- Iklan -
Berita

Petani, nelayan dilanda kebimbangan ketika Putrajaya masih rahsiakan butiran subsidi bersasar

Kenaikan kos disebabkan kelemahan mekanisme akhirnya akan disalurkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sebarang kelemahan dalam mekanisme untuk menguruskan subsidi bersasar akan memangsakan petani dan nelayan yang amat bergantung kepada harga diesel yang rendah.
Sebarang kelemahan dalam mekanisme untuk menguruskan subsidi bersasar akan memangsakan petani dan nelayan yang amat bergantung kepada harga diesel yang rendah.

Kekurangan butiran mengenai subsidi bersasar untuk bahan api diesel yang bakal dilaksanakan Putrajaya menimbulkan keresahan golongan petani dan nelayan, di samping kebimbangan kenaikan kos yang akhirnya akan disalurkan kepada pengguna sekiranya ada kekurangan dalam mekanisme baharu itu.

Sebuah pertubuhan memperjuangkan isu petani melahirkan kebimbangan terhadap rancangan subsidi bersasar untuk diesel, dan berkata sehingga sekarang tiada maklumat atau perjumpaan dianjurkan dengan pihak kerajaan atau agensi yang berkenaan untuk menerangkannya.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata setakat ini pihak kerajaan atau agensi berwajib belum menghubungi mereka untuk menerangkan langkah itu.

“Biarpun kerajaan kata ada pengecualian dalam sektor pertanian tapi kita tak tahu apa yang dikecualikan. Kita tidak dimaklumkan apa- apa,” kata ahli jawatankuasa Pesawah, Abdul Rashid Yob, kepada MalaysiaNow.

Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh mana ketelusan dan keberkesanan mekanisme yang akan digunakan, di samping kebimbangan sama ada ia akan betul-betul sampai kepada golongan sasar.

Sebarang kelemahan dalam mekanisme itu bakal memangsakan petani dan nelayan yang amat bergantung kepada subsidi diesel.

Rashid berkata kebimbangan itu ditambah dengan hakikat bahawa kenaikan kos operasi tidak setara dengan hasil diperolehi petani.

Menurutnya, majoriti petani hanya menyewa jentera dan mesin daripada kontraktor untuk kerja-kerja menanam dan menuai hasil padi.

Sewaan kos jentera boleh mencapai antara RM4,000 hingga RM5,000 bergantung kepada keluasan tanah.

“Katakanlah kenaikan sewaan jentera disebabkan subsidi dalam 20%,  jadi daripada RM4,000 petani kena bayar RM4,800 kalau RM5,000 jadi RM5,800.

“Sudahlah hasil padi memang dah berkurangan disebabkan cabaran cuaca sekarang, nak ditambah dengan kenaikan kos lagi," katanya.

Rashid berkata adalah kritikal pelaksaaan mekanisme itu telus. 

"Tapi kalau ada kelompongan, impaknya bukan sikit tapi sangat besar, bukan sahaja kepada petani tapi seluruh rantaian dalam industri termasuk pengguna,” tambahnya.

Katanya kenaikan harga makanan akan berlaku disebabkan harga belian benih padi dan penjualan beras yang tidak selari ditambah dengan kenaikan kos operasi.

Setakat ini, kerajaan masih tidak jelas mengenai tarikh pelaksanaan subsidi bersasar, walaupun sebelum ini akhbar Singapura The Straits Times melaporkan subsidi bahan api akan dihapuskan pada bulan depan bermula dengan harga diesel diapungkan mengikut harga pasaran.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, orang di sebalik rancangan menghapuskan pelbagai subsidi yang disalurkan kepada rakyat Malaysia selama ini, mempertahankan keputusan kerajaan merahsiakan pelaksanaannya.

"Kerajaan sedang cuba sedaya upaya untuk mengelakkan spekulasi inflasi, justeru yang terbaik kami simpan dahulu penyusunannya.

"Rahsia ini untuk menguruskan keseimbangan mengenai bagaimana tindakan pasaran dan masyarakat," Rafizi dipetik berkata semalam.

Sebelum ini, Rafizi berkata kerajaan menyasarkan pemotongan subsidi pukal untuk bahan api untuk mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau mendakwa kerajaan boleh menjimatkan RM17 bilion jika golongan berpendapatan tinggi tidak diberikan subsidi bahan api.

Rafizi berkata mereka yang layak mendapat subsidi akan diberikan "fleet card" sebagai mekanisme subsidi bersasar bahan api.

Rafizi tidak menolak pelaksanaan itu akan menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan.

Rintihan nelayan

Seorang jurucakap nelayan di Pahang turut meluahkan kebimbangan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar, dan berkata ia menyebabkan nelayan tidak lagi mahu turun ke laut.

Bot-bot tersusun di sebuah perkampungan nelayan di Tanjung Karang, Selangor.
Bot-bot tersusun di sebuah perkampungan nelayan di Tanjung Karang, Selangor.

Teoh Boon Guan, setiausaha Persatuan Nelayan Kuantan, berkata nelayan di bandar itu sudah pun terbeban apabila kuota subsidi diesel dikurangkan sejak Januari 2023 tanpa alasan kukuh.

Subsidi diesel bagi bot Kelas B dikurangkan sebanyak 2,000 liter manakala bot Kelas C dikurangkan 3,000 liter.

Bot nelayan Kelas B dibenarkan melakukan aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut pada jarak antara lima dan 12 batu nautika dari pantai, manakala Kelas C pula 12 batu nautika ke atas.

“Saya boleh jamin bukan Kuantan sahaja tapi seluruh nelayan dekat Malaysia sudah tidak mahu turun ke laut," kata Teoh.

“Dahlah ikan sekarang kurang, subsidi sedia ada pun dikurangkan lagi, kerajaan nak buat subsidi bersasar.

“Memang nelayan tak akan turun ke laut,” katanya.

Keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini menjejaskan puluhan ribu nelayan Malaysia, kebanyakannya adalah beroperasi kecil-kecilan.

Mac lalu, Al Jazeera melaporkan nelayan Malaysia berdepan penurunan tangkapan ikan yang sememangnya semakin berkurangan.

Kesan paling buruk akan dirasakan nelayan kecil-kecilan yang mengeluarkan beribu-ribu ringgit "tetapi dengan pulangan yang merugikan", kata laporan itu, yang memberikan contoh sebuah bot nelayan boleh menelan kos RM14,000, tidak termasuk kos pukat, enjin dan bahan api.

Teoh memberi amaran pengguna akan menerima tempias kenaikan harga akibat kekurangan bekalan ikan, dan ini seterusnya menyebabkan negara terpaksa mengimport hasil laut.