- Iklan -
Kolum

Mengangkat isu-isu tempatan menjelang PRU15

Secara umum, suasana tempatan di negara ini masih jauh daripada memuaskan, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan keadaan di negara-negara maju.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi.

Mungkin Julai ini atau bila-bila masa sampai tahun depan.

Keadaan Covid-19 negara yang berada dalam tempoh transisi daripada pandemik ke endemik akan berakhir untuk digantikan dengan endemik sepenuhnya.

Perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan juga akan tamat.

Dengan pembubaran Parlimen nanti, apa yang dinamakan sebagai kerajaan Keluarga Malaysia juga berakhir.

Maka dijangkakan PRU15 nanti melibatkan pilihan raya Parlimen dan pilihan raya negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Suatu yang unik dalam sejarah pilihan raya negara apabila banyak negeri tidak perlu mengadakan pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mereka melakukannya sebelum tamat tempoh penggal akibat pergolakan parti politik masing-masing.

Dalam sistem negara ini terdapat tiga lapis kerajaan, iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan yang sepatutnya masing-masing diperintah melalui hasil pilihan raya.

Tetapi pilihan raya tempatan sudah lama dimansuhkan.

Maka pemerintah kerajaan tempatan dilantik oleh kerajaan negeri.

Makna kata, apabila dilakukan pilihan raya negeri, ia juga merangkumi pemilihan untuk kerajaan tempatan.

Jika PRU diadakan waktu terdekat, maka tentunya isu utama adalah kenaikan harga barang makanan yang mendadak dan menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

Ia merupakan isu nasional yang pastinya menjadi bahan perbincangan menjelang pilihan raya dan semasa kempen.

Isu nasional berhubung dengan kerajaan pusat kerana hanya mereka mempunyai kuasa untuk menanganinya.

Selalunya apabila PRU diadakan di mana pilihan raya Parlimen dan negeri berlaku serentak, maka isu-isu nasional mendominasi perbincangan.

Akibatnya isu-isu negeri tenggelam.

Hanya apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan secara berasingan, maka isu-isu negeri tertonjol.

Mungkin kerana Malaysia ini sebuah negara kecil berbanding, umpamanya Indonesia, Filipina dan India, maka fokus perbincangan politik cenderong untuk bersifat nasional, bukannya negeri, apatah lagi tempatan.

Lebih-lebih lagi kempen sesuatu pilihan raya adalah pendek jika dikirakan masa untuk membincangkn isu-isu nasional, negeri dan tempatan.

Kerajaan pusat mempunyai kuasa lebih besar berangkaian secara langsung dengan kerajaan negeri dan tempatan.

Walaupun semua kerajaan itu berhubung dengan rakyat, tetapi kerajaan tempatan mempunyai kaitan paling hampir.

Lihatlah sekeliling kediaman anda.

Kutipan sampah, longkang tersumbat, pemotongan rumput, pengurusan taman permainan kanak-kanak setempat, jalan berlubang, penguatkuasaan peraturan kejiranan, pemeliharaan pokok-pokok di ruang awam, pengurusan tempat letak kereta awam, penyediaan pasar awam, medan selera, pasar malam dan banyak perkara yang hampir dengan kediaman anda mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan tempatan.

Kecekapan perkhidmatan kerajaan tempatan awam berhubung langsung dengan kehidupan seharian penduduk tempatan.

Maknanya mutu kehidupn rakyat amat ditentukan oleh sikap dan komitmen kerajaan tempatan.

Lebih-lebih lagi apabila ia berkait dengan perancangan bandar masa kini dan akan datang.

Peranan kerajaan tempatan boleh menjadi luas.

Antaranya ialah usaha untuk menyediakan kediaman bagi golongan tidak mampu membeli atau menyewa rumah.

Penyediaan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan.

Menangani isu-isu keselamatan melalui kerjasama persatuan penduduk.

Maknanya kerajaan tempatan bukan saja merupakan pihak berkuasa di peringkat tempatan tetapi merupakan agensi aktif menyediakan kehidupan selesa bagi para penduduk.

Tetapi isu-isu tempatan tidak dikupas untuk pilihan raya bagi tatapan dan kesedaran umum.

Ini kerana tiada pilihan raya kerajaan tempatan.

Sementara kerajaan tempatan pula dilantik oleh kerajaan negeri.

Di mana kerajaan negeri menguasai seluruh kerajaan tempatan walaupun penduduk memilih ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mungkin berlainan parti,

Sementara itu, sempadan yang tidak sama antara kerajaan tempatan seperti dewan bandar raya dan majlis perbandaran dengan daerah pentadbiran serta kawasan pilihan raya DUN menjadikan penduduk tidak dapat menyelaraskan sokongannya kepada calon DUN yang bertanding sebagai wakilnya berhubung isu-isu tempatan.

Kalau isu–isu nasional dibincangkan di Dewan Rakyat dan ahli Dewan Rakyat merupakan wakil rakyat, begitu juga isu–isu negeri dibahaskan di DUN dengan Adun adalah wakilnya maka isu-isu tempatan dibincangkan di majlis tempatan dengan ahli-ahlinya adalah sebenarnya wakil penduduk.

Rakyat tentu lebih mengenal ahli parlimen dan Adun yang mewakili kawasannya tetapi kurang mengetahui ahli majlis tempatan.

Apa yang dibincangkan di Parlimen dan DUN lebih diketahui sementara perbincangan dalam majlis tempatan kurang diambil peduli.

Walaupun isu-isu nasional dan negeri adalah lebih penting tetapi isu-isu tempatan tidak kurang pentingnya lebih-lebih lagi ia berkaitan langsung dengan penduduk, baik terhadap keselamatan mahupun kediaman serta kejiranannya.

Keadaan kurangnya mengetahui isu-isu tempatan berlaku selama ini adalah antara lain kerana ketiadaan kegiatan kewartawanan tempatan.

Di negara-negara Barat, ada yang mempunyai akhbar tempatan yang menyiarkan berita dan mengetengahkan isu–isu tempatan.

Di negara ini, akhbar arus perdana juga mempunyai sisipan yang melaporkan berita-berita tempatan, tetapi skopnya amat terhad.

Kini dengan adanya media sosial serta kewartawanan warga negara (citizen journalism), maka kesedaran tempatan melalui berita dan isu–isu akan lebih mudah disebarkan.

Kunci di sini ialah kesedaran tempatan (local awareness).

Maknanya penduduk di sesuatu tempat mempunyai kesedaran terhadap isu-isu yang muncul di sekitar tempat kediaman mereka dengan azam untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu kehidupan seharian.

Dari kesedaran ini, mereka boleh aktif sama ada melalui persatuan penduduk atau badan bukan kerajaan (NGO) tempatan lain serta menyalurkan suara mereka melalui media sosial tempatan, yang akhirnya memberikan dorongan kepada majlis dan pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki keadaan.

Menjadi ahli majlis tempatan bukanlah habuan politik tetapi merupakan tanggungjawab bagi mewakili para penduduk.

Secara umum, suasana tempatan di negara ini masih jauh daripada memuaskan, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan keadaan di negara-negara maju.

Daripada soal kebersihan hinggalah kepada perkhidmatan dan keceriaan persekitaran.

Tentunya kemajuan sesuatu tempat juga mencerminkan sikap dan mentaliti penduduknya.

Kalau sebahagian besar penduduk tidak menghiraukan kebersihan, maka tentulah persekitaran kawasan kejiranan menjadi kotor.

Maka terpulang kepada penduduk sendiri untuk menentukan keadaan kawasan tempatan.

Bagi mereka yang mempunyai kesedaran wajar memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan dan anggota masyarakat untuk bersikap positif dan menerima nilai-nilai baik seperti kebersihan dan muafakat kejiranan.

Ia bukanlah suatu perkara mudah tetapi begitulah cabaran kehidupan.

Dalam hal ini, kempen kesedaran dan pendidikan bagi menyemai nilai-nilai baik di kawasan tempatan wajar juga dilakukan dari sekolah lagi melalui aktiviti kokurikulum dengan harapan pada masa akan datang akan ada generasi warga tempatan yang bersikap positif.

Oleh kerana tiada pilihan raya tempatan maka isu-isu berkaitan kini wajar diketengahkan semasa PRU.

Calon-calon Adun wajar disedarkan tentang isu-isu tempatan ini jika mereka mahu undi para penduduk.

Sementara pengundi pula, selain prihatin terhadap politik nasional dan negeri, perlu juga mengambil kira kepentingan tempatan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.