Selepas Ismail, giliran Saravanan: Pengkritik Anwar ke kandang tertuduh sambil diraikan penyokong PH
Kedua-dua mereka antara yang tidak selesa dengan kerajaan gabungan yang terbentuk menerusi kerjasama PH-BN.
Terkini
Timbalan presiden MIC M Saravanan menjadi ahli politik Barisan Nasional (BN) terbaru yang sama ada diheret ke mahkamah atau ditangkap atas siasatan rasuah, di sebalik hubungan gabungan itu yang dilihat semakin menjauhkan diri daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Bekas menteri sumber manusia itu hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM1,097,000 sebagai habuan meluluskan kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat pada 2022.
Beliau dihadapkan ke mahkamah sehari selepas Ismail Sabri Yaakob – salah seorang daripada empat perdana menteri yang kerajaannya pernah dianggotai Saravanan dalam pelbagai kapasiti – dikenakan tuduhan gagal mengisytiharkan aset.
Tindakan mahkamah terhadap kedua-dua mereka diraikan penyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan pasukan siber PH memuat naik pelbagai sindiran di media sosial dan video TikTok.
Dalam salah satu klip, ulasan berbahasa Tamil dalam video yang dimuat naik menyindir Saravanan yang kelihatan melayani beberapa pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak pada sambutan Deepavali di rumahnya, termasuk Ismail dan bekas menteri Khairy Jamaluddin.
Suasana gembira dalam kalangan PH adalah sesuatu yang dijangkakan. Baik Ismail mahupun Saravanan sudah sekian lama tidak seangkatan dengan langkah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan sokongan kepada Anwar selepas pilihan raya umum 2022.
Ismail cetuskan isu pengampunan Najib
Masalah yang dihadapi Ismail dengan kerajaan sebenarnya bermula lama sebelum rampasan wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM170 juta selepas serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan bekas pembantunya, sebelum ia dilucut hak oleh kerajaan.
Setahun sebelum itu, beliau merupakan antara wakil rakyat pertama mencetuskan isu pengampunan diraja Najib Razak serta usaha menyembunyikan sebuah titah Agong supaya bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu boleh menjalani baki hukumannya sebagai tahanan rumah.
Isu tersebut seterusnya berubah menjadi masalah politik terbesar bagi Anwar sejak mengambil alih kuasa, dan dilihat sebagai punca kemerosotan hubungan dengan Umno.
Saravanan pula bukan sahaja pengkritik lantang PH dan Anwar, tetapi juga pernah membantah usaha Zahid untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Zahid ketika itu mengetuai gerakan menggulingkan Muhyiddin Yasin, hanya beberapa bulan selepas pendedahan sebuah rakaman perbualan telefon antara beliau dan Anwar, di mana pemimpin PKR itu mengucapkan tahniah sambil memberikan arahan kepada Zahid, yang dibalas Zahid dengan ucapan terima kasih kepada Anwar atas sokongan moralnya.
Selain Ismail, Saravanan pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di bawah Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya Najib, serta sebagai menteri sumber manusia semasa pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin.
Di penghujung pentadbiran Muhyiddin pada 2021, ketika beliau berdepan tekanan PH dan kumpulan pro-Zahid dalam Umno untuk meletak jawatan, Saravanan dan Ismail, di samping Khairy, merupakan antara anggota Kabinet dari BN yang menyokong presiden Bersatu itu.
Selepas penjajaran politik antara BN dan PH yang menyaksikan Anwar dilantik sebagai perdana menteri susulan keputusan pilihan raya umum tergantung pada 2022, Saravanan kekal sebagai antara pengkritik paling lantang terhadap pemimpin PKR itu.
Tahun lalu, beliau mengancam menarik MIC keluar dari BN selepas meluahkan rasa kecewa kerana menurutnya parti itu dijanjikan jawatan Kabinet sekiranya menyokong Anwar.
Menurutnya, janji itu disampaikan Zahid, presiden Umno yang bertanggungjawab membawa Anwar ke tampuk kuasa dengan sokongan ahli Parlimen BN selepas pilihan raya umum 2022, namun jawatan-jawatan Kabinet sebaliknya diberikan kepada DAP.
Saravanan juga berada di barisan hadapan pemimpin MIC yang meluahkan kekecewaan terhadap parti mereka yang diketepikan oleh kerajaan perpaduan.
Saravanan pernah mengancam MIC akan keluar daripada kerajaan campuran, lama sebelum pemimpin Umno secara terbuka menggesa sokongan kepada Anwar ditarik balik.
Antara kritikan Saravanan ialah pentadbiran Anwar gagal memenuhi janjinya kepada masyarakat India.
Pada Julai 2025, beliau menempelak Nurul Izzah Anwar selepas anak sulung perdana menteri itu cuba menangkis kritikan bahawa kerajaan PH telah mengabaikan komuniti India.
Nurul Izzah kemudiannya mendakwa beliau bekerja “di sebalik tabir” untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India, iaitu alasan yang kerap digunakannya.
“Jika benar anda bekerja untuk masyarakat India, buktikan. Tunjukkan apa yang telah dilakukan dalam isu pengambilan pelajar ke matrikulasi. Biar masyarakat menilai sendiri adakah pendekatan diam ini benar-benar membawa hasil yang nyata,” kata Saravanan.
Saravanan turut bertikam lidah dengan Rafizi Ramli ketika hubungan bekas timbalan presiden PKR itu masih baik dengan Anwar.
Ini kerana Rafizi menuduh Saravanan gagal menyelesaikan isu kekurangan pekerja asing ketika menjadi menteri sumber manusia.
Isu tersebut kembali disentuh Saravanan dalam surat kepada perdana menteri minggu ini, di mana beliau menolak tuduhan terhadapnya sebagai fitnah.
Saravanan juga pernah mempersoalkan Anwar mengenai beberapa dasar yang menurutnya menjejaskan perpaduan kaum, termasuk garis panduan yang mewajibkan rumah ibadat bukan Islam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa Islam sebelum menjemput umat Islam ke program mereka.
Beliau juga menggesa Anwar supaya berhenti menggunakan istilah “kuil haram” apabila merujuk kepada kuil Hindu yang terlibat dalam pertikaian tanah.
“Melabelkan rumah ibadat sebagai ‘kuil haram’ amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu,” katanya.
Ismail dan Saravanan mungkin bukan pemimpin BN terakhir yang dihadapkan ke mahkamah.
Dua lagi individu, bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan era Najib, Irwan Serigar Abdullah, juga bakal didakwa susulan tahanan reman terhadap mereka.
Apakah siri tindakan terhadap pengkritik Anwar mampu menyekat bantahan yang semakin meningkat terhadap kerajaannya, atau hanya mencetuskan lebih banyak penentangan daripada Umno yang kini tampak bangkit semula untuk kembali berkuasa?
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
