- Iklan -
Kolum

Mengenang Cikgu Ishak Surin, pejuang rakyat hingga ke akhir hayat

Tidak ada parti politik yang boleh bergerak tanpa para aktivisnya.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ketika negara tertumpu pada pelantikan perdana menteri  ke-10 pada Khamis lalu, saya menerima perkhabaran bahawa Cikgu Ishak Surin meninggal dunia pada usia 88 tahun di Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur.

Cikgu Ishak bukanlah seorang tokoh politik terkenal, tapi beliau adalah salah seorang daripada aktivis  politik dan sosial negara yang memberi sumbangan konsisten kepada perjuangan untuk rakyat.

Hasil gabungan aktivis-aktivis seperti inilah yang mencorak negara.

Sumbangan-sumbangan mereka ini tidak kelihatan pada umum kerana perhatian rakyat tentulah tertumpu kepada tokoh-tokoh besar dalam negara.

Tidak ada parti politik yang boleh bergerak tanpa para aktivisnya.

Tiada pemimpin yang dapat meraih penyokong tanpa aktivisnya, sama ada di peringkat akar umbi ataupun pusat.

Cikgu Ishak mula menyertai aktivisme politik pada tahun 1955 pada usia 21 apabila Parti Rakyat Malaya (PRM) ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam.

Selepas krisis dalaman PRM, beliau bersama Ahmad Boestamam  menubuhkan Parti Marhaen pada tahun 1968.

Mereka kemudian menggabungkan parti itu ke dalam Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pimpinan Dr Tan Chee Khoon pada tahun 1974.

Ekoran kebangkitan semangat Islam global selepas berlakunya Revolusi Iran, beliau menyertai PAS pada tahun 1986.

Beliau keluar dari parti itu pada tahun 2015. Setahun kemudian, beliau menyertai Amanah. 

Jawatan-jawatan politik yang pernah beliau sandang ialah penolong setiausaha agung PRM, pengerusi Front Sosialis Selangor, setiausaha agung Parti Marhaen, setiausaha agung Pekemas, Yang di-Pertua PAS Kawasan Batu, timbalan pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Setiausaha lajnah buruh dan setinggan PAS Pusat dan akhir sekali ialah pengerusi Amanah Kawasan Batu.

Beliau pernah menjadi calon Pekemas di kawasan Parlimen Setapak melawan calon Barisan Nasional (BN) dan DAP pada Pilihan Raya Umum 1974.  

Beliau kalah pada calon BN, Idris Ibrahim.

Calon DAP ialah Ganga Nayar yang merupakan bekas ahli Parti Buruh.

Pada tahun 1978, Ganga menubuhkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia.

Parti inilah yang diambil alih oleh bekas ahli PAS untuk dijadikan Parti Amanah Negara.

Kawasan Setapak itu kemudian dipecah dua untuk menjadi Batu dan Titiwangsa.

Pada tahun 1978,  Ishak juga menjadi calon Pekemas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara aktiviti bukan kepartian beliau ialah menubuhkan gerakan Angkatan Melayu Insaf (AMIN) pada tahun 1965 yang membawa kepada penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ishak juga menubuhkan Front Rakyat Malaysia yang merupakan gerakan bagi memperjuangkan hak Palestin pada tahun 1969.

Selain itu, Ishak adalah pengerusi Majls Pemuafakatan Kampung Tradisi Melayu Kuala Lumpur; pengerusi Pertubuhan Pertahankan Taman Merdeka Negara, pengerusi Pertahankan Warisan Kita dan pengerusi Pertubuhan Muafakat Perpaduan (Padu).

Maka melihat sepanjang hayat beliau, bolehlah dikatakan Ishak adalah pejuang rakyat.

Apa yang disebut sebagai pejuang dalam konteks negara demokrasi ialah menjadi aktivis, sama ada melalui politik atau pertubuhan sosial.

Secara persendirian pun, seseorang boleh menjadi pejuang.

Apa yang dikatakan sebagai pejuang rakyat pula ialah aktif berusaha memperbaiki kehidupan rakyat dalam apa saja cara, sama ada politik, ekonomi atau sosial.

Rakyat pula bermaksud semua penduduk negara yang bukan merupakan pemerintah.

Walaupun rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan, iaitu miskin dan kaya, tetapi oleh kerana ia adalah seperti piramid, maka kebanyakan rakyat adalah merupakan golongan miskin.

Dengan sebahagiannya tertindas.

Maka apabila disebut rakyat dalam konteks perjuangan, ia bermaksud golongan tertindas oleh keadaan di sekelilingnya, sama ada politik, ekonomi atau sosial.

Di sinilah apa yang dimaksudkan dengan istilah "rakyat" itu.

