- Iklan -
Berita

Tindakan polis terhadap isu 3R berdasarkan peraturan sedia ada, kata timbalan menteri

Shamsul Anuar Nasarah berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang mengeksploitasi isu 3R, tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah. Gambar: Bernama

Tindakan polis terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan membabitkan isu 3R adalah berdasarkan tatacara dan peraturan yang termaktub, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi kementerian itu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengeksploitasi isu 3R tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan.

“Apa sahaja keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri, kita punyai tatacara dan peraturan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

"Kita sentiasa komited dan mendukung hak kebebasan bersuara sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan selagi ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan… sebab itu, mana-mana pihak yang ingin mengelak daripada diambil tindakan, patuhilah peraturan yang ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang  mencadangkan agar PDRM menahan pihak yang mempermainkan isu 3R sekiranya menerima laporan.  

Shamsul Anuar berkata kesalahan melibatkan isu 3R dinyatakan dengan jelas dan termaktub dalam Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Pihak kerajaan dan polis juga terbuka serta bersedia memberi penjelasan mengenai perkara itu sekiranya pihak pembangkang mahukan maklumat lanjut, katanya ketika menjawab soalan mengenai parameter berkaitan kesalahan melibatkan isu 3R yang dibangkitkan oleh Radzi Jidin (PN-Putrajaya) dan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun).

Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan sistem kawalan sempadan negara yang dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses pintar, kemudahan penyebaran serta pengawasan sepanjang masa bagi melindungi sempadan darat dan maritim.

Katanya pelaksanaan AI akan membolehkan pengesanan objek, pengurangan penggera palsu dan menyokong dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan kawalan keselamatan sempadan.