- Iklan -
Berita

Polis kenal pasti 25 individu terlibat dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay juga menegaskan bahawa perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis berada dalam keadaan siap sedia di Jalan Tuanku Abdul Rahman sewaktu perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ di Kuala Lumpur, 16 September.
Anggota polis berada dalam keadaan siap sedia di Jalan Tuanku Abdul Rahman sewaktu perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ di Kuala Lumpur, 16 September.

Polis mengenal pasti 25 individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan jalanan "Himpunan Selamatkan Malaysia" yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini, 22 orang sudah dihubungi polis pagi tadi dan enam daripadanya akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Lima orang termasuk seorang pimpinan sebuah parti politik akan hadir ke IPD Dang Wangi esok, seorang lagi pada 19 September (Selasa) manakala yang lain akan dipanggil kemudian … ada seorang YB (Yang Berhormat) (yang terlibat dalam himpunan itu) setuju untuk beri keterangan esok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.

Ayob Khan berkata perhimpunan itu jelas tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk penganjur tidak memberi notis lima hari sebelum perhimpunan itu berlangsung, selain mengadakannya di tempat larangan iaitu masjid dan membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan itu. 

Beliau berkata ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis itu kerana mendakwa di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak asasi untuk berhimpun, namun perlu juga dilihat Artikel 10 (2) iaitu setiap kebebasan untuk berhimpun atau berucap mempunyai had atau batas yang perlu dipatuhi. 

“Kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan dan ketenteraman awam. Itu kena jelas dan pihak polis tidak akan bertolak ansur,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan itu.

Hampir 1,000 peserta perhimpunan itu berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum berarak dengan berjalan kaki ke kompleks beli-belah Sogo. 

Perhimpunan yang bermula pada 1.15 tengah hari itu diketuai oleh ahli Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai "Chegubard".