- Iklan -
Editorial

Hipokrasi terserlah ketika Malaysia menanti kerajaan baru

Beberapa pengamal undang-undang kelihatan cuba mencetuskan polemik berhubung proses pembentukan kerajaan persekutuan sedang apa yang dipersoalkan tidak pula dipakai dalam pembentukan kerajaan negeri.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Sekali lagi rakyat Malaysia ternanti-nanti dengan penuh debaran siapa bakal menjadi perdana menteri.

Dan sekali lagi, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diheret ke dalam sebuah drama sebelum menamakan perdana menteri.

Pada masa lalu, seseorang Agong mungkin pernah sekali melaluinya, atau langsung tidak pernah. Tetapi Sultan Abdullah terpaksa berdepan dengan keadaan ini sebanyak tiga kali dalam masa dua tahun semenjak 2020.

Seperti sebelum ini, Sultan Abdullah menitahkan parti-parti politik untuk menyerahkan nama calon perdana menteri pilihan mereka disokong dengan akuan berkanun.

Tarikh akhir diberikan dengan jelas: 21 November, 2022 pada 2.00 petang.

Agong menggunakan kuasanya seperti yang termaktub mengikut Artikel 43 (2) dalam Perlembagaan Perseketuan di mana Baginda boleh memutuskan calon mana yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Akan tetapi pada ketika ini kita menyaksikan pelbagai pandangan pakar undang-undang dan pengulas, yang memetik pelbagai hujah dari pluralisme ke Wesminster, disokong dengan “nyanyian sumbang” menonjolkan hipokrasi mereka. 

Sesetengah daripada mereka berkata Pakatan Harapan (PH) seharusnya dijemput untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu kerana mempunyai kerusi terbanyak iaitu 82. 

Yang bersuara merupakan “pakar” seperti - Ambiga Sreenevasan, Tommy Thomas, Gurdial Singh Nijar dan Syahredzan Johan, kini merupakan ahli Parlimen. Kesemuanya mempunyai latar belakang undang-undang.

Ketepikan fakta yang kesemua individu-individu ini mempunyai sejarah “pro-PH”. Mari kita nilai pandangan mereka dan bukan siapa mereka.

Mari kita ketepikan dahulu apa kecenderungan politik mereka.

Thomas berkata Anwar dan PH harus diberi keutamaan dan dilantik sebagai perdana menteri.

“Ini yang berlaku di UK,” katanya.

Ambiga berkata PH mempunyai jumlah kerusi paling banyak dan disebabkan itu mereka mempunyai mandat rakyat “pelbagai kaum” dan disebabkan itu “harus dijemput untuk membentuk kerajaan.”

Tunggu, ada yang lebih menarik.

Gurdial dan Syahredzan mengatakan parti yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak harus dijemput untuk membentuk kerajaan dan mereka boleh mengajak pihak-pihak lain untuk bersama bagi mendapatkan majoriti mencukupi!

Sebagai pengamal undang-undang, kesetiaan mereka sepatutnya kepada Perlembagaan. 

Yang menghairankan, mengapa pakar-pakar ini tidak mempunyai pandangan sama bahawa pemenang terbesar harus dijemput untuk membentuk kerajaan di Perak dan Pahang?

Di Perak, Perikatan Nasional (PN) memenangi 26 kerusi, PH (24) dan BN (9). 

Di Pahang PN mendapat 17, BN 16 dan PH 8. 

Akan tetapi akhirnya kita menyaksikan kedua-dua kerajaan ini dibentuk hasil gabungan BN dan PH.

Tidak seperti kebisingan yang dilakukan mereka dalam proses pembentukan kerajaan pusat, tiada kedengaran suara “pakar” undang-undang ini. 

Mungkin mereka ini sememangnya dicipta untuk tidak menjadi konsisten.

Abdar Rahman Koya merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarang MalaysiaNow.