- Iklan -
Kolum

Umno kini terlalu yakin

Namun begitu, tidak salah untuk Umno mengambil kesempatan ketika lawannya lemah.

Timmy Say
1 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar kareer ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Umno terlalu yakin untuk menang di apa-apa pilihan raya seterusnya bersama Barisan Nasional (BN).

Keyakinan itu ditunjukkan dengan jelas dengan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan juga keputusan Umno Kelantan untuk menamatkan hubungan dengan PAS di negeri itu.

Keyakinan itu terbina daripada keputusan memberangsangkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, dan juga Sarawak yang menunjukkan Pakatan Harapan (PH) semakin tidak bermaya.

Dan pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH di Melaka tetap berpihak kepada gabungan dipimpin Umno itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh berbuat apa-apa dengan kedua-dua keputusan Umno ini.

Maklumlah beliau hanyalah naib presiden Umno.

Nada jawapan bahawa Umno negeri diberi autonomi untuk membuat keputusan mendedahkan tahap kuasa Ismail dalam parti itu.

Namun begitu, tidak salah untuk Umno mengambil kesempatan ketika lawannya lemah.

Ini real-politik.

Tindakan Umno melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberikan peluang kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menggabungkan pembangkang dan menumbangkan BN.

Kali ini, Umno tidak mahu menunggu lagi, mereka perlu lebih cepat sebelum munculnya seseorang yang mungkin berjaya menggabungkan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin beserta Muda dan Pejuang.

Umno memilih waktu yang kelihatan seperti rakyat tiada pilihan lain selain mengundi mereka.

Umno terlalu yakin rakyat akan memilih mereka atas faktor lawan-lawan BN tidak dapat bekerjasama.

Tema kestabilan akan terus dijadikan modal Umno untuk memenangi pilihan raya.

Umno sudah tidak risau mengenai pertembungan tiga penjuru pada PRU15 melainkan rakyat Johor memberikan signal berbeza daripada apa yang terjadi di Melaka.

Soal sahabat, etika dan sebagainya boleh duduk tepi dalam real-politik.

Kerana itu, tidak dapat dinafikan lagi, Umno memang pandai berpolitik.

Dulu, kini dan selamanya.