- Iklan -
Berita

Pindaan perlembagaan dibentang Putrajaya 'tidak berperlembagaan', kata peguam

RUU untuk mengiktiraf kesaksamaan ibu Malaysia dalam hal kewarganegaraan anak didapati bercanggah dengan peruntukan perlembagaan mengenai kesaksamaan.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Menjelang undian terhadap RUU meminda perlembagaan, Ahli Parlimen diingatkan kewajipan mereka untuk menolak sebarang undang-undang yang tidak berperlembagaan.
Menjelang undian terhadap RUU meminda perlembagaan, Ahli Parlimen diingatkan kewajipan mereka untuk menolak sebarang undang-undang yang tidak berperlembagaan.

Seorang peguam mengingatkan ahli Parlimen bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara adalah bercanggah dengan perlembagaan disebabkan klausa yang menyatakan pindaan itu hanya terpakai kepada mereka yang dilahirkan selepas ia dikuat kuasakan.

N Surendran berkata ahli Parlimen wajib menolak mana-mana undang-undang yang tidak berperlembagaan, sambil menambah ia boleh dilakukan sekiranya mereka bertindak mengikut hati nurani mereka.

"Mereka tidak boleh membiarkan ‘whip’ parti Parlimen mereka untuk merampas pertimbangan mereka mengenai apa yang betul dan salah," Surendran, yang juga bekas ahli Parlimen dan kini sebahagian kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty.

Beliau berkata RUU yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Isnin lepas melanggar Perkara 8, yang menyatakan bahawa "semua orang adalah sama di sisi undang-undang".

Ia disebabkan Klausa 12 RUU itu undang menyatakan hanya kanak-kanak yang dilahirkan selepas pindaan berkuat kuasa akan dikurniakan kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

"Ribuan kanak-kanak yang sedia ada yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu Malaysia akan terus kekal tanpa kewarganegaraan. Mereka tidak akan mendapat sebarang faedah daripada pindaan baharu tersebut walaupun janji-janji berulang kerajaan bahawa pindaan tersebut dibuat untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi mereka. 

"Tuntasnya, setelah semua janji-janji itu dibuat, mereka telah ditipu sekali lagi," kata Surendran.

Beliau menyifatkan tindakan Putrajaya itu "kelihatan tercemar oleh kedurjaan tanpa motif", dan menambah kerajaan tidak rugi apa-apa sekiranya memberikan kanak-kanak sedia ada dalam pindaan baharu itu.