- Iklan -
Kolum

Masa depan fahaman kiri di Malaysia

Sejak merdeka lagi, kerajaan Perikatan dan BN yang sememangnya beraliran kanan mengamalkan nilai-nilai dan dasar-dasar kiri.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), satu-satunya parti kiri di negara ini turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan seperti yang dijangkakan tidak memenangi sebarang kerusi.

Tidak semua penganut-penganut fahaman kiri di negara ini yang menjadi ahli atau menyokong PSM. 

Ada juga yang menjadi ahli dan penyokong parti lain. 

Tetapi dipercayai kebanyakannya dipercayai tidak menyokong mana-mana parti.

Golongan berfahaman kiri adalah minoriti kecil di negara ini. 

Secara umumnya, kebanyakan rakyat Malaysua secara sedar atau tidak sedar adalah penganut fahaman kanan.

Walaupun ada nilai-nilai fahaman kiri turut dipegang oleh sebahagian besar orang ramai secara tidak sedar. 

Bukan saja fahaman kanan itu merupakan ikutan majoriti penduduk negara ini, tetapi kebanyakan orang tidak tahu pun mengetahui konsep spektrum politik kanan-kiri. 

Untuk memahami konsep kanan-kiri, seseorang memerlukan ilmu pengetahuan sedikit sebanyak dalam bidang politik, ekonomi, sosiologi dan sejarah yang diperoleh melalui pembacaan.

Konsep spektrum politik kanan-kiri itu merujuk pada susunan ideologi seseorang atau pertubuhan. 

Ia disusun menurut ketajaman pegangan terhadap ideologi masing-masing. Di tengah-tengah ialah pegangan sederhana. 

Sementara pegangan melampau berada di hujung sebelah kanan atau kiri. 

Secara istilah, di sebelah kanan ialah konservatif. 

Di sebelah kiri ialah progresif. 

Tetapi susunan itu menjadi kompleks kerana pegangan seseorang itu bercampur-baur antara kanan dan kiri.

Secara tradisi, ideologi di sebelah kiri ialah sosialisme, sementara kanan pula merupakan kapitalisme. 

Tetapi dari segi amalannya, semua negara mengamalkan dasar yang bercampur-baur antara kanan dan kiri. 

Parti-parti politik walaupun mempunyai asas perjuangan pada fahaman kiri atau kanan apabila menyertai pilihan raya akan menjanjikan dasar tengah yang dapat diterima oleh kebanyakan pengundi dari pelbagai fahaman.

Pada masa ini, ada istilah kanan jauh atau “far right” yang merujuk pada ekstremis kaum dan agama. 

Kalau di Eropah, ia meliputi parti politik yang anti imigran dan kumpulan-kumpulan populis kaum yang bersikap “Islamofobia”.

Kalau di Amerika Syarikat (AS), golongan kanan jauh ini adalah antara penyokong bekas presiden Donald Trump dari kalangan pengundi Parti Republikan yang bersikap menolak orang kulit hitam.

Sementara istilah kiri jauh atau “far left” merujuk pada orang komunis yang selepas kejatuhan Soviet Union pada tahun 1989 mengubah diri mereka menjadi parti politik yang turut serta dalam proses demokrasi negara masing-nasing.

Komunisme yang mempunyai pelbagai aliran di dalamnya dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga besar sosialisme. 

Tetapi kebanyakan sosialis adalah bukan komunis, malah antikomunis. 

Apa yang disebut kiri pula tidak semuanya sosialis. 

Anarkis adalah sebahagian daripada kiri. 

Begitu juga dengan demokrasi sosial yang merupakan fahaman banyak parti utama Eropah yang memperkenalkan dasar negara berkebajikan. 

Mereka adalah kiri tengah tetapi bukan sosialis.

Di negara ini, sejak dari dulu, iaitu sebelum merdeka lagi penduduknya menolak fahaman kiri. 

Sungguhpun begitu mereka dengan mudah menerima nilai-nilai dan dasar-dasar kiri yang memberikan manfaat.

Pada tahun 1945, ketika persidangan penubuhan parti Melayu pertama, pengasasnya Mokhtarudin Lasso mencadangkan supaya ia dinamakan Parti Sosialis Malaya. 

Tetapi ia ditolak oleh majoriti ahli-ahlinya yang mahukan nama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Parti ini berfahaman nasionalisme kiri, suatu aliran yang ketika itu popular dalam kalangan para pejuang kemerdekaan di seluruh dunia. 

Tetapi majoriti orang Melayu lebih menerima fahaman nasionalisme kanan yang dipegang oleh Umno.

PKMM terkubur begitu saja dan antara pemimpinnya, Ahmad Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955 untuk terus memperjuangkan fahaman nasionalisme kiri. 

Untuk pilihan raya tahun 1959, PRM bergabung dengan Parti Buruh dalam Front Sosialis Rakyat Malaya. 

Parti Buruh kemudian terbubar. 

Sebahagian pemimpinnya turut serta dalam penubuhan Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Sementara sebahagian ahlinya menyertai PRM yang menukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). 

Ini kerana mereka beralih fahaman dari nasionalisme kiri kepada sosialisme saintifik. 

Fahaman ini berasaskan pada Marxisme tetapi menolak komunisme.

Akibatnya, sebahagian daripada ahli PSRM tidak setuju dengan fahaman itu. 

Mereka keluar dan menubuhkan Parti Marhaen yang mengekalkan fahaman nasionalisme kiri. 

Ketika menghadapi PRU tahun 1974, mereka bergabung dalam Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). 

Parti ini ditubuhkan oleh bekas ahli Gerakan yang membantah tindakan parti mereka menyertai Barisan Nasional (BN).

Rakyat tolak prtti-parti kiri ini sama ada PSRM, Pekemas atau Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang ditubuhkan untuk menggantikan Parti Buruh. 

Dengan kejatuhan Soviet Union pada tahun 1989, fahaman sosialis amat tidak popular. 

PSRM menggugurkan perkataan sosialis pada nama dan juga perlembagaannya. 

Ekoran itu, ada ahlinya yang menubuhkan PSM. 

Kemudiannya PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional yang menjadikannya PKR. 

Kecuali seorang dua yang asalnya dari PRM, maka sudah tidak kelihatan adanya aliran kiri dalam PKR. 

Ia sudah jadi parti  beraliran kanan. 

Ekoran daripada itu, ada bekas ahli PRM menghidupkan semula parti itu. 

Ada sebahagian ahli lamanya merupakan orang kiri. 

Tetapi PRM kelihatannya sudah menganggap dirinya sebagai parti biasa dan tiada kena mengena dengan fahaman kiri. 

Dalam PRU15, PRM turut bertanfing tetapi tentunya kalah semua.

Walaupun fahaman kiri ditolak oleh rakyat negara ini, tetapi mereka mahukan banyak dasar-dasar yang berasal dan berasaskan daripada sosialisme tanpa mereka sedari. 

Malah mefeka mungjin tidak mengakui bahawa ia merupakan dasar kiri. 

Tidak kira parti mana pun yang memerintah, perkara-perkara itu akan dituntut oleh rakyat kerana ia bermanfaat.

Asas kepada sosialisme adalah penglibatan besar kerajaan dalam kehidupan rakyat. 

Paling ketara adanya perkhidmatan kesihatan percuma yang menyeluruh untuk semua rakyat. 

Kedua, pendidikan percuma sehingga tahap universiti. 

Ketiga, semua rakyat memperolehi pendapatan yang setimpal dengan pekerjaannya hingga membolehkan mereka membeli makanan, rumah dan menjalani kehidupan selesa. 

Ini kesemuanya merupakan nilai dan dasar kiri.

Sebabnya di sebelah kanan perkara-perkara ini bukanlah nilai-nilai dan dasar-dasar mereka. 

Bagi mereka perkhidmatan kesihatan hendaklah berada di sektor swasta. 

Semua penduduk perlu membeli insurans untuk menggunakan perkhidmatan ini. 

Sekolah dan universiti hendaklah bebas dikendalikan oleh pihak swasta. 

Begitu juga dengan perumahan, bekalan makanan dan keperluan hidup  hendaklah dibiarkan kepada apa yang ditentukan oleh pasaran tanpa penglibatan kerajaan.

Sejak merdeka lagi, kerajaan Perikatan dan BN yang sememangnya beraliran kanan mengamalkan nilai-nilai dan dasar-dasar kiri. 

Rancangan Lima Tahun, penubuhan Felda dan Mara adalah juga antara dasar-dasar kiri. 

Begitu juga dengan Dasar Ekonomi Baru. 

Matlamatnya untuk membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat adakah merupakan nilai-nilai kiri. 

Begitu juga konsep-konsep seperti gaji minina, KWSP, penggalakan gerakan koperasi, tiada diskriminasi antara lelaki dan wanita, penyeragaman bandar dan luar bandar serta pembinaan rumah untuk golongan berpendapatan rendah adalah kesemuanya daripada pemikiran fahaman kiri. 

Ramai orang percaya bahawa nilai-nilai dan dasar-dasar yang bersifat kemanusiaan ini merupakan suatu yang baik dan wajar dilaksanakan tanpa dikaitkan dengan aliran politik, sama ada kiri atau kanan.

Tetapi nilai-nilai dan dasar-dasar manusiawi ini datangnya dari fahaman kiri, bukannya kanan. 

Fahaman kanan pula berupa kepercayaan bahawa manusia ini semula jadi tersusun seperti piramid. 

Maknanya, akan sentiasa ada segelintir orang yang kaya dan berkuasa di tengah-tengah majoriti orang biasa dan miskin. 

Semua orang perlu berusaha untuk mengubah nasib mereka. 

Jika mereka tidak mampu, itu dikira nasib.

Maka dari segi praktikalnya, tidak kira apa pun parti yang memerintah, rakyat sewajarnya menuntut nilai-nilai dan dasar yang memberikan kebajikan dan keadilan untuk semua penduduk.