- Iklan -
Berita

Perhimpunan Selamatkan Malaysia tetap diteruskan, kata penganjur

Mereka berkata keselamatan akan menjadi keutamaan mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Gombak Setia Hilman Idham bersama Badrul Hisham Shaharin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan penyokong lain selepas memberi kenyataan kepada polis mengenai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Adun Gombak Setia Hilman Idham bersama Badrul Hisham Shaharin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan penyokong lain selepas memberi kenyataan kepada polis mengenai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Himpunan Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di ibu kota pada 16 September bagi menyatakan ketidakpuasan hati berhubung pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akan tetap diteruskan, kata penganjur.

Ahli sekretariat himpunan tersebut, Badrul Hisham Shaharin berkata, pengumuman penting akan dimaklumkan esok berhubung himpunan tersebut.

"Kami memberi jaminan isu keselamatan menjadi isu utama kami. 

“Untuk menyelamatkan negara takkan kami hendak buat huru-hara. 

“Yang buat huru-hara itu kamu (pihak kerajaan)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari tadi. 

Badrul yang mesra dipanggil Chegu Bard secara sinis berkata, himpunan tersebut akan dihadiri ramai orang jika “pejuang integriti” dalam PKR dan DAP turut menyertai himpunan berkenaan. 

Katanya, himpunan itu membabitkan pelbagai pihak antaranya parti politik dan badan-badan bukan kerajaan.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung sidang media mengenai himpunan berkenaan yang diadadakan serentak pada Hari Malaysia. 

Antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Himpunan tersebut bagi membantah keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Zahid yang sebelum ini berdepan 47 kes membabitkan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram wang Yayasan Akal Budi.

Menurut Badrul, lokasi himpunan akan diumum kelak namun ia dijangka di tengah-tengah Kuala Lumpur. 

Terdahulu Polis Kuala Lumpur menerima enam laporan berhubung penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penganjur.

Kenyataan itu dikritik NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dengan menyatakan amaran berkenaan ibarat taktik lapuk yang digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata pihak polis hanya mengambil keterangan berhubung sidang media dan tiada arahan atau halangan mengenai himpunan berkenaan.

"Seperti mana Akta Himpunan Awam 2012, kita tidak melanggar apa-apa (undang-undang) dan kita akan teruskan," katanya.

Badrul berkata, makluman kepada pihak keselamatan berhubung himpunan tersebut akan diputuskan pihak sekretariat malam ini.