- Iklan -
Berita

Sahabat lama kesal Daim diserang dan dihina di sebalik sumbangan besar pulihkan ekonomi

Tokoh korporat Abdul Rahman Maidin mengingati legasi sahabatnya dan menepis pelbagai tuduhan dan label yang dilemparkan di hari-hari terakhir bekas menteri kewangan itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Daim Zainuddin.
Daim Zainuddin.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang meninggal dunia pada 13 November lepas, kerap dirujuk sebagai "pendiam", jarang berinteraksi dengan media, di samping seorang yang amat berjimat dalam soal perbelanjaan.

Malah individu yang kerap dikaitkan dengan pemulihan ekonomi Malaysia pada zaman kemelesetan ekonomi 1980-an, dan sedekad kemudian ketika krisis kewangan Asia pada lewat 1990-an, dikelilingi pelbagai cerita dan mitos, menjadikan wataknya menjadi sasaran spekulasi.

Pemergiannya pula diselubungi pelbagai tuduhan khususnya dari Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Walaupun sakit tenat, ia tidak menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melancarkan siasatan, sebelum ia bertukar menjadi kontroversi susulan pendedahan Bloomberg yang memetik sumber melaporkan tekanan Anwar terhadap badan itu. 

Pendedahan itu disusuli dengan laporan polis difailkan oleh isteri Daim, Naimah Khalid, menggesa siasatan penuh ke atas Anwar atas salah guna kuasa kerana mencampuri urusan SPRM.

Bagi ahli perniagaan dan politik veteran Abdul Rahman Maidin, tuduhan yang dilemparkan ke atas Daim di akhir hayatnya mengaburi pelbagai jasa dan sumbangan beliau di samping idea ekonomi yang inovatif. 

Abdul Rahman Maidin.
Abdul Rahman Maidin.

Abdul Rahman mengingati Daim sebagai seorang yang berfikiran jauh, berhemah, dan berdisiplin dan mampu menzahirkan idea yang tidak pernah difikirkan orang lain.

"Malangnya, kita tidak dapat meraikan orang seperti Daim sebagai satu aset negara," kata bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia itu dalam program podcast The Tiger Show, menceritakan mengenai Daim secara panjang lebar.

Ketika berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, Daim terkenal sebagai arkitek utama dalam pemulihan ekonomi Malaysia pada tahun-tahun mencabar. 

Pemergiannya memberikan kesan yang amat dalam kepada bekas perdana menteri itu, di mana pemimpin yang hampir seabad itu dilihat menahan sebak ketika berucap mengenai sahabat lamanya.

Daim, atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin, merupakan ahli perniagaan sebelum dibawa masuk ke dalam kerajaan oleh Mahathir sebagai menteri kewangan pada 1980-an.

Pada 1991, selepas mengetuai transformasi ekonomi Malaysia, Daim meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan bersara daripada politik. 

Susulan itu, Mahathir melantik Anwar sebagai menteri kewangan, berdasarkan amalan ketika itu di mana lantikan Kabinet berdasarkan hierarki dalam Umno, parti yang ketika itu menjadi tunjang kerajaan.

Pada kemuncak krisis kewangan Asia yang bermula pada 1997, Mahathir sekali lagi memanggil balik Daim untuk menasihati kerajaan, tindakan yang memberikan isyarat awal mengenai rasa tidak senang Mahathir dengan Anwar yang dilihat terlalu akur dengan kehendak badan kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Selepas berjaya memulihkan ekonomi sekali lagi, Daim mengundur diri daripada politik dan kembali kepada usaha perniagaannya.

Abdul Rahman menyifatkan Daim seorang yang mempunyai fokus tajam dalam soal ekonomi dan kewangan, dan membandingkan ciri ini dengan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

"Bagi saya, dia boleh berunding pada tahap yang sama dengan Lee Kuan Yew," kata Abdul Rahman, merujuk perdana menteri pertama Singapura yang terkenal dengan disiplin ekonomi yang agresif.

"Kalau Lee Kuan Yew mahu majukan Singapura menggunakan cara-cara yang betul, Daim juga tentu mahu Malaysia maju bersama-sama sepertinya Singapura. Sama ada Singapura ikut kita (atau) kita ikut Singapura, itu nombor dua. Soal dia, matlamat dia sama, kaedahnya lebih kurang," katanya dalam podcast itu.

Antara peranan penting Daim ialah membuka jalan untuk peniaga Malaysia melabur di Ghana dan Afrika Selatan selepas kejatuhan regim apartheid di negara itu, kata Abdul Rahman.

Di Afrika Selatan, beliau mengumpulkan bank-bank kecil di Afrika Selatan dan negara-negara Eropah yang kurang maju. 

Bank-bank tersebut disatukan dan disenaraikan dalam bursa saham di United Kingdom. 

Namun, satu kisah yang tidak dapat dilupakan Abdul Rahman berlaku ketika rombongan Daim ke benua Afrika.

Beliau menceritakan bagaimana Daim, yang sentiasa meninjau peluang perniagaan, melawat Mali. 

Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.
Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.

Bagaimanapun, lawatan itu berakhir dengan Daim memberi sumbangan pam air kepada penduduk setempat yang menghadapi masalah kekurangan air bersih.

"Saya memperlihatkan seorang manusia yang pergi ke Afrika nak buat berniaga sebab ada orang yang menarik minat dia ke situ, dia pergi dan tengok keadaan itu dan dia derma spontan. Apakah itu memperlihatkan dia dalam kata-kata yang dilemparkan kepada dia? Bercanggah sama sekali," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun Daim seorang hartawan, beliau seorang yang amat merendah diri.

Menurutnya, musuh Daim gemar memberikan jolokan "maha kaya" kepadanya.

"Bagi saya 'mahakaya' itu konotasi supaya kekayaan dia itu menjadi tanda soal. 

"Dilemparkan supaya perkataan 'maha' itu dijadikan maksudnya luar biasa. Itu saya rasa adalah satu perkataan yang menzalimi beliau," katanya merujuk kepada slogan yang sering digunakan Anwar untuk menyerang musuh politiknya.

Abdul Rahman berkata tiga sifat Daim dalam rutin kehidupan perlu dicontohi anak muda: disiplin menepati masa, berhemah dalam kewangan dan menjaga hubungan dengan orang-orang yang menjalin kerjasama. 

"Kalau anak-anak muda kita boleh praktik, saya rasa ramai lagi Daim yang akan timbul."