- Iklan -
Rencana

Kerjasama PN-PH: Tak mudah tapi boleh direalisasi

Muhyiddin dan Anwar harus berunding berdasarkan kepentingan bersama demi menghalang kluster mahkamah kembali berkuasa.

Mikail Firdaus
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Sebuah kereta melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Menolak kluster mahkamah daripada kembali berkuasa wajib dijadikan kepentingan bersama atau “common interest” Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi merintis jalan kepada kerjasama politik antara kedua-dua gabungan itu walaupun ketika ini, harapan untuk rakyat melihat perkara tersebut dijayakan kelihatan agak kabur.

Tanpa “common interest” – mustahil untuk PN dan PH dapat menterjemahkan kerjasama politik kerana kedua-dua parti dibayangi dengan sejarah lalu dan ini dapat dilihat daripada kenyataan beberapa pemimpin dalam komponen PN dan PH.

Kepentingan bersama inilah juga yang dibawa Muhyiddin Yassin, sehinggakan beliau tegaskan sekali lagi pada Sabtu lalu bahawa Bersatu tiada agenda tersembunyi, kerana sedar kebangkitan rakyat yang diterjemahkan pada PRU14 dalam menolak rasuah sehingga tersungkurnya Barisan Nasional (BN) hanya sia-sia jika kluster mahkamah diberi laluan untuk kembali berkuasa.

Pun begitu, harus diakui bahawa usaha untuk menjayakan kerjasama ini tidak mudah tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ketika ini memang berlaku penolakan daripada beberapa pemimpin khususnya dalam PH, tetapi jika kepentingan bersama untuk menolak kluster mahkamah dapat dijadikan kunci, kerjasama berkenaan boleh direalisasikan sekalipun jalannya berliku.

Lebih-lebih lagi rakyat sendiri sedang menunggu langkah politik Anwar Ibrahim selepas kem Rafizi Ramli menguasai pemilihan PKR.

Anwar pastinya sedar tanpa kerjasama, cita-cita politiknya tidak akan pergi ke mana dan tidak mustahil kedudukannya dalam PKR juga terancam.

PKR perlu realistik dan tidak boleh terlalu mengikut “kepala” Rafizi semata-mata.

PKR kena menyantuni hasrat rakyat yang mahu kluster mahkamah dihalang daripada kembali berkuasa sekarang dan bukannya perlu menunggu PRU16.

DAP, Amanah dan Pas juga perlu berjiwa besar dengan mencari persamaan dan bukannya mengungkit kisah silam.

Kini terpulang kepada PN dan PH untuk menentukan jalan politik yang hendak dipilih.

Mahu memilih kemenangan atau kekal menjadi pembangkang dalam PRU15 nanti. Jika kemenangan yang dipilih – jalannya cuma satu iaitu bentuklah kerjasama.

Seperkara lagi, jika kerjasama ini berjaya direalisasikan perlu diputuskan lebih awal siapakah yang bakal menjadi perdana menteri.

Calonnya hanyalah Muhyiddin atau Anwar – tetapi di antara dua tokoh ini siapakah yang paling diyakini dan boleh diterima majoriti rakyat kebanyakan.

Berdasarkan kajian daripada banyak pihak, Muhyiddin lebih disenangi dan diyakini.

Anwar walaupun telah banyak kali mencuba tetap gagal, baik menerusi pilihan raya umum mahu pun melalui sokongan ahli Parlimen tetapi demi kestabilan, Muhyiddin dan Anwar harus berunding.

Pastinya hal penentuan bakal perdana menteri ini juga tidak mudah, sama berlikunya seperti hendak membentuk kerjasama politik tetapi perlu dibuat dengan seteliti mungkin berasaskan situasi menang-menang, ibarat menarik rambut dalam tepung – rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Analoginya mudah. Kalau mengambil teladan daripada kempen kelayakan Piala Asia, pemilihan jurulatih yang tepat cukup kritikal kerana ia menjadi kunci utama jatuh bangun sesebuah pasukan – sesudah pembangunan akar umbi disusun dengan rapi.

Vietnam sudah membuktikan hal ini dan kini Malaysia mengikut jejak.

Di bawah jurulatih baru, kualiti dan persembahan Harimau Malaya berubah ketara dalam masa yang singkat walaupun pemain yang ditampilkan adalah muka sama.

Peminat pun seronok dengan kembali menaruh harapan dan memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan sekalipun perjalanan skuad negara masih panjang.

Begitu jugalah halnya dalam politik ini. Kalau calon perdana menteri tepat, rakyat akan memberi sokongan dan kepercayaan tetapi pasukan yang hendak bertanding itu perlu diperkukuhkan dahulu.

Kini “bola” sudah berada di kaki pemain politik PN dan PH. Pertandingan akhir pun sudah tidak berapa lama lagi. Tepuk dada, pilihlah apa yang rakyat minta.