- Iklan -
Berita

Anwar digesa jangan tunduk tekanan AS ketika polis panggil peserta demo pro-Palestin

Sekretariat Solidariti Palestin mengulangi bantahannya terhadap keputusan Putrajaya membenarkan kehadiran syarikat terlibat dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Lockheed Martin antara syarikat yang dibenarkan penyertaan di sebuah pameran pertahanan anjuran kerajaan Malaysia di Kuala Lumpur, walaupun terpalit kerjasama ketenteraan dengan Israel.
Lockheed Martin antara syarikat yang dibenarkan penyertaan di sebuah pameran pertahanan anjuran kerajaan Malaysia di Kuala Lumpur, walaupun terpalit kerjasama ketenteraan dengan Israel.

Sebuah kumpulan pro-Palestin memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengambil pendirian tegas berdepan langkah Amerika Syarikat baru-baru ini untuk memberikan tekanan kepada Malaysia dalam isu aliran dana kepada Hamas dan entiti lain yang dilabel "pengganas".

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menggelar AS sebagai "penaja kewangan keganasan terbesar" dan menyifatkan percubaan Washington menentukan hala tuju dasar luar Malaysia sebagai "sangat hipokrit".

"Kami melihat kunjungan baru-baru ini oleh delegasi Perbendaharaan AS sebagai tindakan tersirat campur tangan dalam hal ehwal domestik kita," katanya.

"Malaysia tidak boleh tunduk kepada ugutan AS. SSP menggesa kerajaan Anwar Ibrahim berdiri teguh mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air kita."

Minggu lalu, Washington menghantar Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson dan peguam Perbendaharaan AS Neil MacBride ke Kuala Lumpur, mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan ahli parlimen.

Kerajaan Malaysia dilaporkan memberitahu mereka bahawa ia tidak terikat dengan mana-mana sekatan unilateral seperti yang dikenakan oleh AS ke atas Iran, Hamas dan organisasi lain yang dituduh menganjurkan keganasan.

Ketika ditanya mengenai lawatan itu, Anwar semalam memberikan jawapan yang lebih berhati-hati, dengan berkata Washington berhak menuntut penjelasan.

"Mereka (AS) sudah tentu mempunyai hak untuk menuntut atau meminta penjelasan. Kami melakukannya kepada rakan yang ingin tahu apa yang sedang berlaku," katanya semasa sesi bersama Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar di Doha.

Sementara itu, SSP mengingatkan Anwar bahawa sebarang tindakan terhadap aktivis yang terlibat dalam perhimpunan membantah kehadiran syarikat senjata yang membantu Israel akan mendedahkan sikap hipokrit Malaysia di pentas antarabangsa.

“Di pentas antarabangsa, kerajaan Malaysia dipuji kerana berani menyatakan sokongan terhadap gerakan perjuangan Palestin.

"Jelas, sebarang upaya menyekat protes anti-genosida di dalam negeri adalah bertentangan dengan semangat solidariti bersama Palestin," kata jurucakap SSP Tian Chua.

Pada 7 Mei, SSP mengadakan protes di luar Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, di mana berlangsung pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec).

Penunjuk perasaan menuntut kerajaan menghalau syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel dalam serangannya ke atas Gaza, yang setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Syarikat itu termasuk Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) serta Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo.

Anwar menolak bantahan itu, dengan memberikan alasan Malaysia tidak mempunyai masalah mengalu-alukan mana-mana syarikat selagi ia tidak berdaftar di Israel.

Pandangan itu dikritik aktivis Palestin, yang menunjukkan hubungan strategik Lockheed Martin selama beberapa dekad untuk melengkapkan tentera Israel.

SSP berkata beberapa peserta protes telah dipanggil polis untuk disoal siasat, sambil menyifatkannya "satu bentuk gangguan".

Penyertaan syarikat dalam pameran itu adalah satu "cemuhan" terhadap solidariti kerajaan dengan perjuangan Palestin, tambahnya.

"Kami menggesa satu langkah komprehensif untuk tegas memutuskan  Malaysia daripada sebarang hubungan dengan pembunuhan genosida Zionis. Kami menggesa kerajaan untuk lebih berhati-hati dan waspada untuk memastikan semua operasinya secara konsisten selaras dengan dasar menyokong Palestin."