- Iklan -
Berita

Peniaga kecil berdepan beban baru selepas subsidi pukal ditamatkan?

Beberapa badan mewakili majikan dan pengusaha logistik memberikan senario yang akan berlaku susulan tamatnya subsidi pukal untuk diesel.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah lori kargo mengisi diesel yang bakal menyaksikan kenaikan harga selepas diapungkan. Peniaga kecil merungut mekanisme yang diumumkan kerajaan untuk menyasarkan subsidi masih dibelenggu pelbagai masalah terutama melibatkan peniaga kecil.
Sebuah lori kargo mengisi diesel yang bakal menyaksikan kenaikan harga selepas diapungkan. Peniaga kecil merungut mekanisme yang diumumkan kerajaan untuk menyasarkan subsidi masih dibelenggu pelbagai masalah terutama melibatkan peniaga kecil.

Rasionalisasi subsidi diesel akan memberi lebih tekanan dan beban kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi kelompok paling bergantung dengan penggunaan bahan api itu, kata sebuah badan yang mewakili lebih 5,000 majikan seluruh negara.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata ramai pemilik perniagaan kecil bergantung kepada diesel untuk pengangkutan utama seperti yang terlibat dengan rantaian bekalan, restoran, runcit, syarikat pembinaan dan pengilang. 

Bagaimanapun, kini mereka berdepan dengan kos pengangkutan yang lebih tinggi selepas subsidi dihentikan, memberikan kesan keseluruhan kepada rantaian bekalan dan kenaikan harga barang. 

"Banyak perusahaan mikro akan menderita jika subsidi diesel tidak sampai kepada mereka," kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman kepada MalaysiaNow.

"Semua ini akan menambah kos operasi kerana perniagaan mikro kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel."

Menurut Syed Hussain, margin keuntungan minimum peniaga kecil yang sedia adalah rendah, dan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel akan memburukkan lagi keadaan. 

Beliau bersetuju dengan konsep penyasaran subsidi, bagaimanapun apa yang membimbangkan adalah pelaksanaannya.

Memberi contoh, beliau berkata subsidi tersasar tidak seharusnya menyebabkan pihak yang berkepentingan dan layak menerima menjadi pihak yang membayar lebih untuk menggunakan diesel. 

"Walaupun rasionalisasi subsidi diperlukan untuk kemampanan fiskal dan menggalakkan peruntukan sumber yang cekap, pendekatan yang diselaraskan dengan baik boleh bantu mengurangkan kesan negatif seperti impak terhadap inflasi, ekonomi dan kebajikan rakyat." 

Kebimbangan itu sudah pun dirasai Wan Mustapha, yang menjalankan perniagaan kosmetik.

Dia memandu kenderaan pacuan empat roda untuk penghantaran stok dari Pasir Mas, Kelantan ke beberapa negeri di utara, Pantai Timur dan Lembah Klang. 

Usia perniagannya yang baru menginjak dua tahun menyebabkan dia masih belum mampu untuk membeli aset pengangkutan dan logistik sendiri. 

Sebaliknya, dia menyewa tiga buah kenderaan 4x4 dan kos mengisi diesel untuk urusan perniagaannya mencecah lebih RM10,000 sebulan. 

"Saya sewa secara tahunan tiga buah dan kepunyaan saya sendiri sebuah. 

"Kita ikat sewa setahun dan bayar dua kali pada bulan Januari dan Julai kepada ejen kereta sewa. 

"Tapi lepas subsidi diesel kena tarik, nampak gayanya usahawan macam kami akan susah. Sebab kami yang akan tanggung kos lebih tinggi daripada orang lain," katanya kepada MalaysiaNow. 

Menurutnya, ramai peniaga tidak mampu memiliki aset logistik seperti lori dan van untuk mengangkut barangan, sebaliknya memilih untuk menyewa.

Kos mengisi diesel tidak menentu, tambahnya, kerana bergantung kepada kekerapan pemanduan, jarak destinasi selain jenis laluan yang sukar di beberapa bahagian di Kelantan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas diesel.

Ia disusuli dengan Kementerian Kewangan memperkenalkan Program Bantuan Subsidi Madani atau "Budi Madani", di mana RM200 akan diberikan kepada mereka yang layak termasuk pekebun kecil pertanian dan komoditi setiap bulan.

Antara syarat ialah kenderaan diesel persendirian itu berusia di bawah usia 10 tahun, dan pendapatan tahunan pemohon RM100,000 dan ke bawah.

Wan Mustapha bagaimanapun berkata dengan membenarkan pemilik kenderaan diesel persendirian termasuk dalam kalangan petani dan pekebun untuk memohon subsidi hanya akan menambah kesulitan kepada peniaga yang menggunakan kenderaan diesel secara sewa. 

"Harga lori dan pacuan empat roda bukan murah," katanya, dan menambah syarikat yang baru beroperasi sepertinya tidak akan mendapat pinjaman bank membeli kenderaan. 

"Bila jadi macam ni, kami yang guna kenderaan hari-hari tapi pemilik dapat bantuan subsidi. Kami tak kenal pemilik tapi ejen kereta sewa sahaja."

Persatuan Pemandu-pemandu Lori dan Kontena Selangor berkata walaupun kaedah menyasarkan subsidi bertujuan ia tidak disalah oleh mereka yang tidak layak, ia menyulitkan mereka yang menyewa permit lori daripada syarikat. 

"Apa akan jadi kalau pemilik atau syarikat tak nak bagi kerjasama?" kata jurucakapnya Mohd Nizam Rondin.

Nizam berkata proses permohonan permit lori yang amat sukar antara faktor pemandu menyewa permit lori di bawah syarikat logistik. 

Katanya, permit boleh didapati melalui iklan dalam talian dengan harga serendah RM300 mengikut jenis permit dan lokasi. 

Pemilik rangkaian pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata memandangkan operator logistik akan mendapat subsidi diesel, harga barang dan kos logistik tidak sepatunya naik. 

"Jadi, kalau tak naik kenapa pula harga barang nak naik. Saya harap pihak logistik tidak menjadikannya sebagai alasan," katanya kepada MalaysiaNow. 

Bagi Ameer, yang menjadi kebimbangan utama bukanlah penarikan subsidi diesel tetapi "bahagian kedua" yang dinanti-nantikan iaitu mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON95, iaitu bahan api yang digunakan majoriti rakyat.

"Bila petrol biasa dihapuskan, di situlah kita akan jadi makin risau. 

"Kuasa beli akan menurun tetapi tiada kesan yang ketara pada (subsidi) diesel sebab yang guna diesel kebanyakannya operator logistik." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.