- Iklan -
Kolum

Sekolah berasrama penuh institusi tonggak orang Melayu

Pelbagai dasar dan inisiatif digubal sejak merdeka lagi supaya orang Melayu tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sudah menjadi salah satu institusi tonggak bagi orang Melayu di negara ini.

Orang Melayu akan mempertahankan kewujudan SBP dan MSRM seperti mana kaum Cina di negara ini mahu memastikan sekolah jenis kebangsaan Cina sentiasa ada di Malaysia.

Kehadiran sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Cina dianggap sebagai institusi tonggak kewujudan kaum itu di negara ini, atau boleh juga disebut sebagai “existential pillar”. 

Lain-lain tonggak adalah penggunaan bahasa Cina itu sendiri, akhbar-akhbar bahasa Cina, kebebasan berniaga dengan adanya Dewan-dewan Perniagaan Cina dan amalan budaya Cina melalui pelbagai jenis persatuan suku kaum.

Maka dapat difahami bahawa soal sekolah jenis kebangsaan Cina adalah sesuatu yang sensitif.

Bagi orang Melayu, tonggak kewujudan itu tidak ketara kerana kaum ini adalah majoriti dan memegang kuasa politik dan perkhidmatan awam. 

Bahasa Melayu pula sudah menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. 

Sekolah pengantar bahasa Melayu sudah menjadi sekolah kebangsaan. 

Agama Islam juga sudah menjadi agama rasmi yang mana institusi-institusinya dibiaya oleh kerajaan.

Tetapi orang Melayu juga mempunyai tonggak kewujudannya. 

Asas pada tonggak ini adalah tentunya institusi Raja-raja Melayu, diikuti dengan agama Islam dan hak keistimewaan yang diterjemahkan dalam bentuk pendidikan dan ekonomi. 

Pelbagai dasar dan inisiatif digubal sejak merdeka lagi supaya orang Melayu tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan ekonomi. 

Ada pandangan bahawa dasar dan inisiatif ini merupakan sesuatu yang sementara, iaitu ketika orang Melayu masih tidak dapat bersaing dengan orang Cina. 

Namun walaupun terdapat banyak kejayaan, setelah 66 tahun Merdeka, orang Melayu masih ketinggalan. 

Sebaliknya ada pihak berpendapat bahawa orang Melayu patut selamanya dibantu dalam bidang pendidikan dan ekonomi kerana ia merupakan hak nasional mereka. 

Maka ia sudah menjadi suatu “entitlement”, tidak kira sama ada orang Melayu itu golongan marhaen atau elit. 

Golongan elit Melayu yang menguasai bidang politik dan ekonomi pasti secara disedari atau tidak akan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan keturunannya.

Maka badan-badan atau agensi yang asalnya bertujuan untuk membantu orang Melayu sudah menjadi institusi tonggak yang akan sentiasa perlu dipertahankan. 

Maka membincangkan perkara ini juga menjadi suatu yang sensitif. 

Tidak kira apa pun parti yang menjadi kerajaan, ia pasti terpaksa mempertahankan institusi-institusi ini. 

Antara institusi ini ialah Mara, Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad.

Maka apabila timbul perbincangan mengenai MRSM baru-baru ini, ia juga menjadi sensitif. 

Apa yang berlaku ialah bukan saja MRSM sudah menjadi institusi teras bagi orang Melayu tetapi keseluruhan sistem SBP yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan juga sudah begitu rapat dengan masyarakat Melayu dan mereka pasti sensitif terhadap apa saja perubahan yang dilakukan terhadapnya.

Walaupun hanya segelintir saja di kalangan masyarakat orang Melayu yang dapat memasuki SBP dan MRSM tetapi setelah berpuluh-puluh tahun kewujudannya, maka sudah tentu ada ramai lepasan sekolah-sekolah itu di negara ini. 

Tentunya kebanyakan bekas pelajar itu menjadi orang berjaya dalam masyarakat dan sebahagiannya menyertai golongan elit negara. 

Mereka juga mahukan anak dan cucu mereka memasuki SBP dan berjaya seperti dirinya.

Isu ini timbul minggu lalu apabila Asyraf Wajdi Dusuki dari Umno dilantik sebagai pengerusi Mara. 

Antara perkara pertama yang diutarakan adalah cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar. 

SBP, MRSM dan Mara sendiri adalah suatu yang sensitif bagi orang Melayu. Maka muncullah kontroversi mengenai cadangan itu.

MRSM berbayar tentunya untuk anak-anak golongan elit Melayu. 

Dengan adanya MRSM berbayar, ia mengatasi masalah apabila anak-anak golongan elit yang masuk ke sekolah itu bersama dengan anak-anak golongan lain dari kalangan marhaen. 

Ini kerana MRSM mendapat banyak bantuan dari kerajaan melalui peruntukan Mara. 

