkan apa yang kita ada hari ini.
 
Semua kota-kota dan tamadun moden yang penuh dengan bangunan pencakar langit akan musnah seperti Thamud, seperti kota  Pompeii, seperti kota Sodom dan Gemorrah.

Kemusnahan kota dulu-dulu kerana ingkar dengan perintah Tuhan. 

Kemusnahan yang akan kita terima hari ini bukan kerana ingkar perintah Tuhan, tetapi umat manusia sedang melawan alam semula jadi.

Manusia melawan alam, “homo sapiens versus the earth” dan inilah yang membawa kemusnahan.

Maka kita bertanya: “Jika begini keadaan, apa yang wajib dilakukan?”

Apa yang wajib dilakukan ialah persoalan induk. 

Jawapan daripada persoalan akan merungkai untuk membawa kita mencari jalan keluar daripada malapetaka yang maha dahsyat ini.

Saya yakin kita umat manusia memiliki fikrah. Upaya daripada fikrah ini akan memungkinkan kita membuat sesuatu untuk selamat daripada malapetaka ini.

Kita sedar kita adalah penyebab, justeru kita wajib bertindak.  

Tindakan ini terbahagi kepada dua cara. 

Cara pertama: cara individu persendirian. Cara kedua: cara kolektif berkumpulan.

Pencerahan yang kita terima ini seharusnya menjadi pemangkin untuk ini mewajibkan kita sebagai sosok untuk mengambil langkah bersendirian.

Kita sendirian boleh melakukan tanpa memerlukan orang lain.

Kita mula kurangkan penggunaan plastik. Gunakan pengangkutan awam. Kurangkan pembakaran bahan bakar fosil. 

Kitar semula botol-botol plastik. Ketika dibuang masukan ke dalam tong yang menerima plastik untuk dikitar semula.

Jika bercucuk tanam cuba elakkan penggunaan bahan kimia untuk baja atau untuk melawan serangga.

Jangan kita racuni bumi kita ini. Meracun serangga bermakna meracun diri kita juga kerana racun itu tidak musnah. 

Akhirnya racun itu akan sampai juga ke meja makan kita.

Kurangkan keberahian untuk memiliki itu dan ini. Nikmati apa yang sedia ada. 

Kebahagiaan bukan mengumpul. Berahi tidak ada sempadan. Berahi tidak ada noktah.

Dengan penuh kesedaran kita wajib menjadi pengguna jenis baru. Pengguna yang memiliki kesedaran tentang alam sekitar.

Cara kedua: Cara berkelompok, kolektif dan berkumpulan. Apakah kita sudah lupa dengan konsep bergotong royong? Apakah kita lupa dengan konsep berseraya?

Dengan penuh kesedaran untuk menyelamatkan bumi ini kita bantu-membantu dan ingat mengingatkan. Kita tidak ada jalan lain. Sikap individualisme, “jadi enau dalam belukar”, tidak akan menyelamatkan bumi ini.

Memang kesan kerja berseorangan dengan berkumpulan jauh bezanya. 

Dampak apa yang kita lakukan akan lebih berkesan jika seluruh kampung, seluruh daerah atau seluruh negeri membuat perkara yang sama.

Tolak penggunaan beg plastik. Pulaukan kedai yang tidak menggunakan cawan kaca atau tembikar. 

Hanya masuk ke rumah makan di mana pinggan mangkuk cawan yang boleh diulang pakai. 

Bawa mangkuk sendiri ketika tapau. 

Bawa balang, bekas, kerpai atau bakul sendiri ketika membeli-belah di pasar.

Ingat banjir ingat plastik. Ingat plastik ingat kemarau. Ingat kemarau ingat pemanasan dunia.

Bayangkan jika seluruh warga Malaysia mengambil sikap sedemikian.

Saya juga yakin apa yang saya cadangan untuk kita lakukan ini tidak akan memberi dampak yang  besar.  

Anggap ini tidak salah.

Tetapi kesedaran dan apa yang kita lakukan ini bukan hanya dilakukan di Kuala Lumpur, di Ipoh atau di Malaysia. 

Perkara yang sama wajib dilakukan juga di New York, London, Paris, Dhaka atau Shanghai.

Hakikatnya dari Mumbai ke Moscow, dari Karachi ke Kathmandu, dari Perth ke Port Moresby, dari Jepun ke Jamaica, dari Brazil ke Bhutan, malah umat manusia di seluruh dunia wajib mengamal sikap yang sama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sudah berkali-kali memberi ingatan. 

Pada 23 Mac 2023 dia berkata: “Setiap tahun tindakan yang tidak mencukupi untuk mengekalkan pemanasan global di bawah 1.5 darjah celsius mendorong kita lebih dekat ke jurang, meningkatkan risiko sistemik dan mengurangkan daya tahan kita terhadap bencana iklim.”

Pada 29 Mac 2023, para saintis iklim terkemuka mengeluarkan laporan penilaian akhir mereka tentang perubahan iklim.

Mengisytiharkan ini adalah peluang terakhir untuk mengehadkan pemanasan global yang disebabkan oleh manusia kepada 1.5 celcius di atas paras pra-industri sebelum kerosakan menjadi tidak dapat dipulihkan.

Membaca kenyataan para saintis iklim ini saya menjadi risau dan takut. 

Dalam ketakutan dan kerisauan ini saya wajib bertindak. Bukan tindakan bersendirian tapai secara kolektif, secara  beramai-ramai.

Warga dunia tahu penjenayah utama pemanasan dunia hari ini ialah syarikat minyak. 

Syarikat minyak, mencari gali tenaga fosil untuk menjadi bahan bakar, adalah penyebab utama dunia jadi panas.

Syarikat gergasi antarabangsa seperti Shell, Esso, BP, Aramco dan banyak lagi adalah penyebab dunia jadi panas. 

Syarikat ini amat degil dan berdolak-dalik dalam usaha untuk melawan pemanasan dunia.

Dengan dana syarikat minyak membayar saintis untuk mengeluarkan kajian molek yang berupaya melapik jenayah syarikat minyak.

Dengan dana yang lumayan syarikat minyak membeli pengaruh di tampuk kuasa. 

Mereka  melobi politikus dalam Dewan Kongres Amerika Syarikat, dalam Parlimen United Kingdom, dalam National Assembly Perancis. 

Di negara Dunia Ketiga seperti di Nigeria mereka membeli seluruh negara. Ini hakikat kuasa syarikat minyak.

Yang perlu dilobi akan dilobi. Yang perlu dirasuah akan di beri dolar. Gali terus gali.

Hakikatnya sistem ekonomi dunia kita ini, sistem kapitalis dipasak oleh syarikat minyak. 

Sistem kapitalis inilah yang membawa malapetaka iklim hari ini.

Apakah kita tidak ada jalan keluar?

Jawabnya ada. Dunia ini milik anak semua bangsa. 

Dunia ini milik bangsa semua negara. 

Maka kita wajib bangun bersama-sama beramai-ramai menuntut penggalian bahan tenaga fosil ini dikurangkan dan akhirnya dihentikan.

Tenaga penggerak baru dalam tamadun baru manusia ialah cahaya mata hari. 

Kuasa matahari adalah tuhan Ra yang disembah oleh Mesir Kuno. 

Tenaga solar wajib menjadi jawapan kepada kita semua.

Jika syarikat minyak terus berdegil. Jika politikus terus tak ambil pot. Dunia makin terbakar maka masanya sudah sampai untuk kita bergotong-royong menghumbankan politikus-politukus ini ke dalam tong sampah sejarah.

Kita memilih dan melantik politikus baru yang faham tentang malapetaka iklim.  

Dan akan bertindak melawan malapetaka iklim.

Bila politikus berubah maka pengaruh syarikat minyak akan mengendur. 

Jika politikus dan syarikat minyak bersekongkol maka kita wajib turun ke jalan raya.

Bila seluruh warga dunia, dari Dubai ke Delhi, dari London ke Los Angeles, dari Peking ke Panama dari Toronto ke Timbaktu, dari Melbourne ke Marseille semua turun ke jalan raya, saya yakin dunia kita ini akan dapat diselamatkan.