- Iklan -
Rencana

Silap mata sistem meritokrasi

Agenda pelbagai kaum ini dibelakangnya ada sistem meritokrasi yang boleh dijadikan sebagai senjata untuk tujuan kuasa politik.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia berkibar ditiup angin malam menyambut orang ramai pelbagai kaum yang datang berkunjung ke Dataran Merdeka untuk menikmati keindahan kota Kuala Lumpur.
Bendera Malaysia berkibar ditiup angin malam menyambut orang ramai pelbagai kaum yang datang berkunjung ke Dataran Merdeka untuk menikmati keindahan kota Kuala Lumpur.

Kenapa hari ini saya menolak agenda politik "pelbagai kaum" yang menjadi agenda DAP (yang juga didukung oleh Pakatan Harapan)? Saya akan cuba jelaskannya di sini. 

Dalam agenda politik "pelbagai kaum" ini ada beberapa instrumen penting yang akan menggerakkannya, pertama dasar meritokrasi. Dasar ini pada asasnya baik, iaitu untuk memastikan mereka yang terbaik diberi peluang sama rata. Dan kebetulan (barangkali) ia menjadi pendekatan dan dasar di Singapura dan ia sangat popular. 

Sistem meritokrasi ini menjadi hujah mereka kepada kita tentang bagaimana Singapura membangun dan menjadi lebih maju dari Malaysia. Dan ini menjadi suatu kebanggaan bagi mereka. Dalam aspek integriti, Singapura juga dijadikan contoh oleh parti DAP bagaimana indeks persepsi rasuah negara itu yang lebih baik berbanding Malaysia. 

Namun mungkin ramai tak sedar atau tak peduli bahawa sistem politik negara itu tidak demokratik, malah lebih buruk dari Malaysia hatta negara haram Israel. Bukan sahaja senjata saman digunakan untuk melenyapkan suara pembangkang, malah ISA juga kekal wujud di Singapura. Kerana itu kerajaan Singapura tidak pernah bertukar sejak keluar dari Malaysia, malah identiti Singapura diadun semula dengan cukup halus menjadi negara baru "pelbagai kaum", Melayu menjadi simbol mewakili sejarah lampau. Semua ini berjaya dilaksanakan kerana adanya sistem "pelincir" yang dinamakan meritokrasi. 

Meritokrasi ini juga dijadikan hujah untuk menyeimbangkan penempatan penduduk agar tidak ada kawasan majoriti suatu kaum dan dilihat tidak "pelbagai kaum". Kerja-kerja penyusunan komuniti ini dilakukan oleh agensi kerajaan. 

Dengan cara halus ini, maka suara dan kerusi parlimen tidak lagi didominasi oleh satu kaum, dengan strategi ini, maka mudah untuk dikawal dan dipantau oleh parti yang menjadi kerajaan. 

Keterangan ini boleh memberi gambaran mengapa Menteri KPKT beria-ia mahu Malaysia belajar dari Housing Development Board (HDB) Singapura. 

Realiti hari ini di Malaysia, kedudukan kerusi parlimen dan penempatan masyarakat di Malaysia dikatakan tidak seimbang dan tidak melambangkan "pelbagai kaum", ini termasuk hujah ekonomi dan sosial yang mentah yang dijual untuk mengabsahkan cadangan itu. Justeru untuk menyeimbangkan dan menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial itu, maka penyusunan semula penempatan perlu dilakukan. 

Inilah intipati idea "pelbagai kaum" dengan adanya penyusunan semula untuk menyeimbangkan demografi penduduk agar dapat mengurangkan atau menghilangkan kawasan majoriti sesuatu kaum, dalam konteks Malaysia – Melayu. 

Apabila tiada lagi kawasan majoriti, maka hilanglah kerusi parlimen majoriti Melayu. Maka perlahan-lahan identiti baru Malaysia boleh diubah dengan cara yang sistematik. Apakah ini model yang mahu dicuba di Malaysia menerusi agensi yang dikatakan sangat berjaya di Singapura itu? 

Pada 18 Februari 2023, Tun M ada mengulas kekhuatiran beliau berkaitan persempadanan semula kerusi-kerusi parlimen. Malah semalam, Tun menyuarakan lagi kebimbangannya berkaitan perkara ini dalam suatu majlis dialog – Perjuangan Yang Hilang di Putrajaya. Jika melihat senario di atas, adakah kekhuatiran Tun M ini tidak berasas? 

Pada masa yang sama, kita hairan mengapa Menteri KPKT tidak dapat memberi hujah yang jelas apabila ditanya – mengapa HDB? Apakah tidak ada agensi lain yang ada rekod bagus di dunia ini untuk kita bekerjasama dan belajar? Belajar itu bagus, tetapi mengapa mesti dari HDB? Menteri juga mengugut mahu saman pengkritik beliau.

Tuan-tuan, saman ini sememangnya menjadi amalan budaya politik Singapura. Dengan cara inilah mereka menutup mulut pengkritik. 

Jangan lupa, baru-baru ini terdapat laporan media menyatakan bahawa P. Ramasamy, seorang jargon DAP yang meminta Anwar Ibrahim memecahkan dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam, mereka mahu dasar "pelbagai kaum" yang dianggap lebih molek.

Namun setelah kita sedari bahawa agenda pelbagai kaum ini dibelakangnya ada sistem meritokrasi. Dan sistem yang baik ini menjadi instrumen dan senjata untuk tujuan kuasa politik. Inilah silap matanya.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow