Asean gagal urus tarif AS, genosid Gaza, kata tokoh pemikir di sebalik persediaan Anwar raikan Trump
Chandra Muzaffar berkata sebagai sebuah blok mewakili 670 juta penduduk, respons Asean terhadap sikap pembuli Washington adalah mengecewakan.
Terkini
Tokoh pemikir dan aktivis terkenal Chandra Muzaffar memberikan markah rendah kepada Malaysia sepanjang memegang kepengerusian Asean, dengan berkata blok serantau itu telah gagal bukan sahaja dalam merangka tindak balas berkesan terhadap tarif perdagangan yang dikenakan Presiden Donald Trump, tetapi juga gagal mengumpulkan pendirian tegas menentang pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza.
Chandra, yang selama beberapa dekad menghasilkan penulisan berkisar hegemoni Amerika Syarikat, berkata kerajaan Malaysia malah gagal mengambil pendirian berprinsip apabila tunduk kepada tekanan Washington dengan menjanjikan pelaburan dan pengecualian cukai bernilai ratusan bilion dolar, namun masih tetap dikenakan tarif 19%.
"Kita tidak berpengaruh seperti China atau memiliki kekuatan ekonomi seperti Indonesia dalam berdepan AS," kata aktivis veteran itu dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.
"Tetapi sebagai sebuah negara dan ekonomi kecil, kita boleh melakukan sesuatu yang lebih bermakna disebabkan AS memerlukan bahan yang dihasilkan oleh kita, dan isu tarif pula sebenarnya tamparan kepada perdagangan global."
Pemimpin kerajaan ketika ini sibuk dengan persiapan menjelang Sidang Kemuncak Asean yang akan diadakan Kuala Lumpur, di mana Malaysia akan menamatkan peranannya sebagai pengerusi kepada pertubuhan 10 anggota itu.
Ia di sebalik Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat tidak mengendahkan bantahan aktivis pro-Palestin serta amaran daripada rakan komponen kerajaan sendiri apabila bertindak menjemput Trump menghadiri sidang kemuncak itu.
Minggu lalu, pemimpin kanan Amanah dan bekas timbalan menteri, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, menggesa Anwar membatalkan jemputan kepada Trump yang kini secara terbuka menyokong kempen Israel mengusir penduduk Palestin di Gaza.
Beliau berkata kehadiran Trump bukan sahaja boleh mencetuskan kemarahan tetapi juga mengakibatkan perpecahan yang akan mengganggu keharmonian antara negara anggota Asean.
"Kerajaan Amerika memang terkenal untuk memporak perandakan apa jua negara Islam seperti di Timur Tengah, di mana mereka 'divide and rule' (pecah dan perintah) supaya bersengketa. Kita tidak mahu penyakit ini dibawa ke Asean supaya kita pula bertelagah," kata Raja Bahrin.
Sebelum ini, Singapura menyebelahi pentadbiran Trump apabila memutuskan untuk tidak mengiktiraf sebuah negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB, menjadikannya satu-satunya anggota Asean dan dan hanya salah satu daripada tiga di benua Asia yang berbuat demikian, di samping sekutu kuat Washington, Jepun dan Korea Selatan.
Kumpulan masyarakat sivil dan aktivis telah berikrar mengadakan perhimpunan membantah tindakan Anwar mengalu-alukan Trump ke Malaysia.
Terdapat tanda-tanda umat Islam Malaysia yang tegas menentang Israel semakin gelisah dengan apa yang dilihat sebagai sikap Putrajaya yang semakin lunak sejak meletusnya perang di Gaza, walaupun pada awal konflik membidas Washington dan kuasa Barat lain yang menyokong rejim Zionis.
Ini ditambah dengan keputusan Anwar menjual 30% kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings (MAHB) - syarikat milik kerajaan yang menguruskan lapangan terbang di seluruh negara - kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik BlackRock, gergasi pelaburan AS yang dituduh bersubahat dalam jenayah perang Israel.
'Kamu tidak melakukannya'
Chandra, yang juga mengetuai Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), berkata sebagai sebuah blok dengan jumlah penduduk seramai 670 juta, Asean mampu mengambil pendirian berprinsip dalam isu seperti tarif dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
"Ia perlu mempunyai keberanian untuk melakarkan batas sempadan. Namun, kamu tidak melakukannya."
Beliau mengakui perpecahan yang wujud dalam Asean, di mana sesetengahnya negara "sangat rapat dengan AS dan oleh itu enggan berbuat apa-apa".
"Tetapi pada masa yang sama, saya berpendapat walaupun tanpa mengambil sikap kolektif, negara-negara Asean boleh melihat aspek lain dalam hubungan perdagangan dalam mengambil beberapa tindakan. Apa yang berlaku adalah malang sekali. Perkara seperti Gaza boleh berlaku di depan mata."
Menyentuh tarif perdagangan, beliau berkata negara-negara Asean akan mengambil pendirian yang lebih tegas sekiranya Malaysia, selaku pengerusi blok berkenaan, mengambil pendirian mempertahankan perdagangan global, selain memberi isyarat bahawa ia tidak akan dibuli.
"Lambat laun, dia (Trump) perlu berundur juga. Dia perlu ubah pendiriannya. Dan semua yang telah bersetuju (dengan tarif AS) akan kelihatan bodoh," kata Chandra.
Beliau berkata isu berkaitan tarif dan perdagangan bertitik tolak daripada "sesuatu yang lebih mendalam".
"Itulah yang sepatutnya kita sampaikan kepada AS dan kepada rakan kongsi, bahawa usaha membuli negara lain dalam hubungan antarabangsa ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada makhluk yang dipanggil politik hegemoni.
"Kita sekurang-kurangnya boleh mengambil kedudukan yang lebih berprinsip, tanpa perlu biadap. Kita tidak perlu menggunakan bahasa Trump. Dan perkara itu boleh disampaikan dengan jelas."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