Maka wajarkah anak golongan elit mendapat bantuan yang sama kerana mereka sebenarnya mampu? 

Sedangkan tujuan asal seperti yang difahami secara umum oleh orang ramai, SBP dan MRSM adalah untuk menyediakan tempat bagi pelajar-pelajar yang cemerlang tetapi keadaan persekitaran mereka seperti kemiskinan boleh menjejaskan pembelajaran.

Maka satu tempat yang diberikan kepada anak golongan elit bermakna ia menafikan satu tempat untuk golongan orang kebanyakan dan biasa. 

Tentu pemahaman itu tidak dapat diterima oleh golongan elit terutama mereka yang merupakan lepasan SBP dan MRSM. 

Bagi mereka, SBP dan MRSM adalah hak semua orang Melayu, tidak kira sama ada mereka adalah golongan elit atau tidak. 

Asalkan layak, maka mereka berhak masuk ke SBP dan MRSM.

Beberapa tahun lalu, ada timbul bahawa lepasan MSRM mahukan anak-anak mereka diutamakan untuk memasuki sekolah itu. 

MSRM ini bukan saja sekolah yang baik, tetapi daripadanya, ia memperoleh peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan biasiswa atau pinjaman Mara. 

Itu yang mendorong mereka berebut hendak memasuki MSRM.

Maka tentunya ada pihak yang mempersoalkan apa hak bekas pelajar terhadap sekolah lamanya. 

Ini kerana sekolah itu dibiaya oleh kerajaan dan terbuka untuk semua rakyat negara ini. 

Anak bekas pelajar tidak mempunyai kelebihan daripada orang lain. 

Sikap ini menampakkan mentaliti entitlement di kalangan golongan elit. 

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa ramai anak-anak golongan elit yang dapat masuk SBP dan MRSM.

Ia mendedahkan bagaimana masyarakat Melayu kini juga terbahagi kepada golongan elit dan bukan elit. 

Golongan elit ini mempunyai pengaruh politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat. 

Walaupun mereka adalah minoriti dalam kalangan orang Melayu tetapi pengaruh mereka adalah besar. 

Dengan pengaruh mereka, golongan elit ini boleh buat apa saja untuk menjaga kepentingan mereka dan keturunannya.

Maka tidak menghairankan bahawa desakan mereka supaya MRSM berbayar diwujudkan akan berhasil juga nantinya. 

Maka akan timbul dua darjat dalam sistem MRSM ini. 

MRSM berbayar ini akan menjadi sekolah premium, jauh berbanding sekolah MRSM biasa.

Ada pihak menyatakan, apa salahnya MRSM berbayar ini diwujudkan kerana ia bukan menerima bantuan kerajaan. 

Tetapi jika ia diwujudkan, pastinya ia menggunakan khidmat pegawai dan tenaga pengajar Mara yang dibiayai oleh peruntukan kerajaan. 

Pihak pengurusan Mara dan MRSM yang dibayar gajinya oleh kerajaan terpaksa memikirkan juga soal MRSM berbayar kerana ia tetap di bawah pentadbirannya 

MRSM merupakan sistem yang berada di luar Kementerian Pendidikan. 

Di situ mereka boleh belajar dengan menggunakan bahasa pengantar Inggeris sedangkan anak-anak Melayu lain di sekolah biasa belajar dalam bahasa kebangsaan. 

Inilah yang dikehendaki oleh golongan elit Melayu, iaitu supaya anak-anak mereja dapat peluang lebih besar dalam hidup. 

Tidakkah ini suatu hipokrisi dalam pendidikan?

Orang Cina tidak memerlukan SBP dan MRSM untuk mereka maju dalam pendidikan dan kerjaya. 

Mereka memperkasakan sekolah jenis kebangsaan Cina hinggakan ia lebih berdaya saing daripada sekolah kebangsaan. 

Mereka juga mampu menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran di luar negara dengan wang sendiri.

Tanpa bantuan kerajaan dan subsidi, anak-anak Melayu tidak akan mampu untuk belajar di universiti apatah lagi di luar negara. 

Melalui SBP dan MRSM barulah mereka dapat belajar di luar negara. 

Setelah maju dan berjaya dalam kerjaya, mereka boleh menjadi sebahagian daripada golongan elit.

Tetapi sebagai golongan elit, tentulah mereka mampu untuk mewujudkan sekoiah-sekolah swasta yang menepati selera mereka.

Golongan ini juga mampu untuk menghantar anak mereka belajar di luar negara.  

Mereka tidak wajar bergantung kepada institusi kerajaan untuk pendidikan anak-anak mereka. 

Tetapi manusia akan sentiasa mencari jalan untuk mempertahankan kekayaan masing-masing daripada sebarang hakisan.