- Iklan -
Rencana

Hujan bukan punca utama banjir

Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal dan kerja-kerja pengambilan pasir antara punca utama banjir.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Pemilik premis perniagaan sekitar Bandar Kota Tinggi, Johor mula membersihkan kedai masing-masing setelah keadaan banjir mulai surut ketika tinjauan di sekitar bandar tersebut pada 6 Januari lalu. Gambar: Bernama
Pemilik premis perniagaan sekitar Bandar Kota Tinggi, Johor mula membersihkan kedai masing-masing setelah keadaan banjir mulai surut ketika tinjauan di sekitar bandar tersebut pada 6 Januari lalu. Gambar: Bernama

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menafikan dakwaan setengah pihak yang menyatakan hujan luar biasa menjadi punca kejadian banjir besar melanda beberapa buah negeri ketika ini.

Kenyataan yang seolah-olah menyalahkan lumrah alam ciptaan Tuhan menyebabkan masalah banjir yang sudah lama berlaku di negara ini gagal ditangani hingga sekarang malah menjadi semakin buruk.

Justeru itu CAP menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan ke atas punca sebenar kejadian banjir di negara ini dan tidak lagi memberi alasan bahawa hujan luar biasa menjadi penyebab berlakunya masalah tersebut.

Sejak lebih 10 tahun yang lalu tinjauan CAP mendapati aktiviti pembalakan yang tidak terkawal, kerja-kerja pengambilan pasir dan kemusnahan hutan secara berleluasa serta pelaksanaan projek pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti menjadi punca utama kejadian ini.

Banyak kawasan tadahan dan takungan air termasuk paya gambut di negara ini telah terancam dan berlaku kejadian hakisan serta mendapan lumpur sehingga menjejaskan sistem saliran, sungai, tasik dan empangan.

Ketika ini Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor mengalami ancaman banjir yang serius. Selain harta benda, tanaman dan kemudahan asas banyak yang rosak dan musnah.

Penduduk yang terlibat juga terjejas dengan teruk.

Paras air di sungai-sungai utama negeri berkenaan yang meningkat secara mendadak telah melimpah dan terdapat kawasan yang dahulu tidak pernah berlaku banjir kini mengalami masalah ini.

Pihak kerajaan sepatutnya bukan hanya mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang sedang berlaku tetapi perlu memberi perhatian utama kepada puncanya dengan memastikan perancangan fizikal yang cekap serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada dengan tegas.

CAP kesal walau pun ancaman banjir semakin serius berlaku di negara ini namun punca-punca kejadian ini masih gagal ditangani dengan berkesan.

Tindakan bersepadu antara semua jabatan dan agensi yang terlibat perlu dilaksanakan segera.

Kerajaan juga harus mempertimbangkan dampak perubahan iklim kerana ia akan membawa kepada peningkatan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem, seperti ribut dan banjir.

CAP bimbang jika ancaman banjir seperti ini berterusan ia bukan saja menjejaskan ekonomi negara tetapi juga sektor pertanian yang merupakan nadi kehidupan rakyat.

Kami juga menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai dan pihak politik yang terlibat di dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan aktiviti-aktiviti yang merosakkan bukit, kawasan tadahan air dan sungai.

Mohideen Abdul Kader merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.