'Anwar bohong', Mahathir beri amaran URA bakal pinggirkan tanah milik Melayu miskin di bandar
Pemimpin veteran itu berkata sepatutnya tidak ada lagi akta baharu membolehkan pengambil alihan tanah lebih-lebih lagi melibatkan Melayu miskin.
Terkini
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam rancangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), sambil berkata undang-undang tersebut sekiranya diluluskan akan memburukkan lagi nasib pemilik tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang kini menentang usaha pemaju mengambil alih kediaman mereka menerusi akta sedia ada.
Mahathir berkata URA bertujuan mengambil alih tanah milik orang miskin untuk tujuan pembangunan.
"Sepatutnya jangan buat lagi undang-undang untuk ambil tanah-tanah dirizabkan untuk orang Melayu yang rata-rata miskin," katanya selepas menerima kunjungan sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah bagi membolehkan pemaju swasta membangunkan kawasan tanah rizab Melayu mereka di tengah-tengah bandar raya yang dipercayai mencecah nilai jutaan ringgit.
Mahathir turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap wakil rakyat yang gagal membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.
"Mereka (wakil rakyat) tahu berkenaan tanah-ranah rizab Melayu yang sudah dijual.
"Tapi mereka tak menyuarakan sepatah pun dalam Dewan," katanya.
Mahathir merujuk kepada tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mana pembangunan bernilai tinggi sedang dirancang, termasuk di Kampung Sungai Baru yang berhampiran.
Ujarnya, URA akan membolehkan bangunan mewah dibangunkan tetapi penduduk Melayu yang miskin akan dipinggirkan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mempertahankan langkah kerajaan memperkenalkan URA di sebalik pelbagai bantahan dan kebimbangan ia akan menghakis pemilikan hartanah oleh Melayu terutamanya di bandar-bandar besar.
Beliau sebaliknya menyerang pengkritik URA, sambil menyifatkan ia akan membantu memulihkan kawasan usang di bandar-bandar yang majoritinya didiami penduduk Melayu miskin.
"Kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini tidak boleh tengok orang senang dan tidak boleh tengok projek-projek baik," katanya pada akhir bulan lalu.
Rang undang-undang (RUU) URA giat dipromosikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Cadangan memperkenalkan URA mencetuskan kontroversi kerana peratusan tahap persetujuan pemilik bangunan diturunkan daripada 100% kepada 80%, langkah yang dikecam Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan URA "Akta Rampas Rumah".
Mahathir berkata pembaharuan kawasan-kawasan usang tidak boleh dilakukan dengan cara "membuang" penduduk miskin.
Mengambil contoh Singapura, Mahathir berkata kampung-kampung Melayu di republik itu telah dihapuskan manakala penduduk dipecahkan ke kawasan berasingan.
"Itu yang akan berlaku di Malaysia apabila kita jadikan Singapura sebagai contoh, apabila kita luluskan URA," tambahnya.
'Anwar bohong'
Anwar sebelum ini turut memberi jaminan bahawa tiada pemilik asal akan diusir dari tanah atau premis secara paksa di bawah URA.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Anwar berkata URA tidak mempunyai peruntukan yang membenarkan pengusiran pemilik asal.
Bagaimanapun, Mahathir berkata jaminan Anwar tidak bermakna.
"Orang ini selalu cakap bohong. Janji itu janji ini," katanya.
Kontroversi URA timbul ketika pihak berkuasa masih terlibat dengan kemelut pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Sehingga kini, beberapa flat kos rendah yang terletak dalam kawasan itu telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan.

Beberapa penduduk bagaimanapun enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan pihak berkuasa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Baru-baru ini, mereka menyangkal kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa bahawa kawasan itu bukan berstatus Malay Agriculture Settlement (MAS), atau Tanah Pertanian Melayu.
Mahathir berkata ketika beliau memimpin kerajaan buat kali kedua di antara tahun 2018 dan 2020, pentadbirannya telah meminta ganti rugi disalurkan kepada penduduk dalam jumlah yang munasabah, iaitu sekitar RM3,000 sekaki persegi yang katanya membolehkan penduduk membeli perumahan mewah jika didirikan di tanah tersebut.
Tahun lalu, bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata pampasan untuk tanah di Kampung Sungai Baru hanyalah RM450 sekaki persegi.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.