Sebaik saja Perang Dunia Kedua berakhir, muncul kesedaran nasional di kalangan anak-anak muda di tanah-tanah jajahan Belanda dan British di Asia Tenggara.

Ramai antara mereka mahu menjadi pejuang.

Sehubungan ini, timbul istilah "orang perjuangan"  Ia bermaksud seseorang yang menetapkan bahawa keseluruhan hidupnya akan dicurahkan pada perjuangan.

Orang seperti ini sanggup berkorban wang ringgit, tenaga dan masa demi perjuangan.

Mereka ini tabah dan bersemangat kental dalam menghadapi cabaran.

Pada masa itu, orang perjuangan ini seringkali dari kalangan golongan berfahaman kiri atau sosialisme.

Perjuangan kemerdekaan mereka juga dari aliran nasionalisme kiri, maknanya mereka tidak cenderung pada Umno tetapi pada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Itulah juga yang mempengaruhi Ishak sebagai orang perjuangan.

Maka tidak hairanlah Ishak terdorong kepada PRM yang dianggap sebagai pewaris PKMM kerana parti itu sudah terbubar.

Lebih-lebih lagi perkataan rakyat dalam parti itu lebih hampir padanya berbanding kebangsaan Melayu. 

Saya sempat bekerja dengan Ishak pada tahun 1987 dan 1988 di Harakah, akhbar rasmi PAS.

Beliau bersama Yusof Jalil dan Rahim Kasim menerbitkan Harakah yang ketika itu serba kekurangan dan menghadapi pelbagai tekanan dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ishak menjadi pengurus bagi memastikan akhbar itu dapat dicetak, diedar dan dijual.

Ketika mula berkenalan, saya berasa ada keselarasan fahaman politik apabila mendapat tahu beliau pernah bersama dengan Ahmad Boestamam semasa penubuhan PRM dan Parti Marhaen.

Ditambah pula apa yang mendorong beliau menyertai PAS pada masa itu, seperti mana banyak anak muda generasi 1980-an ialah Revolusi Islam Iran, yang merupakan suatu perjuangan rakyat dengan berlandaskan fahaman terhadap agama Islam.

Sifat "orang perjuangan" di dalam dirinya terserlah dengan kesungguhan beliau dalam melaksanakan kerja-kerjanya.

Komitmen, disiplin, sanggup berkorban, tidak mengira soal masa, tenaga dan ganjaran wang ringgit.

Sifat-sifat itu kini tidak banyak terzahir pada zaman ini.

Aktivis-aktivis seperti beliau ini memberi sumbangan kepada perjuangan walaupun dirinya tidak mencapai kemenangan dalam bentuk memperoleh jawatan politik yang mendatangkan ganjaran wang ringgit.

Kecergasan berjuang itu adalah nikmat perjuangan itu sendiri.

Paling akhir saya berjumpa beliau ialah pada tahuh 2016 dalam acara anak muda di Petaling Jaya.

Beliau menjadi ahli panel bersama pemimpin Parti Sosialis Malaysia, Dr Devaraj Jeyakumar dan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ishak menceritakan pengalamannya  pada tahun 1950-an di mana ahli-ahli kesatuan buruh dari kalangan bukan Melayu berjalan dari Brickfields ke Setapak untuk menyahut panggilan Ahmad Boestamam bagi mengadakan satu perhimpunan mengenai sesuatu isu berkaitan pekerja. 

Kegiatan awam akhir yang beliau sertai ialah menyampaikan ucaptama pada majlis Ulang Tahun Kuliah Buku (Kubu) yang kelima pada tahun  2019.

Kubu ialah sebuah kumpulan ilmu anak muda yang digerakkan oleh Benz Ali.

Dalam acara itu, Ishak bercakap mengenai Tan Malaka, seorang tokoh nasionalis Indonesia.

Benz Ali kemudian menulis biografi Ishak Surin yang diterbitkannya pada tahun 2022.

Ternyata biografi setebal 300 muka surat itu menjad bahan dokumentasi bagi kisah hidup beliau.

Di dalamnya terdapat juga salinan keratan-keratan akhbar yang tersiar pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an ketika Ishak dalam PRM. 

Kalau tidak kerana ada biografi ini, maka apa yang dialami dan dilakukan akan hilang daripada ingatan tanpa dokumentasi.

Walaupun buku ini tidaklah banyak pembacanya tetapi rekod ini wujud untuk generasi akan datang mengetahuinya. 

Oleh kerana Ishak bukanlah tokoh besar di peringkat nasional tetapi aktivis-aktivis seperti ini tidak akan dikenali atau dikenang.

Umpamanya  Ishak pernah membela golongan setinggan yang diusir oleh para pemaju.

Beliau juga mempertahankan kampung-kampung tradisi Melayu di Kuala Lumpur.

Jasa para aktivis seumpama ini adalah besar dan wajar juga dihargai apabila diketahui.