- Iklan -
Berita

KDN pertimbang kelulusan lebih 9,500 permohonan kewarganegaraan

Menteri dalam negeri berkata kerajaan juga telah menyelesaikan draf Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan, yang akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja bulan ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya komited untuk mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan secara adil dan saksama. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya komited untuk mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan secara adil dan saksama. Gambar: Bernama

Sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan sedang dipertimbang oleh kerajaan untuk kelulusan setakat September tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited untuk mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan secara adil dan saksama.

Katanya pemberian status kewarganegaraan Malaysia bukan anugerah tertinggi dan merupakan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawar serta diberikan secara sewenang-wenangnya.

Saifuddin Nasution juga berkata kerajaan telah menyiapkan draf Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan dan hasil cadangan pindaan akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja bulan ini.

“Pada hari ini juga, saya turut menyerahkan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada 19 pemohon,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program KDN MADANI di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur hari ini.

Saifuddin Nasution berkata 19 individu yang menerima keputusan permohonan kewarganegaraan itu terdiri daripada dua kategori iaitu anak angkat dan penduduk berstatus naturalisasi.

Mengulas lanjut mengenai proses pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan, beliau berkata perkara itu berjalan lancar dan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh masih berterusan.

“Input terus kami kumpul dan berharap pada sesi sidang Parlimen yang akan datang ini, kami dapat peluang membentangkan perkara ini.

“Di bawah KDN, ada dua pindaan yang kami akan bentangkan iaitu berkaitan kewarganegaraan dan akta dadah di bawah AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan),” katanya.

Diminta mengulas mengenai Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK), beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan itu.

Saifuddin Nasution berkata pemberian GPPK akan memanfaatkan 2,000 Persatuan Penduduk berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dengan jumlah pemberian sebanyak RM10,000 bagi yang layak.

“Pemberian GPPK ini bertujuan memperkasa peranan persatuan dalam meningkatkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan untuk keselamatan komuniti dan juga bagi persediaan menghadapi bencana.

“Sehingga September lepas, sebanyak 1,635 permohonan telah dipertimbang dan pada hari ini, GPPK telah diserahkan kepada tujuh persatuan,” katanya.

Beliau berkata tarikh akhir permohonan GPPK juga telah dilanjutkan daripada 30 September kepada 31 Oktober ini.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ketua Setiausaha KDN, Ruji Ubi.