- Iklan -
Berita

Selepas minggu dipenuhi isu Palestin di Malaysia, Anwar berdepan 'pemulihan kedua' oleh Barat?

Perdana menteri yang sering dianggap lebih disenangi Barat berbanding pemimpin lain dilihat semakin mengurangkan mesej pro-Palestin baru-baru ini.

MalaysiaNow
5 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim meraikan Mohammad Abdulkarim Al-Issa, seorang tokoh Arab Saudi yang dikritik kerana hubungan mesranya dengan pemimpin dan kumpulan Zionis.
Anwar Ibrahim meraikan Mohammad Abdulkarim Al-Issa, seorang tokoh Arab Saudi yang dikritik kerana hubungan mesranya dengan pemimpin dan kumpulan Zionis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan tekanan untuk "memulihkan" dirinya daripada pelbagai kenyataannya mengecam Barat, pendirian yang jauh berbeza daripada wataknya yang disenangi beberapa negara Barat apabila beliau disebut-sebut sebagai pengganti musuh lama mereka Dr Mahathir Mohamad dua dekad lalu.

Ia di sebalik langkah Washington menghantar dua pegawai perbendaharaannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi memastikan Malaysia menguatkuasakan sekatan terhadap musuh yang dilabelnya "pengganas".

MalaysiaNow difahamkan kunjungan dua pegawai itu dan cara Putrajaya menguruskannya mendapat kritikan sekurang-kurangnya dua anggota Kabinet.

Sumber daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaan terlepas peluang besar untuk beralih daripada siri tindakannya baru-baru ini yang dilihat tidak sehaluan dengan dasar Malaysia menyokong sepenuhnya kepada perjuangan Palestin.

“Mula-mula kita raikan seorang tokoh Arab Saudi yang terkenal dengan hubungan mesranya dengan Zionis, kemudian kita benarkan pula syarikat senjata untuk mempamerkan barangan di sini sedangkan mereka terang-terangan membantu Israel dalam pembunuhan beramai-ramai," kata sumber itu kepada MalaysiaNow, yang meletakkan syarat supaya namanya tidak disiarkan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak bantahan mengenai penyertaan pengeluar senjata yang dituduh membantu Israel pada pameran pertahanan di Kuala Lumpur minggu lepas.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak bantahan mengenai penyertaan pengeluar senjata yang dituduh membantu Israel pada pameran pertahanan di Kuala Lumpur minggu lepas.

Ia merujuk kepada alasan Anwar membenarkan kehadiran beberapa syarikat yang terlibat dalam membantu tentera Israel di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (Natsec) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada minggu yang sama, Anwar meraikan seorang tokoh Arab Saudi yang dikritik umat Islam atas penglibatannya dalam pelbagai acara dan aktiviti anjuran pemimpin Yahudi pro-Zionis.

Mohammad Abdulkarim Al-Issa dilihat menahan kemarahannya apabila diajukan soalan oleh wartawan tempatan mengenai siri penglibatannya dengan lobi Zionis seperti yang dilaporkan MalaysiaNow, dan berkata beliau tidak mempunyai hubungan dengan Israel.

Terdahulu, perdana menteri menghadiri konvokesyen khas untuk menganugerahkan Al Issa dengan ijazah doktor kehormat dari Universiti Malaya, hanya beberapa minggu selepas universiti itu dikecam kerana menjemput seorang profesor AS yang secara terbuka menyokong serangan Israel.

Tidak cukup dengan minggu yang penuh peristiwa yang mencetuskan perdebatan media sosial mengenai komitmen Anwar terhadap perjuangan Palestin, Washington menghantar dua pegawainya dalam usaha memberi amaran kepada Malaysia supaya menghentikan semua perdagangan dan transaksi kepada entiti dianggapnya sebagai "pengganas".

Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson dan peguam Perbendaharaan AS Neil MacBride mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution serta beberapa ahli parlimen dan pegawai lain, di mana Malaysia dilaporkan "mengambil maklum" tentang kebimbangan disuarakan AS.

Seorang diplomat Timur Tengah yang sebelum ini pernah berkhidmat di Kuala Lumpur mengalu-alukan pendirian yang diambil Putrajaya, khususnya apabila kerajaan dilaporkan memberitahu AS bahawa Malaysia tidak terikat dengan sekatan unilateral kuasa besar itu ke atas mana-mana entiti yang dituduh melakukan keganasan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas sebaik sahaja mengetahui bahawa wakil AS sedang dalam perjalanan "untuk memberitahu kamu apa yang perlu dilakukan".

"Hakikat bahawa perjalanan mereka dan tujuannya diumumkan secara terbuka di laman web Perbendaharaan AS menunjukkan mereka tak teragak-agak menghantar mesej bahawa kedatangan mereka ialah untuk memberi amaran kepada Malaysia," kata diplomat itu yang kini berpangkalan di Paris, kepada MalaysiaNow.

Katanya lagi, kerajaan boleh saja mengumumkan kedua-dua pegawai itu tidak akan dilayan sekiranya matlamat mereka adalah untuk memberitahu Malaysia supaya mengubah dasar luarnya.

“Ini tidak akan berlaku di bawah Dr Mahathir,” kata diplomat itu, yang pernah bertugas tiga tahun di Kuala Lumpur pada tahun 90-an, sambil merujuk kepada bekas perdana menteri itu yang terkenal dengan kelantangannya terhadap Barat sepanjang dua dekad pemerintahannya.

"Kalau dia (Mahathir), sudah pasti mereka diminta berambus, supaya sebelum apa-apa perbincangan pun, pegawai-pegawai itu menyedari peluang mereka tipis untuk membuli sekutu mereka," katanya.

AS telah mengenakan sekatan ke atas Iran dan Hamas, antara entiti yang dituduh melakukan aktiviti keganasan. 

Malaysia bagaimanapun mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya, dan dasar ini tidak dipertikaikan sehingga baru-baru ini.

Seorang diplomat berkata lawatan dua pegawai AS itu bukan sahaja tidak kena pada masanya apabila sentimen anti-Israel dalam kalangan umat Islam sedang membuak, tetapi juga satu tindakan yang menyulitkan mereka yang dianggap sekutu seperti Anwar.

Beliau berkata langkah AS itu merumitkan kedudukan Anwar dari segi politik tempatan di mana beliau dilihat masih berdepan defisit sokongan kaum Melayu.

Anwar pernah dipuji media Israel kerana pendirian masa lampaunya mempertahankan hak Israel untuk wujud dalam keadaan selamat di samping sebuah negara Palestin yang merdeka, pandangan yang menghantuinya ketika kempen Pilihan Raya Umum 2022.

Anwar seorang yang mahu dilihat sebagai jurucakap Islam tetapi pada masa sama mahu dianggap 'mesra Barat'. Itu sesuatu yang mustahil dicapai dalam iklim genosida yang sedang berlaku sekarang

Tetapi kempen ketenteraan Israel di Gaza tahun lepas memberikan Anwar peluang memadamkan imejnya yang dilihat "mesra Israel".

Sejak serangan Oktober lalu, Anwar dilihat gigih ke arah itu, sama ada melawat beberapa negara Islam dalam menunjukkan solidariti kepada Palestin, atau mendakwa beliau menepis ugutan dari Barat kerana bersuara menentang Israel. 

Malah, Anwar turut mencadangkan sekolah-sekolah mengadakan perarakan solidariti Palestin, idea yang tidak begitu disenangi sebahagian daripada pengundi bukan Islamnya, yang kebanyakannya masih menganggap konflik Palestin sebagai isu yang hanya berkait Melayu dan Islam.

Ia bukan lagi rahsia semua ini dilakukan Anwar untuk meningkatkan sokongannya di dalam negara.

Akhir tahun lalu, ketika mengumumkan larangan kapal Israel dari pelabuhan Malaysia, Anwar tidak melepaskan peluang mengkritik Mahathir dengan mengatakan bekas pemimpin itu yang membenarkan kapal Israel berlabuh.

Namun begitu, bukan mudah menewaskan Mahathir dalam arena membidas Israel dan Barat, bahkan pemimpin veteran itu kerap dituduh sebagai "anti-Semit", panggilan yang tidak diendahkan Mahathir yang sebaliknya berkata ia hanyalah kerana beliau anti-Israel.

Dr Mahathir Mohamad berkata kehadiran syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel pada pameran pertahanan di Kuala Lumpur adalah penghinaan kepada perjuangan Palestin.
Dr Mahathir Mohamad berkata kehadiran syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel pada pameran pertahanan di Kuala Lumpur adalah penghinaan kepada perjuangan Palestin.

Baru-baru ini, Mahathir yang memasuki usia 99 pada Julai kembali bersuara dengan menggesa Anwar mengusir syarikat pembuat senjata AS yang mengambil bahagian di pameran Natsec-DSA.

“Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genocide ke atas orang Palestin,” katanya sebagai respons kepada tunjuk perasaan terhadap penyertaan syarikat membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel pada pameran itu.

Syarikat itu termasuk Lockheed Martin, yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel dan digunakan dalam serangan di Gaza, yang setakat ini meragut nyawa lebih 30,000 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Anwar menolak bantahan itu, dengan memberikan alasan Malaysia tidak mempunyai masalah mengalu-alukan mana-mana syarikat selagi ia tidak berdaftar di Israel.

Pandangan itu dikritik aktivis Palestin, yang menunjukkan hubungan strategik Lockheed Martin selama beberapa dekad untuk melengkapkan tentera Israel.

Seorang bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata Anwar kini berdepan dengan dilema sama dihadapinya ketika berkhidmat di bawah pentadbiran pertama Mahathir.

"Apabila Mahathir membawanya ke dalam Umno, dia masih mewakili imej seorang pemimpin Islam yang radikal yang pernah mengetuai protes di kedutaan AS. Bukan mudah dia nak keluar dari imej itu, termasuk dengan kerap berdampingan dengan pihak AS, pada masa sama mengelak daripada dilihat bersama tokoh anti-Barat, contohnya pemimpin dari Iran," katanya kepada MalaysiaNow.

"Anwar seorang yang mahu dilihat sebagai jurucakap Islam tetapi pada masa sama mahu dianggap 'mesra Barat'. Itu sesuatu yang mustahil dicapai dalam iklim genosida yang sedang berlaku sekarang," tambahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Washington menghantar dua wakilnya semata-mata untuk memberi amaran kepada pemimpin yang dianggapnya sebagai sekutu supaya mengikut telunjuk kuasa besar itu.

"Dalam konteks inilah kita harus melihat pendirian Anwar menolak bantahan mengenai pempamer senjata, dan sambutannya kepada seorang tokoh yang mesra dengan Zionis," tambahnya yang merujuk kepada Al-Issa.