Selepas Jokowi diserang pengguna Malaysia kerana berdoa untuk Pope, netizen Indonesia jawab dengan gambar adegan songsang
Gambar dua lelaki berkelakuan tidak senonoh itu merupakan jawapan balas kepada netizen Malaysia yang mempersoalkan pemahaman Islam jiran mereka.
Terkini
Beberapa imej memaparkan adegan homoseksual yang didakwa membabitkan seorang ahli politik Malaysia menjadi tular selepas dimuat naik pengguna Facebook Indonesia dalam menjawab kritikan terhadap bekas presiden mereka Joko Widodo kerana berdoa untuk Pope Francis ketika menghadiri upacara pengebumian di Vatican baru-baru ini.
Ia susulan tindakan seorang pengguna Facebook Malaysia menyindir Jokowi kerana berdoa untuk mendiang pemimpin besar Katolik itu, dengan bertanya kepadanya sama ada beliau menghadiahkan Surah Al-Fatihah.
"Pelik pelik la orang Indon ni, dari rakyat sampai ke pemimpin bodohnya tu tidak dibuat-buat," tulis pengguna Facebook "Malaysia Problem".
Hantaran tersebut mengundang kemarahan pengguna media sosial Indonesia, seterusnya mencetuskan perdebatan mengenai etika penganut Islam memberikan penghormatan kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia, di samping kata-kata penghinaan dan serang menyerang melibatkan rakyat kedua-dua negara.
Komen beberapa pengguna Malaysia menyemarakkan lagi perdebatan apabila mereka mendakwa bertuah kerana Malaysia menjadikan Islam sebagai agama rasmi, tidak seperti Indonesia yang tidak mempunyai agama rasmi, di mana ia kononnya menjadi punca umat Islam negara melanggar peraturan agama.
Beberapa rakyat Malaysia turut mempertahankan pengguna Indonesia walaupun tidak setuju dengan Jokowi, sambil meminta rakyat Malaysia lain supaya berhenti menyinggung perasaan jiran mereka.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya malu dengan komen rakyat Malaysia yang lain. Tak salah untuk beri penghormatan. Tambahan pula sejak bila sebut R.I.P. (rest in peace) pun salah? Serius? Habis tu gi cari perempuan, gi hisap dadah tu semua halal ke? Eh fikirlah sebelum cakap!" tulis seorang pengguna.
Perang mulut seterusnya bertambah hangat apabila beberapa pengguna Indonesia mula menaikkan gambar menunjukkan dua lelaki berkelakuan tidak senonoh.
Salah satu daripada hantaran itu dimuat naik seorang pengguna Indonesia bernama Calista, mengundang puluhan ribu "likes" dan komen, manakala gambar yang dikongsinya mendapat hampir tujuh juta tontonan.
Dalam hantarannya, Calista menyelar pihak yang menganggap rakyat Indonesia "bodoh dan pelik" semata-mata kerana tidak senang dengan tindakan Jokowi berdoa untuk Pope.
Menurutnya, rakyat Indonesia tidak akan menyerang keseluruhan rakyat Malaysia atas tindakan pemimpin mereka.
"Gua belum pernah liat orang indo bilang 'aneh Malaysia semua bodoh & gay' hanya karna mantan PM kalian itu keciduk gay (Saya tidak pernah lihat orang Indonesia berkata 'peliknya semua rakyat Malaysia bodoh dan gay' hanya kerana bekas PM kamu didapati berhubungan sejenis)," tulisnya.
MalaysiaNow tidak dapat mengenal pasti "bekas PM" yang dimaksudkan dalam hantaran itu.
Gambar-gambar yang dinaikkan itu dipercayai sebahagian daripada beberapa gambar tidak senonoh diterbitkan seorang blogger pada 2013, di mana beliau mendakwa ia melibatkan ketua pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim.
Pada tahun berikutnya, penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, ketika itu terkenal dengan panggilan Papagomo, diarah mahkamah untuk membayar RM800,000 kepada Anwar sebagai ganti rugi selepas tewas saman fitnah.
Dua tahun sebelum itu, nama Anwar turut dikaitkan dalam kontroversi yang serupa apabila tiga individu bergelar "Datuk Trio" - bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik, bekas ahli exco Kedah, Allahyarham Shuib Lazim dan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah - menayangkan sebuah video lucah kepada wartawan.
Video berdurasi 21 minit itu ditayangkan pada 21 Mac 2011 kepada beberapa media di Carcosa Seri Negara.
Tiga minggu kemudian, ketua polis negara ketika itu, Ismail Omar, berkata siasatan mendapati video tersebut adalah asli di mana identiti lelaki di dalamnya juga dapat dikenal pasti berdasarkan bukti kukuh. Beliau bagaimanapun enggan menamakannya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.