- Iklan -
Rencana

Sistem pendidikan rosak kerana kelemahan kepimpinan Melayu

Pemimpin tidak ghairah menyelesaikan masalah pendidikan kerana keghairahan itu telah hilang disebabkan politik kuasa.

Mahdzir Ibrahim
4 minit bacaan
Kongsi
Beberapa orang murid lengkap berpelitup muka melintas jalan untuk masuk ke sekolah. Isu pendidikan adalah perkara utama yang perlu ditangani dengan dasar yang baik dan membantu rakyat.
Beberapa orang murid lengkap berpelitup muka melintas jalan untuk masuk ke sekolah. Isu pendidikan adalah perkara utama yang perlu ditangani dengan dasar yang baik dan membantu rakyat.

Dalam konteks pendidikan, bangsa Melayu terbukti bersedia untuk bergerak ke hadapan demi mewujudkan sebuah negara bangsa dengan mengorbankan tulisan jawi yang telah menjadi darah daging peradaban mereka kepada tulisan rumi (roman) semata-mata agar bangsa lain dapat sama-sama marasai nikmat pendidikan tanpa rasa prejudis.

Perubahan dari tulisan jawi kepada tulisan rumi untuk pembelajaran disekolah berlaku pada 1966 yang ketika itu menteri pendidikannya adalah Khir Johari. Cadangan ini juga disokong oleh kumpulan Asas 50.

Namun sebelum itu lagi, dari Laporan Razak pada 1956, bangsa Melayu juga telah berkompromi kepada kaum minoriti dengan bersetuju untuk menukar konsep sekolah Melayu kepada sekolah Kebangsaan dan mengizinkan kewujudan sekolah vernakular sebagai identiti kebangsaan. Juga atas niat yang sama, Melayu berjiwa besar untuk membina sebuah negara bangsa. 

Tanpa persetujuan dan kerelaan ini, mungkin negara kita masih dibelenggu dengan ketidaktentuan dalam hubungan antara kaum. Maka, terima kasih Melayu.

Bulan lalu dalam "Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu", sebuah kertas berkaitan pendidikan telah dibentangkan oleh Anuar Ahmad, seorang sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang komited dengan isu-isu pendidikan.

Rencana ini adalah pandangan dan perspektif saya berkenaan kertas beliau itu. 

Pendidikan dan kemiskinan

Penyataan masalah dalam agenda pendidikan ini saya dapati ianya agak kompleks. Namun, kita masih boleh memahami naratifnya.

Dimana-mana sudut dunia ini, masalah pendidikan juga adalah berkaitan dengan masalah kemiskinan dalam masyarakat. Dalam konteks Malaysia, kumpulan yang miskin di Malaysia hingga hari ini kebanyakkannya dikalangan kaum Melayu yang mana kumpulan ini adalah kaum majoriti dalam negara kita. 

Maka, masalah kemiskinan dikalangan kaum majoriti ini menjadi masalah nasional, bukan masalah perkauman seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak seolah-olah – Melayu mahu kayakan Melayu dengan merampas hak kaum lain – tidak.

Menurut Anuar, masalah kemiskinan relatif ini memberi kesan langsung kepada orang Melayu dan saya melihat masalah kemiskinan ini bertambah rumit dan kompleks apabila didalam masalah kemiskinan ini wujud masalah "sikap" dalam kalangan orang Melayu.

Dr Mahathir berulang kali menyebut masalah sikap orang Melayu dalam konteks membangun atau memajukan diri. Pandangan Tun ini juga pernah disuarakan lama dahulu dalam "The Malay Dilemma".

Masalah sikap orang Melayu ini juga rupa-rupanya berhubung kait dengan kelemahan kepemimpinan politik Melayu yang tidak jujur dalam menjalankan amanahnya.

Masalah sikap dan kepimpinan ini kurang terjadi dikalangan kaum Cina dan India. Mengapa? 

Pertama kerana anak-anak mereka dari kecil telah dididik (menyedari) bahawa nasib mereka ditangan mereka sendiri tanpa dipayungi atau mendapat kelebihan oleh pemerintah, dengan asuhan ini mereka didesak untuk berusaha bersungguh-sungguh mengeluarkan diri dari kemiskinan dengan gerak langkah yang agresif. 

Kedua, para pemimpin mereka meletakkan agenda ini sebagai keutamaan politik mereka untuk menguasai ekonomi kerana menyedari mereka adalah kumpulan minoriti dalam negara ini. Kerana itu kita ada mendengar ungkapan "Cina tolong Cina". Bagi saya, itulah yang sepatutnya berlaku dan ia bukan suatu kesalahan atau jenayah, malah orang Melayu wajar mencontohinya.

Keadaan ini berbeza dengan orang Melayu yang diajar agar sentiasa bergantung (payung) dengan pemimpin hinggalah sampai ke suatu tahap, mereka dipergunakan kembali oleh pemimpin Melayu.

Kaedah memperalatkan orang Melayu oleh pemimpin Melayu yang jahat ini ialah dengan wang, kerana wang amat mudah diperolehi kerana ada kuasa, iaitu dengan melakukan rasuah. 

Dalam konteks tadbir urus, disinilah virus rasuah tumbuh berakar dan kembang mekar. Melayu yang bergantung dengan wang dari pemimpin Melayu ini, tidak kaya-kaya malah kekal miskin dan terus tercicir.

Pemimpin Melayu yang rosak

Sifat kebergantungan orang Melayu dengan pemberian wang ini diwarisi oleh generasi seterusnya atas hujah perut perlu diisi dan pemberian itu adalah dari pemimpin kita Melayu dan Islam.

Ini terbukti benar apabila hari ini hampir kesemua kumpulan Melayu akan bergantung dengan wang untuk memberi sokongan politik daripada dan kepada pemimpin politik.

Fungsi pemimpin, untuk memimpin masyarakat telah bertukar menjadi pemberi wang kepada rakyat sebagai jalan pintas untuk membantu rakyat.

Lebih menakutkan, ia kini menjadi suatu ekosistem yang perlu dikekalkan, kerana inilah rasuah dan salahguna kuasa tidak ada penghujungnya. 

Apabila salah guna kuasa dan rasuah ini menjadi suatu ekosistem, sistem pendidikan juga terdedah dengan aktiviti tak bermoral ini. Ia berterusan dari peringkat atas hinggalah peringkat bawah didalam sistem pendidikan. Kerana itu, segala formula dan perubahan dasar atau sistem pendidikan masih gagal menyelesaikan masalah kemiskinan dan keciciran pendidikan dikalangan orang Melayu.

Pemimpin tidak ghairah menyelesaikan masalah pendidikan kerana ghairah itu telah hilang disebabkan politik kuasa yang mencengkam kepimpinannya.

Bahana keciciran 

Menurut Anuar, pandemik 2020-2021 mengesahkan kepada kita bahawa anak-anak dari keluarga miskin relatif (Melayu) adalah kumpulan rentan pendidikan.

Ramai murid yang keciciran pendidikan kerana kemiskinan relatif. Sekitar 21,000 murid (Januari-Mei 2021) telah berhenti sekolah dan hampir 30 ribu mahasiswa berhenti kuliah pada 2020-2021. 

Kadar keciciran 3M juga meningkat  di Tahun Satu-Tiga sekolah rendah. Ramai murid yang ponteng dan berhenti sekolah untuk bekerja upah harian. Hingga kini, tiada pelan pemulihan keciciran yang konstruktif telah dilaksanakan oleh kerajaan Melayu Islam ini.

Dalam laporan akhbar pada 24 september 2021 sahaja, sebanyak 70% siswazah menganggur dan mereka adalah dikalangan bumiputera.

Bagi saya, punca kepada masalah pendidikan yang begitu kompleks ini tidaklah begitu kompleks. Puncanya jelas iaitu kegagalan dan kelemahan kepimpinan Melayu yang berpunca daripada rasuah dan salah guna kuasa hingga menjadikan orang Melayu semakin malas. Malas mahu berusaha kerana mudah diberi wang.

Selagi orang Melayu terus memilih pemimpin yang jahat menjadi kerajaan, kita semua tidak akan mampu mengubah apa-apa malah kita akan merosakkan masa depan anak-anak kita. Melayu akan terus miskin tetapi pura-pura berkuasa.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow