- Iklan -
Rencana

Tubuh RCI siasat skandal perolehan kapal tempur pesisir

Skandal LCS bukan isu kecil malah ia sangat membimbangkan kerana melibatkan maruah kedaulatan dan keselamatan negara.

Mahathir Mohd Rais
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Bangunan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Susulan gesaan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion, yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), amat wajar jika perkara ini dibawa ke perhatian Yang di-Pertuan Agong dalam menangani masalah yang dihadapi negara ketika ini.

Skandal LCS bukan isu kecil malah ia sangat membimbangkan kerana melibatkan maruah kedaulatan dan keselamatan negara.

Kenyataan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang berharap kapal pertama LCS mampu disiapkan dalam tempoh antara setahun hingga dua tahun lagi, tidak dapat diterima.

Ini bukan soal kapal siap ataupun tidak. Persoalan harus dijawab, mana perginya peruntukan yang telah dibayar tetapi kapal tak ada? Adakah kita bina kapal halimunan? Rakyat bukannya bodoh.

RCI itu perlu agar siasatan secara menyeluruh dibuat tanpa campur tangan mana-mana ahli politik dan kerajaan.

Siasatan oleh badan bebas dapat membongkar permasalahan sebenar siapa dalang yang mengancam kedaulatan serta keamanan negara.

Jika dilihat persediaan perang yang berlaku antara China dan Taiwan, kita dilihat sangat hampir untuk berdepan Perang Dunia Ketiga pada bila-bila masa.

Khamis lalu, Wong ketika mengumumkan dapatan siasatan projek LCS, berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini. Namun tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

Pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementerian Pertahanan, tetapi ia ditukar kepada model Gowind, pada 11 Julai 2011, atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

Itu baru sahaja kita mendapat tahu mengenai aset sebanyak RM6 bilion yang tidak ada, berapa banyak lagi ketirisan yang berlaku dalam kerajaan yang kita tidak tahu?

Mahathir Mohd Rais adalah ketua Bersatu Segambut.