- Iklan -
Rencana

Sumbangan besar Muhyiddin tegak kebenaran

Muhyiddin Yassin sanggup kehilangan jawatan perdana menteri daripada melayan kehendak kluster mahkamah yang mahu beliau campur tangan.

Ahmad Mastakim Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin melambai tangan di perkarangan Istana Negara tahun lalu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong selepas beliau dikatakan hilang majoriti di Parlimen.
Muhyiddin Yassin melambai tangan di perkarangan Istana Negara tahun lalu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong selepas beliau dikatakan hilang majoriti di Parlimen.

Terselit terlalu banyak iktibar daripada keputusan kes mahkamah bekas perdana menteri, Najib Razak, yang boleh kita jadikan panduan hidup.

Salah satu daripadanya ialah kepentingan sikap istiqamah dalam perjuangan menentang rasuah dan menegakkan kebenaran.

Hakikatnya, ia senang diungkap tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan kerana terdapat pelbagai ujian yang menanti.

Contoh ujian paling besar dalam perjuangan menegakkan kebenaran kes 1MDB ialah bagaimana Muhyiddin Yassin kehilangan tiga jawatan utama politik.

Pada 2015, beliau disingkirkan daripada kerusi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno kerana mengkritik Najib dalam isu 1MDB yang ketika itu masih kurang diberi perhatian oleh rakyat. 

Apa yang berlaku ke atas Muhyiddin menyebabkan isu 1MDB meledak dalam kalangan masyarakat. 

Orang ramai mula peka dan cuba memahami apa yang berlaku sehingga akhirnya Najib tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) di mana Muhyiddin adalah salah seorang penggerak utamanya.

Pada 2021 pula, Muhyiddin kehilangan jawatan yang lebih besar iaitu perdana menteri gara-gara tidak mahu campur tangan dalam kes 1MDB Najib dan kes mahkamah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Jika mahu mempertahankan kuasa, beliau boleh sahaja "kawtim" dengan dua tokoh utama kluster mahkamah itu tetapi Muhyiddin tidak berganjak walaupun seinci.

Beliau sanggup kehilangan jawatan nombor satu negara demi melihat sebuah kebenaran ditegakkan.

Mengambil kira apa yang dilalui Muhyiddin, tidak pelik apabila beliau melahirkan rasa syukur apabila perjuangannya dan rakyat Malaysia menentang rasuah terjawab di Mahkamah Persekutuan.

Ia bukanlah tindakan mengambil kredit kerana sudah terpahat dalam lipatan sejarah, Muhyiddin ada sumbangan besar dalam menegakkan kebenaran kes berkenaan.

Semoga kita juga terus istiqamah menentang rasuah dan menegakkan kebenaran walaupun terpaksa menempuh laluan seribu liku.

Ahmad Mastakim Ali adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow