- Iklan -
Rencana

Mungkin telah tiba Malaysia tukar sistem pentadbiran?

Tindak-tanduk penggubal undang-undang negara menimbulkan persoalan apakah sistem demokrasi berparlimen tidak lagi sesuai bagi Malaysia?

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Nampaknya ada di kalangan ahli politik, rakyat Malaysia ini mudah dilalaikan. Pemimpin-pemimpin ini mungkin menyangka apa sahaja yang mereka lakukan boleh diterima oleh penduduk negara ini.

Lihat sahaja rentetan yang berlaku baru-baru ini dan ulasan dari Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2. Terlalu banyak pembaziran wang rakyat yang berlaku di kementerian-kementerian kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan yang dipimpin oleh ahli-ahli politik.

Contohnya, Pembangunan sistem uCustoms bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) sedia ada di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dua bulan (86 bulan) setelah lima pelanjutan masa (EOT) diberikan.

Laporan itu turut memaklumkan, Projek uCustoms bermula pada 25 Oktober 2013 pada asalnya dijadualkan siap pada 24 Oktober 2015 untuk menggantikan SMK sedia ada di jabatan itu yang telah diguna pakai sejak tahun 1995.

Ketiadaan syarat keperluan Surat Jaminan Bebas Jenayah (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara.

Lihat pula tingkahlaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary apabila dia mengakui kenderaannya telah melanggar peraturan jalan raya. Anehnya, kita masih tidak tahu siapa yang memandu kenderaan mewah itu.

Jika ia dipandu oleh Marzuk ia amat mendukacitakan.  Bagaimana seorang penggubal undang-undang di Parlimen boleh berkelakuan seperti ini?

Amat mengecewakan apabila dia meraih simpati dari orang ramai:  “Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.  Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul.  Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia,” kata Marzuk seperti dilaporkan dalam suratkhabar dalam talian Sinar Harian.

Tuhan tidak pernah berjanji hukuman dunia membebaskan pesalah di akhirat.  Hukuman dunia tidak seadil hukum Tuhan kerana pesalah boleh terlepas atas teknikaliti atau yang kaya membayar peguam atau hakim yang boleh “membantu” supaya dia dibebaskan.

Lagipun sebagai penggubal undang-undang, Marzuk wajib sentiasa bertugas dengan jujur dan berintegriti bukan selepas didapati bersalah.

Sementara itu, wakil rakyat Umno Ketereh Annuar Musa didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada suatu syarikat swasta menyokong pembangunan tanah 2.9 ekar di Lot 131, Jalan Peel, Kuala Lumpur ketika beliau menjawat Menteri Wilayah Persekutuan.

Isunya, syarikat tersebut tiada pengalaman dalam pembangunan hartanah dan hanya mempunyai modal berbayar RM100, tuduh ketika membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. Dakwanya lagi, seorang pengarah syarikat itu adalah saudara dan jiran Annuar.

Bagaimanapun, Annuar dilaporkan telah mengeluarkan satu surat baru menarik sokongannya ke atas syarikat berkenaan setelah menerima tohmahan dari ahli politik, badan-badan amal dan mereka yang berkepentingan.

Lagi ketara apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengejutkan orang ramai dengan mendakwa ekoran dari pendedahan rahsia Kertas Pandora, sebilangan ahli politik negara menipu rakyat.  Sekian lama ahli politik tersebut melaungkan slogan “demi bangsa, demi negara demi Orang Melayu”. Tetapi mereka ini munafik, tambahnya.

“Mereka mahu elak cukai sebenarnya. Mereka hendak kekayaan berlegar pada keluarga mereka sendiri sahaja.  Bukan hendak tolong orang Melayu.  Mereka buka akaun syarikat-syarikat mereka, bukan di Tanah Melayu tetapi di British Virgin Islands.

Mereka tuduh orang lain “tidak patriotik, subversif atau penderhaka”.  Tetapi merekalah yang sebenarnya petualang kerana larikan wang dan modal secara haram ke syurga kewangan hitam tanpa cukai dan penuh rahsia di British Virgin Islands.

Siapa Melayu yang hipokrit ini?  Rupa-rupanya mereka anak-anak bekas perdana menteri dari parti-parti politik Melayu dan Bumiputera yang eksklusif, sama ada Cap Kris (Umno?), Cap Bunga Raya (Bersatu?), Cap Pejuang bangsa, katanya lagi.

“Kasihan bangsaku Melayu, ditipu hidup-hidup.  Aku yang Melayu inipun ditipu sama.  Sekian lama aku ingatkan betullah pemimpin-pemimpin Melayu ini memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak kedudukan istimewa Orang Melayu.  Rupa-rupanya mereka ini ibarat “harapkan pegar; tetapi pegar makan padi,” lapor Malaysia Today, 10 Oktober lalu.

Terbaru juga, bekas ketua menteri Melaka Idris Haron menuduh terdapat beberapa pemimpin Umno di negeri itu memonopoli projek-projek ekonomi dan menipu kerajaan pusat royalti pasir.

Turut menggemparkan apabila Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas, lapor Bernama 14 Oktober 2021.

Ini diikuti oleh dakwaan veteran ahli politik Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Umno kini menjadi sebuah parti politik yang tidak boleh diselamatkan lagi.  “Langkah menyelamatkan sukar kerana Umno masih dikuasai pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang yang menyukarkan parti itu berubah buat masa ini,” katanya.

Persoalan ketika ini

Parlimen Malaysia telah hilang halatuju.  Ahli-ahli Parlimen yang wajib membahas and menggubal undang-undang membawa pembangunan dan kemakmuran negara telah gagal menjalankan tugas.  Apa yang dilihat di kaca TV ketika Parlimen bersidang ialah tuduh-menuduh, maki-hamun dengan kata-kata kesat (mangkuk, bodoh) dan keangkuhan untuk menjadi jaguh.

Ahli politik daripada semua golongan perlu ingat, setiap hari perbuatan jijik mereka diperhatikan rakyat ia memperkukuhkan keinginan mereka cara pentadbiran negara ini perlu diubah.  Sebagai penggubal undang-undang (lawmakers) tugas mereka bukan bercakaran, tuduh-menuduh dan caci-mencaci yang dipamerkan dalam TV setiap kali Parlimen bersidang.

Ramai rakyat negara ini percaya Parlimen bukan lagi tempat perbincangan menggubal undang-undang yang boleh membawa kepada perlaksanaan kemajuan semua rakyat yang memerlukan.  Ia telah menjadi medan pertempuran peribadi antara ahli politik yang bertentangan.

Oleh itu, adakah sistem demokrasi berparlimen tidak lagi sesuai bagi Malaysia? Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat lebih berkesan membuat keputusan bagi semua kaum dan membawa kestabilan negara, mungkin kerajaan monarki lebih baik bagi Malaysia?

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow