- Iklan -
Berita

Peniaga resah, mungkin hentikan penggunaan selepas DuitNow kenakan caj

Peniaga menyatakan kebimbangan tentang polisi masa depan yang akan menyebabkan mereka dikenakan caj transaksi melalui aplikasi DuitNow QR.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan mengimbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran tanpa sentuh di kedai.
Seorang pelanggan mengimbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran tanpa sentuh di kedai.

Peniaga-peniaga kecil resah dan mungkin akan beralih daripada mod pembayaran selain DuitNow QR, selepas penyedia sistem itu mahu mengenakan caj bermula 1 November ini.

Seorang peniaga kek dan pencuci mulut di Johor Bahru Nurmizza Asmidar A Rahman berkata, peniaga masih belum reda dengan kenaikan harga-harga bahan yang naik setiap minggu.

"Sedikit sebanyak memang kami terkesan walaupun ada pihak kata amaun yang dicaj tidak banyak.

“Mungkin bagi bukan peniaga mereka tidak terkesan kerana tidak perlu fikir modal, kos overhead, utiliti, pengiklanan.

“Jualan kami ada masa turun, ada masa naik," katanya yang sudah berniaga sejak 2012 di Johor kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow melaporkan baru-baru ini peniaga akan dikenakan caj untuk transaksi wang menggunakan DuitNow QR.

Sebanyak 0.25% akan dicaj daripada akaun peniaga jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50% dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit.

Amaun akan ditolak daripada akaun bank setiap 5 hari bulan.

Laporan MalaysiaNow memetik e-mel RHB Reflex yang memaklumkan caj tersebut berserta kiraannya, selain pengesahan daripada khidmat pelanggan Maybank.

Menurut Nurmizza, dia baru belajar menggunakan DuitNow QR bermula tahun lalu.

Katanya, ia penting untuk jualan secara fizikal.

"Kalau buka reruai untuk majlis, memang saya akan gunakan DuitNow. Ramai pelanggan gunakan DuitNow sekarang," katanya.

Sementara bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong berkata caj itu akan membebankan para peniaga.

Katanya, caj yang dikenakan adalah lebih mahal berbanding caj menggunakan kad debit Visa atau Mastercard.

Menurut ahli Parlimen Ayer Hitam itu, caj kad debit jenama tempatan ialah 0.10% nilai transaksi atau  RM0.37 + 0.001% nilai transaksi, bergantung kepada yang mana lebih murah.

Manakala caj kad debit antarabangsa ialah  0.27% nilai transaksi atau RM0.63 + 0.001% nilai transaksi, bergantung kepada yang mana lebih rendah.

Sementara seorang peniaga aiskrim, Syefry Moniz berkata, caj itu dilihat tidak adil kepada para peniaga.

"Saya menggunakan mod ini sejak wabak Covid-19 melanda negara.

“Sebelum Covid, pembayaran menggunakan imbasan QR ini kurang dikenali.

“Ia memudahkan kami kerana wang terus masuk ke akaun," katanya.

Menurut Syefry, ia memudahkan jualan memandangkan tidak semua orang membawa wang kecil.

Katanya, ada pelanggan yang mempunyai tunai RM50 namun hanya ingin membeli aiskrim bernilai RM2.

"Takkan kita hendak bawa RM300 ke sana-sini untuk penyediaan wang baki?"

Dia turut mempersoalkan asas kepada keputusan mengenakan caj berkenaan.

Katanya, jika dibandingkan dengan mesin ATM yang memerlukan penyelenggaraan dan elektrik, syarikat penyedia QR itu boleh menghasilkan imbasan QR secara percuma.

"Data kita guna data kita, telefon juga kita yang punya," katanya.