- Iklan -
Kolum

Sukar jadi ‘well informed’ dalam lambakan maklumat

Maklumat yang diterima oleh masyarakat pula adalah tidak seragam.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Rasanya tiada sesiapa yang dapat mengikuti semua perbahasan yang berlangsung di Dewan Rakyat walaupun terdapat dua Rang Undang-undang (RUU) penting dibentangkan, iaitu berkaitan merokok dan halangan ahli Parlimen melompat parti.

Hanya bagi mereka yang bertugas, sama ada para pegawai berkaitan atau pemberita yang membuat liputan, perbahasan-perbahasan mengenainya diikuti dengan sepenuhnya. 

Begitu juga bagi mereka yang benar-benar berminat, barulah butir-butir mengenainya diambil berat.

Tetapi bagi orang ramai, mereka hanya sanggup mengetahuinya melalui berita, sama ada melalui tontonan di televisyen atau daripada hantaran dalam media sosial. 

Segolongan pula membacanya dari portal-portal berita dan laman sesawang di internet. 

Hanya segelintir saja yang masih membacanya di dada-dada akhbar.

Kebanyakan orang pula dirasakan tidak mengambil peduli tentang poltik. 

Mereka berminat banyak perkara lain di dunia ini. 

Terdapat banyak maklumat yang boleh mereka nikmati berhubung dengan apa yang diminatinya.

Namun semua warga negara yang layak mempunyai satu undi untuk memilih ahli Parlimen mereka, sama ada yang bermaklumat (well informed) atau pun tidak. 

Tentunya tidak semua mengundi berdasarkan pada pertimbangan daripada maklumat. 

Tetapi tanpa maklumat, seseorang mengundi mengikut prasangkanya atau terpengaruh pada kempen pada detik akhir.

Ketika permulaan demokrasi diperkenalkan di Athens pada zaman purba, ia hanya melibatkan warga kota lelaki yang bukan hamba. 

Warga kota lelaki bekerja di luar dengan banyak pergaulan dianggap memiliki maklumat mencukupi untuk mengundi. 

Perempuan banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak mempunyai maklumat mencukupi. 

Hamba pula hanya mengetahui mengenai pekerjaannya.

Ketika demokrasi mula diperkenalkan pada zaman moden di Britain pada abad ke-19, ia juga hanya disertai oleh warga negara lelaki. 

Maklumat hanya diperolehi dari akhbar yang kebanyakannya mengandungi berita perdagangan dan perniagaan. 

Ia pula hanya dibaca oleh golongan "gentleman" (elit British). 

Golongan pekerja dan peladang hanya memperoleh maklumat dari kedai-kedai minum "pub".

Jadi, apabila demokrasi berkembang di Britain, akhbar muncul sebagai komponen penting dalam kehidupan negara. 

Ini kerana ia bukan saja merupakan penyalur maklumat tetapi pembentuk pandangan rakyat. 

Maka perlunya kebebasan menerbitkan akhbar supaya pengundi dapat membaca pelbagai pandangan, dan dari situ memilih wakil mereka di Parlimen.

Di Malaya, ketika pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1955, maklumat yang diperoleh orang ramai hanyalah melalui radio, akhbar dan risalah-risalah, di samping tayangan Filem Negara yang diadakan secara bergerak ke kampung-kampung. 

Kesemuanya dikawal oleh kerajaan kolonial.

Pada awal tahun 1980-an, di Malaysia kerajaan masih mengawal akhbar, radio dan televisyen. 

Dari situlah rakyat memperolehi maklumat. 

Adalah hampir mustahil rakyat memperoleh maklumat alternatif kecuali melalui ceramah, risalah dan buku. 

Untuk menyampaikan mesej kerajaan juga mudah kerana rakyat biasa pasti menonton televisyen, mendengar radio dan membaca akhbar untuk mendapatkan hiburan, di samping berita. 

Maka di tengah-tengah itulah, mesej kerajaan diletakkan. 

Maka tidak hairanlah Barisan Nasional (BN) terus mampu menang pilihan raya.

Ketika itu, seseorang yang mahu menjadi rakyat terpelajar dan "well informed" cukup dengan membaca satu akhbar berbahasa Inggeris dan satu akhbar berbahasa Melayu di samping membaca majalah mingguan berita antarabangsa seperti Time, Newsweek, The Economist, Far Eastern Economic Review atau Asiaweek. 

Bagi perspektif Malaysia, mereka boleh membaca Dewan Masyarakat dan Mastika, yang ketika itu merupakan majalah isu–isu semasa.

Untuk orang ramai, mereka cukup "well informed" dengan membaca sebuah saja akhbar iaitu sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris, China atau Tamil. 

Sebagai pemberita awal tahun 80-an, setiap hari saya membaca semua akhbar dalam bahasa Melayu dan Inggeris, iaitu Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star, Straits Echo dan Business Time.

Walaupun tiada pandangan alternatif dalam akhbar-akhbar tetapi ia sudah cukup bermaklumat untuk digunakan dalam pekerjaan dan kehidupan.

Bagi mendapatkan maklumat sokongan, seseorang perlu mnggunakan perpustakaan di tempat kerja atau perpustakaan awam. 

Maknanya, dalam memperoleh maklumat, ia masih dalam tahap boleh diuruskan atau "manageable."

Tetapi kini keadaan amat berbeza dengan adanya teknologi internet, maka berlakulah lambakan maklumat. 

Perubahan ini bagaimanapun bukan kerana teknologi semata-mata, ia adalah juga sebab sikap dan mentaliti kerajaan serta orang ramai.

Perubahan ini tidak datang serentak. 

Ia bermula dengan komputer peribadi Apple Macintosh dan IBM compatible. 

Diikuti dengan internet dan laman sesawamh. 

Kemudian datang laptop dan telefon bimbit. 

Tetapi perubahan mendadak berlaku apabila muncul telefon pintar, jalur lebar serta aplikasi. 

Di dalamnya terdapat pula media sosial bermula dengan Twitter. 

Sementara Google dan Wikipedia menyebabkan dunia tidak boleh toleh ke belakang. 

Kerajaan menggalakkan pembaharuan ini dan rakyat menyambutnya.

Dalam lambakan maklumat ini, tiada sesiapa boleh mengakui dapat mengetahui kesemuanya. 

Begitu juga, tiada alasan bagi sesiapa untuk mengatakan ia tidak mendapat maklumat. 

Kebijaksanaan pada zaman maklumat ini adalah kemahiran untuk memilih maklumat supaya "well informed" (cukup bermaklumat) dan tidak "over informed" atau memiliki maklumat yang tidak relevan.

Hakikatnya keupayaan manusia untuk menyerap maklumat adalah terhad. 

Melihat skrin telefon adalah meletihkan. 

Lebih meletihkan daripada membaca bahan bercetak seperti buku, majalah dan akhbar. 

Maka ada masanya seseorang wajar berehat daripada melihat sktin, baik telefon, komputer mahupun televisyen. 

Berehat mata dan minda dengan melihat alam seperti pokok-pokok, sungai, tasik, laut, bukit, gunung, awan dan langit.

Lambakan maklumat dalam minda pula membawa kepada keletihan otak, tekanan emosi akibat maklumat negatif dan toksik yang akhirnya boleh memberi kesan kepada stres dan tekanan darah serta kesihatan umumnya. 

Jadi kemahiran mengemudi lautan digital adalah penting dalam kehidupan hari ini.

Maklumat yang diterima oleh masyarakat pula adalah tidak seragam. 

Kalau pada zaman pra-internet, rakyat membaca akhbar yang sama dan menonton saluran televisyen serupa tetapi kini orang menyerap maklumat dari sumber yang pelbagai.

Jadi masyarakat tidak dapat berkongsi maklumat dan pengalaman yang sama. 

Setiap anggota masyarakat akan mencari dan mendapatkan maklumat dari saluran yang mereka minat. 

Tentulah ada kalanya berlaku pertindihan maklumat untuk dikongsikan. 

Tetapi kecenderungannya ialah mereka tidak berinteraksi dan masing-masing mempunyai persepsi tersendiri.

Maka dalam pilihan raya, akan muncul golongan penyokong tegar sesebuah parti yang mana mereka hanya mendapatkan maklumat daripada saluran yang selesa. 

Polarisasi akan berlaku dengan setiap pihak enggan berganjak. 

Untuk mendapatkan majoriti selesa lebih sukar. 

Minoriti yang muncul pula bukannya kecil. 

Ia besar dan mampu mengganggu majoriti yang memerintah. 

Untuk pentadbiran yang berkesan, kompromi perlu dibuat dan sifatnya hendaklah inklusif. 

Sesiapa yang menang tidak boleh ambil semua. 

Sementara yang kalah tidak kehilangan segalanya.

Bukan seperti dahulu, wartawan sekarang tidak dapat mengetahui "semua perkara" lantaran lambakan maklumat. 

Cabaran mereka adalah keupayaan mengetengahkan maklumat relevan. 

Begitu juga dengan ahli-ahli politik. 

Kini mereka perlukan pegawai-pegawai yang mahir mencerap maklumat relevan dari dunia digital tanpa sempadan.

Pegawai-pegawai lantikan politik yang baik ini tidak boleh diperolehi dengan serta-merta ketika seseorang ahli politik menjadi menteri. 

Ia wajar dikenal pasti dari awal kerjaya ahli politik. 

Barulah ahli-ahli politik memperoleh nasihat yang baik serta menjadi pembantu berkesan.

Kalau tidak, ahli politik tidak dapat menerima nasihat yang baik. 

Ini kerana pada zaman ini, lambakan maklumat tidak membolehkan ahli politik dan pegawai-pegawainya mengetahui "semua perkara." 

Akan ada perkara yang mereka tidak tahu walaupun ia dalam pengetahuan sebahagian rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.