- Iklan -
Kolum

Seladang yang patah tanduknya

Fahaman politik Sukarno pada keseluruhannya pula disebut sebagai nasionalisme kiri.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Seladang adalah sejenis haiwan liar yang terdapat di hutan hujan tropika Semenanjung Malaysia. 

Tidak ramai orang yang pernah melihat haiwan ini. Ia semakin pupus dan hanya boleh dilihat di zoo.

Parti politik yang menjadikan haiwan seakan-akan seladang sebagai lambangnya ialah Parti Rakyat Malaysia (PRM). 

Parti ini menggunakan lambang ini sejak penubuhannya iaitu pada tahun 1955.

Tetapi lambang PRM itu bukanlah seladang. Ia hanya seperti seladang. 

Ia disebut seladang kerana di negara ini haiwan itu dapat difahami berbanding dengan binatang pada logo itu, iaitu banteng.

Haiwan banteng adalah seperti seladang tetapi lebih besar dan lebih sasa. 

Ia lebih seperti kerbau dan hampir kepada bison yang terdapat di Amerika Utara. Spesies banteng ada di Jawa.

Dalam tradisi identiti Melayu yang mempunyai asal usul di Sumatera, kerbau mempunyai kedudukan tersendiri, khususnya di Minangkabau. 

Kerbau turut digunakan untuk membajak sawah dan dagingnya dimakan dengan pelbagai resepi masakan tradisi.

Malah nama Minangkabau dikatakan berasal dari perkataan "menang kerbau" bagi memperingati satu perlawanan laga kerbau antara Majapahit dengan mereka. 

Reka bentuk rumah Minang serta tengkolok yang dipakai perempuan mereka juga dikaitkan dengan tanduk kerbau.

Tetapi reka bentuk seperti rumah Minang bukan saja terdapat di Sumatera dan Negeri Sembilan tetapi juga di banyak tempat di Nusantara, iaitu sehingga di Sulawesi.

Kerbau adalah haiwan yang banyak terdapat di seluruh Asia Tenggara, dari Thailand utara hinggalah ke Filipina. 

Di sana ia fipanggil "carabao". Ada pengeluar seluar jean yang menjadikan carabao sebagai jenama mereka.

Dari segi simbolisme, seladang, banteng dan kerbau melambangkan kegagahan dan perlawanan. 

Lebih-lebih lagi banteng yang dijadikan Sukarno untuk melambangkan rakyat bawahan khususnya petani, yang dinamakannya golongan marhaen. 

Apa yang disebut sebagai marhaen asalnya adalah para petani yang bekerja sendiri, tanpa majikan. 

Mereka menanam padi dan menjualnya. 

Walaupun mereka yang menghasilkan makanan asas kepada seluruh penduduk termasuk warga kota yang kaya tetapi petani ini adalah golongan miskin.

Pemahaman Marxist yang meneliti masyarakat perindustrian Barat dengan menamakan golongan pekerja sebagai proletar tidak dapat menjelaskan keadaan di Asia. 

Ini kerana negara-negara pertanian tidak ada para pekerja kilang atau proletar. 

Yang ada ialah para petani. Golongan inilah yang Sukarno namakan sebagai marhaen.

Di Malaysia kini istilah marhaen digunakan untuk merujuk kepada golongan biasa dalam masyarakat. 

Termasuklah golongan B40 dan miskin. Lawan marhaen ialah "kayangan".

Fahaman politik Sukarno ini disebut sebagai marhaenisme. 

Ia merupakan sebahagian daripada aliran politik kiri. 

Fahaman politik Sukarno pada keseluruhannya pula disebut sebagai nasionalisme kiri. 

Dalam sejarah tahun 1950-an dan 1960-an, fahaman nasionalisme kiri menjadi popular dalam kalangan golongan terpelajar di bekas tanah-tanah jajahan Barat. 

Nasionalisme kiri ini merupakan sebahagian daripada sosialisme dalam spektrum ideologi politik global.

Jadi, Sukarno mengambil banteng sebagai lambang marhaen. 

Maka partinya; Partai Nasional Indonesia (PNI) juga mengambil banteng untuk logonya. 

Apabila Indonesia merdeka, kepala banteng juga diabadikan pada jata negaranya. 

Ia mewakili prinsip keempat Pancasila, iaitu ideologi nasional Indonesia. 

Kini prinsip keempat itu disebut sebagai kerakyatan yang dikaitkan dengan musyawarah, muafakat dan demokrasi. 

Tetapi ketika ia mula diungkapkan oleh Sukarno pada tahun 1945, ia disebut sebagai keadilan sosial yang dikaitkan pula dengan negara kebajikan dan sosialisme rakyat.

Apabila Sukarno digantikan oleh Suharto pada tahun 1966, PNI dipaksa bergabung dengan beberapa parti lain untuk dijadikan Partai Demokrasi Indonesia (PDI). 

Parti ini tetap menggunakan banteng sebagai lambang. 

Menjelang reformasi pada tahun 1998, PDI berpecah. 

Megawati Sukarnoputri menamakan partinya, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). 

Ia tetap mengambil banteng sebagai lambangnya, tetapi lebih garang dengan bermata merah.

Di Malaya pada tahun 1955, Ahmad Boestamam turut mengambil kepala banteng sebagai lambang partinya dengan perlembagaan menyebut marhaenisme sebagai ideologinya.

Parti Rakyat Singapura dan Parti Rakyat Brunei juga ditubuhkan di wilayah-wilayah berkenaan dengan mengambil ideologi serupa beserta logo banteng.

Dalam pilihan raya tahun 1959, PRM bergabung dengan Parti Buruh dalam Front Sosialis dengan menggunakan lambang bersama termasuk banteng di dalamnya.

Pertama kali saya lihat lambang banteng ialah ialah dalam pilihan raya 1964 di Batu Pahat. 

Ia merupakan calon dari Parti Buruh. 

Selepas itu banteng tidak lagi kelihatan di situ sehinggalah dalam PRU ke-15 baru-baru ini.

Parti itu meletakkan 15 calon ternasuk Ezam Mohd Noor, bekas aktivis Umno dan PKR yang kini menyertai PRM. 

Kesemua calon bukan saja kalah tetapi hilang deposit. 

Baru-baru ini PRM mengumumkan bahawa Ezam dilantik sebagai timbalan presiden. 

Perkembangan ini mendorong bekas presidennya, Rohana Ariffin mengeluh bahawa partinya itu sudah beralih dari kiri ke kanan dengan meninggalkan nilai-nilai asal parti itu.

Umumnya orang Melayu, atas alasan agama sukar menerima haiwan sebagai lambang parti. 

Mereka tidak dapat faham apa maksud haiwan banteng. 

Sebaliknya mereka melihat lambang PRM itu sebagai "kepala lembu" dengan nada ejekan. 

Bagi memudahkan fahaman orang ramai, penyokongnya memanggil lambang jtu sebagai "seladang" dan bukannya banteng.

Apabila Kassim Ahmad mengambil alih kepimpinan parti, beliau membawanya jauh lagi daripada orang Melayu. 

Ini kerana beliau meletakkan sosialisme saintifik menggantikan marhaenisme. 

Nama PRM ditukar kepada PSRM dengan perkataan sosialisme berada di dalamnya. 

Akhbar rasmi yang bernama Banteng bertukar kepada Mimbar Sosialis.

Di Malaysia, bukan saja orang biasa tidak begitu faham dengan ideologi tetapi mereka menyamakan sosialis dengan komunis. 

Maka PSRM tidak pernah menang sebarang kerusi dengan pemimpinnya sering ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahmad Boestamam tidak setuju dengan perubahan ini dan keluar parti bersama para pengikutnya. 

Beliau kemudian menubuhkan Parti Marhaen dengan lambang banteng melompat. 

Parti Marhaen kemudian bergabung ke dalam Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pimpinan Dr Tan Chee Khoon bagi menghadapi PRU tahun 1978. 

Maka hilanglah lambang banteng melompat kerana Pekemas berlogokan matahari terbit seperti mana jata negara Soviet Union.

Dengan keruntuhan Soviet Union pada tahun 1989, PSRM pun menggugurkan perkataan sosialisme dan menggunakan kembali marhaenisme. 

Nama akhbar rasminya, Mimbar Sosialis ditukarkan kepada Suara Rakyat. 

Pada tahun-tahun itu bukan saja marhaenisme sudah dilihat tidak lagi relevan tetapi juga sosialisme dan aliran kiri itu sendiri. 

Maka saya diberitahu ada pemimpinnya berkata bahawa mereka juga tidak lagi berhaluan kiri. 

Maknanya PRM sudah menjadi parti biasa dan tidak lagi berteraskan ideologi.

Apabila Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri, PRM bersama PAS dan DAP tampil menyertai gerakan yang dipanggil sebagai reformasi bagi membela beliau. 

Adalah juga dilaporkan bahawa PRM dan PAS bersedia menerima Anwar sebagai pemimpinnya kerana ketika itu beliau tidak lagi berparti.

Saya ada memberitahu seorang aktivis PRM yang rajin menyertai demonstrasi di depan Sogo setiap Sabtu bahawa antara masalah parti itu ialah logonya. 

Lambang banteng itu sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat diterima oleh orang Melayu. 

Apabila PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR pada tahun 2003, maka hilanglah lambang banteng itu. 

Tetapi bekas ahli-ahlinya yang tidak puas hati dengan PKR menghidupkan PRM semula pada tahun 2005, maka hiduplah semula banteng itu.

Dalam PRU tahun 2013, bekas ahli politik DAP turut bertanding di bawah tiket PRM. 

Ketika itu bermulalah kemasukan aktivis-aktivis baharu PRM yang tiada berkaitan dengan sejarah lalu. 

Suatu penjenamaan semula dilakukan dan dalam kempen, banteng itu dipaparkan seperti lembu comel, bukan seladang garang.

PRM berusaha untuk menjadi Third Force (Kuasa Ketiga) dalam politik negara tetapi dengan keputusan PRU baru-baru ini,  kelihatannya seladang itu sudah patah tanduknya.