- Iklan -
Kolum

Wajar bagi Umno ketepikan PAS

Jadi apabila PAS menolak empat kawasan DUN yang diperuntukkan BN, dan sekaligus pergi kepada PN, ia kelihatannya menjadi kelegaan bagi Umno.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Marah sungguh PAS kepada Umno apabila mereka diketepikan dalam usaha Barisan Nasional (BN) untuk kembali menang dengan majoriti besar di Johor.

PAS tidak dapat menerima peruntukan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditentukan oleh Umno untuk dipertandingkan.

Maka ini bererti PAS akan menentang Umno sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Adalah wajar untuk Umno ketepikan PAS kerana parti itu perlu fokus untuk menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Malah peruntukan empat kawasan kepada PAS itu pun adalah suatu pemberian besar.

Lebih-lebih lagi PAS sudah menyertai PN yang ditolak oleh Umno.

Perkara ini dikira muktamad apabila dalam PR Melaka, PAS bertanding di bawah lambang PN untuk menentang Umno dan BN.

Kegagalan PAS dalam PRN itu dan sudah tentu mendatangkan kesedaran bahawa gelombang kemenangan menyebelahi pada BN dan bukan PN.

Maka tidak hairan PAS cenderung untuk bersama BN daripada PN kerana peluang untuk menang adalah lebih besar.

Sikap itu tentu dilihat oleh banyak orang sebagai sifat oportunis PAS yang tidak menghormati nilai setiakawan dan prinsip.

Tetapi bagi PAS, “bermain dua kolam” adalah suatu sikap pragmatik dan strategik yang semula jadi.

Dalam politik, tidak ada musuh atau kawan yang kekal.

Buat masa ini, apa yang dinilai sebagai prinsip adalah mendaulatkan gagasan Melayu-Islam dan menolak DAP.

Maka tidak salah baginya untuk bekerjasama dengan sesiapa dengan tindakan berubah-ubah, asalkan tidak bekerjasama dengan DAP.

Dalam BN dan PN tidak ada DAP, maka PAS boleh kerjasama dengan kedua-duanya serentak.

Maka kalau PAS bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka tetapi bertindak untuk bersama BN pula dalam PRN Johor, maka ia merupakan suatu yang biasa dan tidak wajar dipertikaikan.

Lebih-lebih lagi pada zaman politik Semenanjung Malaysia pasca Langkah Sheraton.

Kalau sebelum itu, pertarungan antara kerajaan dan pembangkang adalah jelas iaitu BN lawan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi kini berlaku dua peringkat perlawanan.

Kerajaan lawan pembangkang, dan parti kerajaan lawan sesama sendiri.

Kerajaan Johor terdiri daripada BN dan PN yang berlawanan di antara sama lain dalam pilihan raya.

Tetapi Johor dianggap sebagai kubu Umno sejak merdeka lagi.

PAS tidak ada tempat di negeri itu.

Kekalahan BN dalam pilihan raya umum tahun 2018 di tangan Umno adalah suatu pengecualian dan bukannya kebiasaan.

Pada masa itu Umno berpecah dengan bekas timbalan presidennya menjadi pemimpin Bersatu dan PH, dengan banyak faktor lain yang membuatkan BN kalah.

Kini, PH pula yang berpecah dan keadaan politik tidak stabil ekoran daripada itu membuka peluang bagi BN untuk berkuasa semula di Johor.

Majoriti selesa akan membolehkan tertubuhnya kerajaan negeri yang stabil seperti mana apa yang berlaku di Melaka.

Johor mempunyai persamaan dengan Melaka, cuma ia jauh lebih besar.

Kedua-duanya adalah kubu Umno sejak dari dulu.

Pembangkang utama adalah hanya di bandar dan kawasan Cina yang tidak akan dapat mengubah kerajaan.

Kemenangan PH di Johor dan Melaka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dianggap hanyalah sebagai suatu pengecualian.

Di kedua-dua negeri, PAS tidak kuat.

Dalam pilihan raya umum 2018 di kedua-dua negeri itu, PAS kalah di banyak tempat.

Oleh itu Umno tidak memerlukan PAS di kedua-dua negeri itu.

Apa yang Umno lakukan hanyalah meraikan PAS kerana di peringkat nasional, kemerosotan sokongan terhadap undi BN diharap dapat ditopang oleh PAS.

Dalam keadaan-keadaan undi rakyat terbahagi tengah, PAS sememangnya mampu menjadi “king-maker”.

Kerusi PAS di Dewan Rakyat dan DUN membolehkan kerajaan BN-PN berkuasa.

Satu kerusi DUN yang dimiliki PAS menjadi amat penting juga.

Tetapi seperti di banyak tempat lain, pembahagian kerusi antara Umno dan PAS adalah amat sukar kerana mereka mengejar kawasan yang sama.

Jadi apabila PAS menolak empat kawasan DUN yang diperuntukkan BN, dan sekaligus pergi kepada PN, ia kelihatannya menjadi kelegaan bagi Umno.

Tanpa PAS, Umno boleh fokus untuk berkempen meraih kembali undi yang hilang dalam PRU14.

Ini kerana PAS adalah liabiliti kepada BN di Johor.

BN perlu meraih kembali undi orang Cina yang pergi ke DAP dalam PRU14.

Kehadiran PAS bersama BN menyukarkan MCA untuk melawan DAP.

Sedangkan bilangan undi penyokong PAS tidak cukup banyak untuk membantu Umno.

Dalam PRU14, PAS bukanlah dalam satu pakatan dengan BN tetapi ia mesra Umno.

PAS bertanding melawan Umno tetapi ia dapat dilihat sebagai strategi untuk memecah undi pembangkang.

Mereka mengharapkan bahawa PAS akan menarik undi penentang BN dan menghalangnya daripada pergi ke PH.

Suatu strategi yang masuk akal tetapi gagal kerana penyokong PH adalah jauh lebih besar pada PRU14.

Dengan tidak bersama dalam satu pakatan, kerjasama Umno-PAS adalah lebih mudah.

Kaedah itu tidak memerlukan pembahagian kerusi apabila menghadapi pilihan raya.

Satu lagi yang lebih penting ialah Umno dapat menjauhkan diri daripada terpalit dengan cara fikir PAS yang tidak dapat diterima oleh orang bukan Islam.

BN amat perlukan kemenangan MCA.

Di sebalik gagasan kerajaan Melayu-Islam, Perpaduan Ummah dan Muafakat Nasional, apa yang jelas ialah fahaman politik serta agama PAS dan Umno adalah masih berbeza dan tidak boleh digabungkan.

PAS adalah konservatif dan Umno masih bersifat sederhana.

Walaupun kedudukan kedua parti mengambil sikap pragmatik dalam usaha mendapatkan kuasa dengan mengadakan kerjasama tetapi apabila berkuasa, terserlah masalah dalam pelaksanaan dasar dan pentadbiran kerana berlainan fahaman.

Ironinya, PAS bertambah konservatif apabila mereka mula mesra dengan Umno selepas PRU tahun 2008.

Penekanan terhadap soal Melayu, pembubaran Pakatan Rakyat dan perpecahan PAS yang melahirkan Amanah menjadikannya lebih konservatif.

Ini kerana elemen progresif dalam PAS keluar untuk menubuhkan Amanah.

Parti berubah kerana pemimpin dan ahlinya juga tidak sentiasa sama.

Maka adalah tidak adil untuk menyamakan PAS sekarang dengan dahulu.

Generasi yang mendokongnya juga sudah berganti.

Keadaan Umno juga sudah berubah.

Generasi sekarang berlainan daripada yang dahulu.

Begitu juga dengan masyarakat Johor.

Mereka juga sudah berubah, walaupun tidak secara mendadak tetapi perubahan tetap berlaku.

Ada antara anak-anak Johor sudah berpindah ke negeri lain khususnya Lembah Klang.

Begitu juga dengan anak-anak dari negeri lain yang turut berhijrah ke Johor.

Kalau dahulu PAS ditolak mentah-mentah oleh kebanyakan orang Johor, tetapi bagi yang berasal dari Kelantan, perasaan mereka tentu berbeza.

Faktor orang muda juga adalah besar.

Adalah tidak diketahui berapa peratus orang muda yang menjadi konservatif dan bersedia untuk menyokong PAS.

Kemuncak kekuatan PAS di Johor adalah selepas PRU13.

Pada tahun 2014, PAS mampu mengadakan muktamar tahunannya di Johor iaitu di Parit Raja.

Tentulah para penyokong PAS berbangga dapat melihat parti mereka bertapak di kubu Umno itu.

Tetapi pada muktamar itulah berlaku perpecahan dalam PAS.

PAS yang baru bertapak itu kembali menjadi kecil.

Setahun kemudian sebahagian bekas ahlinya menubuhkan Amanah yang menjadi seteru baru baginya.

Kini ketika mana BN sedang fokus untuk kembali menjadi kerajaan negeri yang mempunyai majoriti selesa serta menawarkan kestabilan, imej dan persepsi orang ramai terhadapnya pula masih dikotori dengan isu-isu berkaitan dengan integriti.

Umno masih belum dapat dilihat sebagai parti yang bersih, berkesan dan menjanjikan masa depan yang baik bagi Johor.