- Iklan -
Berita

Anwar harus pecahkan monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam, kata DAP

Terdapat dasar 'mengimbangi' penguasaan ekonomi Cina dengan membawa masuk pelabur asing, serta melalui pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menggesa Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam, menyebut sektor itu kini hanya dikuasai oleh orang Melayu susulan dasar yang dilaksanakan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Hujah lama yang memihak kepada penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam bagi mengimbangi penguasaan ekonomi Cina tidak boleh lagi diguna pakai," kata pemimpin DAP itu. 

"Ini adalah antara hujah yang digunakan oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam khususnya perkhidmatan awam," kata Ramasamy, sambil menambah terdapat "diskriminasi kaum secara rahsia" apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat bagi bukan Melayu dalam sektor awam.

Ramasamy berkata terdapat dasar "mengimbangi" penguasaan ekonomi Cina dengan membawa masuk pelabur asing, serta melalui pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.

"Memandangkan kepelbagaian ekonomi mengenai pemilikan dan kawalan adalah tidak masuk akal untuk memastikan perkhidmatan awam kekal sepenuhnya di tangan orang Melayu.

“Dasar perkauman seperti itu tidak boleh dipertahankan lagi, bukan apabila kerajaan perpaduan berkuasa," katanya, menggunakan frasa itu bagi menggambarkan kerajaan campuran perdana menteri yang dibentuk selepas pilihan raya umum tahun lalu. 

Sambil menyifatkan Anwar sedar keperluan untuk memecahkan monopoli orang Melayu terhadap perkhidmatan awam, Ramasamy berkata beliau tidak bersetuju dengan alasan bahawa orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat.

Beliau berkata kerajaan sedia ada tidak boleh bersikap acuh tak acuh, sebaliknya perlu membatalkan segera dasar yang diperkenalkan Mahathir.

“Anwar dan Mahathir amat berlawanan dari segi ideologi, dan sudah tentu Anwar tidak boleh lupa bahawa usaha melawan kerakusan Mahathirisme antara lain bermula dengan mereformasikan perkhidmatan awam.

"Agenda reformis di bawah kerajaan perpaduan mungkin tenggelam, tetapi dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai pengemudinya, ia tidak akan tersasar daripada apa yang dijanjikan kepada rakyat."