- Iklan -
Berita

Kita akan teliti, kata Anwar selepas kejutan Trump mahu 'bersihkan' Gaza

Perdana menteri berkata pendirian Malaysia 'seperti negara Islam lain'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata akan meneliti pengumuman Donald Trump untuk 'membersihkan' Semenanjung Gaza dan meletakkan wilayah itu di bawah pemilikan AS.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata akan meneliti pengumuman Donald Trump untuk 'membersihkan' Semenanjung Gaza dan meletakkan wilayah itu di bawah pemilikan AS.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan memberikan ulasan lanjut mengenai rancangan mengejutkan Presiden Donald Trump untuk mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza dan membangunkan semula wilayah itu sebagai tanah milik Amerika Syarikat, sebaliknya berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu kenyataan tersebut.

"Kita sedang teliti kenyataan dahulu dan kemudian kita akan kupas," kata Anwar ketika ditanya mengenai pengumuman Trump untuk melakukan semula pembangunan semula secara besar-besaran di Gaza selepas memindahkan kesemua penduduknya.

Anwar bagaimanapun berkata pendirian Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin tidak berubah.

"Pendirian Malaysia kekal seperti negara-negara Islam lain. Yang lain kita akan ulas kemudian."

Respons beliau di sebalik desakan pembangkang agar kerajaan menyatakan pendirian tegas mengenai pengumuman Trump itu, yang turut mengundang reaksi ringkas seorang menteri Umno.

"Gila," kata Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan ketika diminta reaksinya oleh MalaysiaNow pagi tadi.

Ketika laporan ini ditulis, Wisma Putra belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Setakat ini, kenyataan Trump itu serta merta ditolak Arab Saudi, antara sekutu rapat AS di Timur Tengah.

"Kerajaan Arab Saudi menegaskan penolakan tegas terhadap sebarang pelanggaran hak sah rakyat Palestin, sama ada melalui dasar penempatan Israel, perampasan tanah, atau percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka," kata kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi.

"Masyarakat antarabangsa hari ini mempunyai tanggungjawab untuk meringankan penderitaan kemanusiaan yang dahsyat yang ditanggung rakyat Palestin, yang akan kekal dan tetap tidak berganjak dari tanah mereka."

Trump dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencadangkan "pembangunan semula" Gaza secara besar-besaran dan pengusiran hampir dua juta rakyat Palestin ke negara-negara jiran, sambil menambah bahawa wilayah itu harus dibangunkan semula menjadi sebuah "Riviera" (persisiran pantai) di Timur Tengah.

"AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami juga akan melakukan sesuatu di situ," katanya.

"Kami akan memilikinya dan mengeluarkan semua senjata dan bom berbahaya yang belum meletup dari kawasan itu, meratakan kawasan itu dan membersihkan runtuhan bangunan.

"Di Gaza, kami akan lakukan apa yang perlu. Jika perlu, kami akan lakukannya. Kami akan mengambil alih kawasan itu dan kami bangunkan," katanya dipetik CNN.

Ucapan Trump itu mengundang respons keras dari Perikatan Nasional, yang menggesa sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan cadangan tersebut. 

Blok pembangkan itu turut menggesa pentadbiran Anwar memutuskan hubungan dengan sebarang entiti yang menyokong Israel, sambil merujuk penglibatan sebuah firma milik BlackRock dalam rancangan penswastaan ​​Malaysia Airports Holdings (MAHB).

"Ini adalah satu masa yang memerlukan keberanian daripada Parlimen (dan) Yang di-Pertua untuk menyegerakan (sidang khas) kerana melibatkan isu-isu kepentingan bersama," kata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sambil berkata firma seperti BlackRock berkemungkinan besar akan membantu rancangan terbaru Trump itu.

Anwar sehingga kini mempertahankan keputusannya untuk membawa masuk Global Infrastructure Partners (GIP) menjadi sebahagian konsortium MAHB.

Ia di sebalik bantahan terhadap penglibatan GIP, di mana pemiliknya BlackRock memainkan peranan memperkasakan ekonomi dan industri pertahanan Israel.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Malaysia akan membantu pembangunan semula Gaza dengan kerjasama Jepun.

Pengeboman Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 50,000 orang awam Palestin, dan memusnahkan hampir semua infrastruktur di wilayah itu.