- Iklan -
Kolum

55 tahun kemudian

Tan Soo bersurah ketika kami bertemu untuk kali pertama setelah 55 tahun.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Dua hari sebelum bergerak ke Tanjung, Pulau Pinang aku menelefon Tan Soo. Perempuan Cina ini kawan baik aku. Lama betul tidak berjumpa. Kali akhir kami bertemu 55 tahun lalu.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, aku tidak ke mana-mana. Hendak ke Petaling Jaya (PJ) pun dilarang. 

Maka aku duduk berkurung di Le Chateau. Sekali dua pulang ke Jelebu dengan permit polis. 

Kampung aku hanya tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Ketika PKP aku merayau dalam alam siber. Aku merayau dan berbual melalui telefon dengan kawan lama lama kerana tidak dapat berjumpa. 

Akhirnya aku bertemu kembali dengan Tan Soo. Kami bercakap melalui telefon.

Bila PKP tamat, aku betul-betul nak merayau di alam nyata. 

Merayau dan berjalan untuk berjumpa kawan lama ini. Perjalanan ini mewajibkan aku melintasi sempadan Selangor, masuk ke Perak sebelum ke Tanjung.

“I am coming to Penang, we must meet up.” Aku membuat temu janji dengan Tan Soo.

Kali pertama aku melihat sosok yang bernama Tan Soo ini pada tahun 1961. Ini ketika aku masuk ke Goverment English School (GES) Kuala Klawang. Aku lulus peperiksaan Special Malay Class (SMC) dan diterima masuk ke sekolah Inggeris.

Tahun 1961 aku menjadi murid SMC 1. 

Ini kelas peralihan dari aliran Melayu ke aliran Inggeris.  

Selama dua tahun dalam  kelas peralihan ini. Kami semuanya murid Melayu, lelaki dan perempuan.

Ada Hafiz, Zul, Ghafar, Maimon, Maimunah, Haris, Sharifah, Jamaluddin, Aziz, Norisah dan Kamaruddin. 

Ini nama-nama yang masih aku ingat.  

Tahun 1963 aku masuk ke standard six. Kami disatukan dalam kelas bersama dengan murid-murid yang dari asal masuk darjah 1  aliran Inggeris.

Dalam kelas ini ada murid Melayu, Cina dan India. Mereka sudah lima tahun belajar bahasa Inggeris. Mereka lebih fasih berbanding dengan kami dari SMC.

Dalam kelas standard six ini, ada Tan Soo.

Tetapi, sebelum kami disatukan dalam darjah enam, aku sudah kenal Tan Soo lebih awal. 

Mustahil ada pelajar di GES yang tidak kenal Tan Soo. Dia berambut pendek, bergaun biru, kasut getah putih, stoking putih dan berbaju putih.

Tan Soo dilihat “Tom Boy”. Lincah dan amat peramah. Senang jadi kawan.

“Aku jahat dari sekolah lagi.” 

Tan Soo bersurah ketika kami bertemu untuk kali pertama setelah 55 tahun. 

Kami bertemu di Lighthouse Cafe, Penang Road. Dalam kawasan Gereja St Joseph, pada Isnin terakhir Januari 2023.

“Dalam hidup ini kita boleh jadi dua perkara, teladan atau sempadan.” Aku berfalsafah.

“Kau jadi apa?” Tan Soo bertanya.

“Aku jadi sempadan. Ramai emak dan bapak akan berkata, jangan jadi macam Hishamuddin Rais. Dia jahat, aku akhirnya jadi orang yang dilarang untuk diikuti oleh emak dan abah aku sendiri. Ha ha ha” Aku dengan bangga ketawa.

“Dalam kereta tadi aku kira-kita, last time kita jumpa tahun 1968 di SMUJ. 55 tahun dulu, woit lama betul.

“Kau form five aku form 4, aku tercicir satu tahun.” 

Tan Soo mengingatkan kembali bagaimana dia gagal LCE dan mengulang sekali lagi.

“Kau ingat lagi kita ke Seremban naik land rover? Cikgu Asli duduk depan, kita di belakang untuk pertandingan syarahan.” 

Tan Soo bernostalgia.

Aku ingat lagi ketika kempen Bulan Bahasa Kebangsaan Tan Soo adalah wakil syarahan untuk murid bukan Melayu. 

Tan Soo dan aku wakil daerah Jelebu ke peringkat negeri.

“Tak kan aku lupa, aku johan Negeri Sembilan Tahun 1963.” Aku juga bernostalgia.

“Kau ingat tak Mariani? Grace anak Veloo, Lim Meng Lee, Rosmah Mansor, Wong ingat tak?” Aku cuba mengembalikan ingatan 60 puluh tahun dahulu.

“Yang lain aku ingat, sapa Rosmah Mansor?” Tan Soo bertanya.

Aku hairan kerana Tan Soo boleh melupakan Rosmah Mansor.

“Rosmah Mansor mana?” Tan Soo bertanya lagi.

“Laaaa, yang ada tahi lalat besar di dagu. Kau lupa ke? Rosmah la yang kawin dengan Najib (Razak) tu.” 

Aku menjadi hairan kenapa Tan Soo boleh lupa akan kawan sekelas.

“Call Lim Meng Lee, call sekarang.” Aku meminta.

Tan Soo mengambil telefon dan menghubungi Lim Meng Lee.

“Hello, how are you? Meng Lee, Isham sini, kau ingatkan Tan Soo. Dia lupa Rosmah kawan standard one dia. She can’t remember Rosmah Mansor.”

Aku bersuara kuat kerana telefon terletak atas meja untuk membolehkan kami bertiga berbual.

“Haiya, Isham how are you? We forget many things. Time passed.” Meng Lee memberi alasan.

“You remember Hafiz? Ha ha ha. You syiok dengan dia dulu, ingat tak?” Aku melawak sambil mengingatkan kisah-kisah cinta kami di zaman murid sekolah.

“I remember him.” Meng Lee ketawa.

“Dia di Seremban, you also in Seremban.” Aku cuba membakar cinta lama.

Tan Soo mengambil telefon dari meja dan berbual dengan Meng Lee.

“Where is Lee Keong? Is he stlll in America?” Tan Soo bertanya pada Meng Lee tentang Lee Keong kawan lama kami.

“Dia ada kat Seremban la.” Aku menjawab.

Aku lihat Tan Soo walau pun sudah masuk tujuh siri tetapi tidak memakai kaca mata bila membaca WhatsApp. Tidak seperti aku. Wajib ada kaca mata dekat untuk membaca dan kaca mata jauh untuk melihat jauh.

“Your eyes sight still good.” Aku memuji Tan Soo.

“I have no problem with eyes sight.” Tan Soo menerangkan.

“Kau umur nak lebih 70 cekap memandu, aku memandu pun tak pandai.”  

“You don’t drive?” Tan Soo hairan aku tidak pandai memandu.

“Kereta apa pun aku tak kenal, untuk aku semua sama.”
 
Lalu aku bersurah bagaimana hidup di London dan di Eropah memaksa aku untuk tidak memerlukan kereta.

“Di Belgium dan di London aku ada basikal, di sana aku berani mengayuh.” Aku menjelaskan.

Bila pulang berkelana selama 20 tahun, aku merasa amat takut bila melihat kereta lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Aku takut tengok kereta di sini, aku juga ada niat nak naik motor, masa aku di Universiti Malaya dulu aku ada motor, tapi sekarang dah takut. 

“Tahun 70-an aku dah merempit, kat flat aku sekarang ada basikal tapi tak berani nak kayuh.” Aku mencurahkan perasaan.

“Sistem transport sana bagus.” Tan Soo memuji sistem pengangkutan awam di Eropah.

“Kau pandu Grab? Wah, kau nak relaks memandu. Tak nak jaga cucu? Dari pukul berapa ke pukul berapa kau bawa Grab?” Aku bertanya.

“Jam 5 pagi sampai 5 petang. Long story Isham. Masa kecik aku susah. Dah tua pun aku susah, patut aku rehat sekarang.” 

Suara Tan Soo berubah daripada ceria menjadi sayu.

Aku memandang tepat pada muka Tan Soo. Aku mengenali lama sosok ini. Aku faham maksud susah yang dialami oleh Tan Soo.

Pada tahun 1967 ketika aku dalam tingkatan empat aku menginap di hostel. 

Di seberang jalan asrama sekolah ialah kawasan gereja. Kawasan ini berpagar.  

Agak jauh dari gereja ada sederet rumah di tepi pagar tidak jauh dari asrama. Salah satu rumah ini adalah rumah Tan Soo.

Pintu pagar masuk ke kawasan rumah Tan Soo betul-betul di hadapan tangga asrama kami.

“Kau tahu aku anak angkat kan?” Tan Soo memberi ingatan.

Perkara ini aku tahu. Malah ketika bersekolah Tan Soo bukan dalam keadaan yang lumayan. Aku tahu hidup dia susah.

Aku selalu ternampak Tan Soo akan keluar memotong getah dahulu sebelum masuk ke sekolah.

Dari tingkap hostel aku nampak Tan Soo memakai topi dan berbasikal. Pergi menoreh getah di kebun yang tidak jauh dari sekolah.

“Aku anak angkat, emak angkat aku suruh aku kerja. Tak kerja tak makan.” 

Tan Soo mengingatkan kembali pada zaman persekolahan kami.

“Aku tinggalkan Jelebu dan aku mahu lupakan semua. I want to forget everything. After exam finish, aku gi Singapura kerja factory. 

“Setahun kerja di sana, lepas Singapura aku pindah ke Penang kerja kilang elektronik sampai middle management level.” 

Tan Soo bercerita.

“Kau ada pulang ke Jelebu?” Aku bertanya.

“Ada tapi jarang.”

“Jangan lupakan Jelebu, kau ingat Missus Ali Abu Bakar? Dia ajar kita history, form four dia ajar health science.”  

Aku cuba membawa sejarah ketika kami anak sekolah.

“Kau ingat tak page 210, buku health science. Ada gambar jantan betina telanjang.”

Aku ingatkan kembali gambar bogel di muka surat 210. Ini gambar bogel untuk kami mengenal jantina lelaki dan perempuan.

“Kau ingat semua, aku tak ingat.”

“Mustahil aku lupa perkara ini, sekarang aku sedang menulis biografi aku. Aku kena ingat semua ini.” 

Aku cuba memberi pencerahan.

Dengan telefon aku  mengambil gambar Tan Soo. Kemudian aku berselfie dengan Tan Soo. Teknologi membolehkan gambar dihantar dengan segera kepada Lee Keong, Missus Ali dan Lim Meng Lee.

“Aku hantar pada Missus Ali.. bagi dia ingat dengan kau.”

“Sapa Missus Ali? Aku tak ingat.”

“Kau semua tak ingat? Rosmah pun tak ingat?” Aku berlakon dengan suara marah.

“Rosmah bini Najib mana ada tahi lalat?” Tan Soo mempersoalkan ingatan aku.

“Dia dah buang la.” Aku memberi penjelasan.

Tiba-tiba ada bunyi WhatsApp masuk dalam telefon Tan Soo. Dia membuka.

“Ada gambar standard six 1962, tengok ni ada gambar.” Tan Soo menayangkan gambar dalam telefon.

“Meng Lee cakap Rosmah duduk barisan depan, nombor tiga kiri dari cikgu, dan Meng Lee di belakang Rosmah.” 

Tan Soo membaca apa yang ditulis oleh Meng Lee.

“Tu la aku cakap kau tak caya, Rosmah classmate kau di Jelebu.” Aku memperkuatkan hujah.

Tiba-tiba telefon aku berdering. Lee Keong menelefon.

“Aku dengan Tan Soo, di Penang Road. Cafe dalam gereja. We are all okay. Tan Soo banyak lupa, Rosmah pun dia lupa. 

“Ha ha ha, she looks well, dia jadi Grab driver, the best driver in town.” Aku berseloroh dengan Lee Keong dan menamatkan perbualan.

“Nanti kita buat reunion, jumpa semua geng. Ajak Missus Ali sekali datang.” Aku memberi cadangan.

“Beritahu awal, I need to plan early.” Tan Soo merayu.

“Penang duduk di mana?” Aku mengubah cerita.

“Duduk di Farlin, aku  kahwin anak tiga. Dua jantan, satu perempuan. Cucu seorang.” Tan Soo bercerita.

“Abang angkat kau Peter yang pandai main gitar tu kat mana?”

“Dia dah meninggal dunia. Hidup aku ni susah, masa sekolah susah, dah tua pun susah. Dulu kahwin tapi bercerai.” Suara sayu dari Tan Soo.

“Kau ada isteri?” Tan Soo senyum bertanya.

“Aku solo, aku hidup dengan dua ekor anjing yang setia pada aku ha ha ha.” Aku ketawa.

“Aku dah 70 tahun, terpaksa jadi pemandu Grab. I’ve no choice, all my  EPF money gone.” Tan Soo bersuara sedih,

Aku tak berani bersuara. Mata aku memandang pada menara gereja.

“Aku kena scam dalam internet, all my money middle management salary , duit EPF gone.” Tan Soo memandang muka aku.

Aku tak berani bersuara. Aku tidak berani bertanya. Aku takut untuk mendengar apa yang akan keluar dari mulut kawan aku yang 55 tahun tidak aku temui.

Aku bangun membayar bil. Kemudian kami bergerak. 

Di tepi pagar gereja kami berpisah. Tan Soo menuju ke tempat letak kereta untuk kembali menjadi pemandu Grab. 

Aku menapak  berjalan ke hotel.

“Take care, bye. Keep in touch.” Kata akhir dari aku.

“You too Isham.” Tan Soo bersuara dan melintas jalan.

Kami berpisah di atas jalan Penang Road depan Gereja St Joseph.

Epilog 1:

Esoknya aku terima WhatsApp dari Missus Ali setelah dia melihat gambar aku dan Tan Soo. “Good for you. She has aged well Please give her my regards. How is she? When are we catching up? Have a great week ahead.”

Epilog 2:

Esoknya aku hantar gambar aku bersama Tak Tak dan Ezi. Ini tanda kenangan aku dengan Tan Soo kawan baik aku.