- Iklan -
Rencana

Apa yang perlu dilakukan jika tersalah lapor cukai?

Masalah tersalah lapor boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dan meneliti maklumat yang telah diisi dan resit-resit berkaitan sebelum borang BE dihantar.

Razali Ahmad
5 minit bacaan
Kongsi
Pembayar cukai membuat urusan di premis LHDN. Orang ramai boleh mengambil beberapa langkah jika tersalah lapor ketika mengisi e-Filing. Gambar: Bernama
Pembayar cukai membuat urusan di premis LHDN. Orang ramai boleh mengambil beberapa langkah jika tersalah lapor ketika mengisi e-Filing. Gambar: Bernama

Musim pengisytiharan pendapatan penggajian bagi tahun taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melabuhkan tirainya pada 30 April 2022 (borang manual) dan 15 Mei 2022 (e-Filing).

Bagi sesetengah individu, bulan ini sememangnya dinantikan kerana berkemungkinan mereka akan menerima bayaran balik cukai (tax refund) sekiranya cukai yang kena dibayar lebih rendah daripada amaun potongan cukai bulanan atau Ansuran CP500.

Sungguhpun begitu, ada dalam kalangan pembayar cukai yang suka melapor cukai di saat-saat akhir yang seterusnya mendorong kepada kesilapan-kesilapan kecil dalam pelaporan cukai mereka.

Lanjutan kepada perkara itu, tindakan pindaan taksiran perlu dilakukan. Justeru, dalam artikel kali ini kami akan kongsikan beberapa persoalan dan tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan pengisytiharan cukai anda adalah tepat dan betul berdasarkan undang-undang percukaian.

1. Adakah pindaan terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada LHDN masih boleh dibuat?

Ya, pindaan masih boleh dibuat terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada LHDN.

Terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai:

i. Secara manual – Pembayar cukai hadir ke cawangan LHDN sebelum tempoh yang ditetapkan menurut subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) (tiada penalti dikenakan bagi tambahan cukai). Bawa bersama surat rayuan/borang CP15C (permohonan relif kepada ketua pengarah hasil berkenaan kesilapan atau khilaf), salinan e-Filing/borang kertas yang telah dihantar, dokumen dan resit yang berkaitan dengan pindaan taksiran berkenaan. Semua dokumen ini akan diserahkan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pembayar cukai tersebut; atau

ii. Borang e-BE Tahun Taksiran 2021 (individu pemastautin yang TIDAK menjalankan perniagaan) yang dikemukakan melalui e-Filing dalam tempoh iaitu antara 1 Mac 2022 hingga 15 Mei 2022 boleh menghantar permohonan pindaan secara dalam talian melalui https://mytax.hasil.gov.my iaitu e-Permohonan Pindaan BE bagi Tahun Taksiran 2021 bermula pada 1 April 2022. e-Permohonan Pindaan BE hanya terpakai bagi kes pembayar cukai yang terlebih melaporkan pendapatan dan yang terkurang menuntut pelepasan/rebat cukai di bawah subseksyen 131(1) ACP 1967. Jika borang BE asal dikemukakan menggunakan Borang Manual, kaedah ini tidak terpakai.

iii. Borang Nyata Terpinda (BNT) tahun taksiran 2021 turut disediakan di laman sesawang rasmi LHDN mulai 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung:

a. Pendapatan terkurang/tidak lapor;
b. Perbelanjaan/tuntutan lain terlebih tuntut; atau
c. Elaun modal/insentif/pelepasan yang terlebih tuntut.

Ringkasnya BNT ini perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam ACP 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal termasuk yang dihantar secara e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan.

BNT boleh dikemukakan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos. Untuk maklumat lanjut sila layari laman rasmi LHDN>Perundangan>Garis Panduan>Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020: Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.

Pindaan maklumat asas seperti nombor telefon, e-mel, alamat surat-menyurat, kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.

Sebagai contoh jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.

2. Boleh jelaskan situasi-situasi silap lapor dan kaedah pindaan yang perlu digunakan?

Situasi 1: Tidak sengaja terlebih lapor pendapatan atau terkurang tuntut pelepasan dalam Borang BE asal yang dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Contoh: A telah melaporkan pendapatan penggajian sebanyak RM500,000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. A menyedari kesilapan tersebut dan pendapatan yang betul adalah RM50,000.

Kaedah pindaan: Pindaan secara dalam talian iaitu melalui e-Permohonan pindaan BE yang boleh digunakan mulai 1 April 2022 di https://mytax.hasil.gov.my.

Jika bukan e-BE, rayuan secara manual boleh dibuat di cawangan LHDN berdekatan.

Situasi 2: Tidak sengaja terkurang lapor pendapatan atau terlebih tuntut pelepasan.

Contoh: A telah menuntut pelepasan anak di bawah 18 tahun seramai tiga orang dalam e-BE TT2021. Isteri A juga menuntut bilangan anak yang sama. Setelah berbincang, A dan isteri bersetuju dua orang anak dituntut oleh isteri. Dan A boleh menuntut bilangan seorang anak sahaja.

Kaedah pindaan yang boleh dibuat:

a. Pembayar cukai boleh mengemukakan surat rayuan bersama-sama dokumen yang berkaitan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail; atau

b. Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN asal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengemukakan BNT dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh akhir pengemukaan BN asal. Pembayar cukai perlu kemukakan BNT secara serahan tangan atau pos ke cawangan yang mengendalikan fail pembayar cukai.

3. Apakah jenis-jenis kesilapan yang biasa diterima oleh LHDN?

Jenis kesilapan yang biasa diterima LHDN seperti berikut:

i. Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul.

ii. Tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan seperti tertinggal menuntut insurans nyawa, derma, caruman Tabung SSPN atau pelepasan anak.

iii. Kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang. Contohnya: Pada 2021 ramai ibu bapa yang membeli komputer/tablet bagi kegunaan anak-anak bagi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR). Resit pembelian komputer/tablet tersebut telah diletakkan atas nama anak. Oleh yang demikian, ibu/bapa adalah tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit telah diletakkan atas nama anak. Justeru itu, pastikan sebarang pembelian adalah diletakkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut.

iv. Terlebih menuntut pelepasan/derma. Contohnya: Derma yang layak dituntut adalah derma kepada kerajaan/kerajaan negeri/institusi yang layak di bawah Seksyen 44(6). Senarai institusi boleh disemak di portal rasmi LHDN: https://www.hasil.gov.my/pautan-pantas/perkhidmatan/derma/

4. Berapa kali pindaan boleh dibuat?

a. Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN dalam tempoh ditetapkan dibenarkan untuk membuat pindaan melalui e-Permohonan Pindaan BE dan melalui BNT dan ianya terhad kepada sekali sahaja.

b. Bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan beserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.

c. Pastikan semakan telah dibuat dengan betul supaya tidak perlu lagi membuat pindaan atas pindaan.

5. Adakah pindaan yang dibuat sendiri melalui BNT oleh pembayar cukai boleh mengakibatkan apa-apa perubahan pada taksiran cukai?

Ya, betul. Pindaan sendiri boleh menyebabkan perubahan seperti:

a. Daripada tidak kena cukai kepada kena cukai.
b. Daripada kena cukai kepada cukai tambahan.
c. Daripada terima bayaran balik berkemungkinan tiada bayaran balik, malah akan wujud baki cukai kena dibayar.

6. Tips bagi mengelakkan kesilapan dalam pelaporan cukai.

Pastikan kiraan manual telah dibuat bagi resit-resit yang ada terlebih dahulu, kumpulkan dalam satu fail, input boleh dikunci masuk pada Borang Nyata manual atau e-Filing. Tidak salah untuk membuat kiraan beberapa kali atau mengemaskini maklumat dalam e-Filing untuk kepastian selagi belum klik butang “HANTAR”.

Buat perbandingan dengan pasangan (bagi yang telah berkahwin), dengan cara membuat pengiraan cukai (tax computation) terlebih dahulu. Dari situ kita dapat mengenal pasti siapa yang patut menuntut pelepasan anak dan menikmati penjimatan cukai, seterusnya jika telah berpuas hati barulah klik butang hantar. Seringkali terjadi kes di mana, suami/isteri menuntut anak yang sama dalam e-BE masing-masing disebabkan tiada perbincangan antara pasangan. Proses audit akan dijalankan atas pelaporan maklumat yang tidak tepat oleh pembayar cukai.

Kesimpulannya, masalah tersalah lapor boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dan meneliti maklumat yang telah dikunci masuk dan resit-resit berkaitan sebelum borang BE dihantar.